Salah: Final Liga Juara-Juara Bukan Mengenai Saya Dan Cristiano Ronaldo

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menolak dakwaan sesetengah pihak yang berkata perlawanan akhir Liga Juara-Juara merupakan pentas pertarungan individu di antara beliau dan bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Pemain antarabangsa Egypt ini mempunyai pendapat sendiri mengenai perlawanan akhir dan percaya keputusan perlawanan tersebut tidak akan ditentukan secara individu. Salah juga menegaskan beliau lebih mengutamakan kejayaan pasukan melebihi pencapaian individu.

Seperti biasa, Salah kekal zuhud dan tawadhu

Liverpool berjaya mengesahkan tempat di pentas final Liga Juara-Juara selepas menumpaskan AS Roma 7-6 secara aggregat dalam peringkat separuh akhir. Liverpool tewas 4-2 dalam perlawanan timbal balik yang berlangsung di Stadium Olimpico awal pagi tadi tetapi dilihat calon pilihan untuk layak ke final hasil kemenangan 5-2 di Anfield tempoh hari.

Liverpool akan berhadapan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah pada 27 Mei nanti selepas pasukan dari Sepanyol tersebut mengenepikan cabaran hebat dari Bayern Munich dengan mencatatkan keputusan 4-3 secara aggregat.

Salah dan Ronaldo merupakan bintang utama dalam pasukan masing-masing dan dianggap komponen terpenting untuk memenangi kejohanan Eropah paling berprestij tersebut. Tetapi bekas pemain Roma dan Chelsea itu berpendapat pentas final bukan hanya mengenai beliau dan Ronaldo sahaja.

Pentas final bukan mengenai Salah atau Ronaldo !

“Perlawanan final itu nanti bukan mengenai persaingan Mohamed Salah dan Cristiano Ronaldo. Saya sedang bermain bersama kelab yang hebat dan kami juga memiliki pemain yang hebat. Jadi untuk layak ke perlawanan akhir, ia dilakukan dengan kerjasaman seluruh pasukan kerana saya tidak mampu melakukannya secara berseorangan.”

Selain Lionel Messi, Ronaldo dan Salah dianggap calon pilihan untuk menjulang trofi Ballon d’Or  2018 yang bakal diumumkan pada penghujung tahun ini. Salah diramal bakal menjadi pemain pertama dalam dekad ini memecahkan monopoli Messi-Ronaldo dengan menjulang anugerah tersebut.

Salah mengharungi musim yang cemerlang bersama Liverpool sejak berpindah dari AS Roma pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu. Beliau telah menjaringkan 43 gol dari 49 perlawanan dan turut memecahkan beberapa rekod musim ini.

Akan tetapi, Salah berkata beliau tidak terlalu memikirkan pencapaian individu kerana sasarannya adalah untuk membantu Liverpool memenangi trofi.

Kami menang bersama, kalah pon bersama !

“Saya tahu seluruh warga Arab mahukan yang terbaik untuk saya dan mereka sangat gembira setiap kali saya memenangi perlawanan. Tetapi buat masa sekarang, fokus saya hanya pada perlawanan akhir dan membawa pulang  trofi Liga Juara-Juara Eropah ke Anfield.”

Salah turut mengepikan pendapat sesetengah pihak yang mendakwa bahagian pertahanan Liverpool akan menyebabkan pasukan tersebut tewas di tangan Real Madrid dalam perlawanan akhir nanti.

“Bertahan merupakan kerja yang dilakukan secara berpasukan. Apabila kami berjaya menjaringkan gol, ia adalah kerana semua pemain bermain dengan baik. Dan apabila kami melepaskan gol, itu bermakna kami perlu bekerja dengan lebih keras.”

BACA:  Kisah 5 Pemain Brazil yang Pernah Bermain Untuk Liverpool