Sambutan Piala Sultan Selangor 2015 Lebih Hangat Berbanding Liga M

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri mengakui Piala Sultan Selangor 2015 mendapat sambutan lebih hangat berbanding perlawanan yang membabitkan saingan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Dia yang berada dalam skuad Selangor pada 2001 menjelaskan faktor harga tiket lebih murah dan kehadiran pasukan Veteran Selangor dan Singapura yang dibarisi legenda bola sepak kedua-dua pasukan itu menjadi tarikan utama penyokong untuk membanjiri stadium.

“Apa yang saya lihat, ramai orang (penyokong) yang ke stadium untuk menyaksikan Piala Sultan Selangor ini kerana beberapa faktor dan salah satunya mungkin harga tiket yang murah.

“Malah, saya percaya penyokong yang datang ke stadium juga untuk melihat legenda yang beraksi dalam pasukan veteran yang dapat mengimbas kembali nostalgia zaman kegemilangan Selangor dan Singapura,” katanya, semalam.

Perlawanan Piala Sultan Selangor 2015 akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dengan persembahan menarik dijangka dipamerkan kedua-dua pasukan.

Asmawi, 41, yang mewakili pasukan Veteran Selangor pada edisi tahun lalu turut berkongsi kenangan manis apabila dapat beraksi bersama legenda bola sepak dua negara yang menjadi pujaannya pada usia remaja.

“Sangat menarik sebab dapat berganding dengan legenda bola sepak dahulu dan ia adalah dua zaman yang berbeza. Ia juga sebagai satu penghormatan apabila dapat bermain bersama legenda seperti Datuk Santokh Singh dan ramai lagi.

“Walaupun pasukan veteran lebih kepada perlawanan persembahan atau persahabatan, ia tetap menghiburkan penyokong yang rindukan aksi dari pemain legenda,” katanya.

Mengulas mengenai peluang skuad pilihan Selangor untuk menjuarai Piala Sultan Selangor bagi edisi kali ini, Asmawi yakin skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu mampu mempertahankan kejuaraan yang diraih tiga tahun berturut-turut.

“Kalau tengok peluang, mungkin mereka (pilihan Selangor) boleh menang. Mereka baru layak ke suku akhir Piala Malaysia dan sekurang-kurangnya memberi momentum terbaik buat mereka,” katanya.

-BHarian

Baca Juga

Baca Juga