Sami Hyypia : Liverpool Tidak Perlu Beli Pemain Lagi Januari Nanti

Bekas pemain pertahanan Liverpool, Sami Hyypia percaya skuad Liverpool sekarang sudah cukup bagus untuk sekurang-kurangnya mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini.

Hyypia percaya pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak perlu mencari pemain baru apabila tirai perpindahan dibuka kembali Januari nanti kerana skuad sedia ada sudah cukup kuat untuk mencapai target yang ditetapkan kelab iaitu menduduki 4 teratas liga.

Liverpool kini berada di kedudukan ke-4 liga selepas 15 perlawanan dan turut mengesahkan tempat mereka ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara selaku juara kumpulan.

Prestasi yang dipamerkan anak buah Klopp kebelakangan ini juga semakin meningkat selepas memenangi 7 perlawanan dari 9 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan. Ianya satu peningkatan yang amat menakjubkan jika diambil kira mereka hanya memenangi 2 dari 10 perlawanan sebelum itu.

Isu pertahanan yang longlai menjadi punca utama mengapa Liverpool melalui permulaan musim yang hambar dan sejak Oktober, bahagian pertahanan The Reds hanya melepaskan 6 gol dan pertahanan mereka semakin utuh.

Wajah terbaru Hyppia.

Terdapat laporan mengatakan Liverpool bakal membawa masuk beberapa pemain untuk memperbaiki bahagian pertahanan mereka pada tirai perpindahan Januari, tetapi Hyypia berpendapat mereka tidak perlu melakukannya kerana prestasi pemain sedia ada sudah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.

“Pada masa sekarang, saya berpendapat tiada sebarang penambahbaikan diperlukan. Mereka sedang memenangi perlawanan dan menjaringkan gol yang sangat banyak. Mereka juga tidak bolos jadi saya rasa segalanya sudah bagus buat masa kini. Sudah tentu, setiap tahun mereka mahu menjadi lebih kuat dan mara lebih jauh kehadapan.”

“Untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini mungkin agak sukar kerana mereka ketinggalan agak jauh di belakang Manchester City yang dilihat memperolehi mata penuh setiap minggu. Terdapat juga beberapa kelab lain yang mungkin naik ke atas jika Manchester City gagal mendapat mata penuh.”

“Sudah tentu target utama pasukan adalah untuk mengakhiri Liga Perdana Inggeris di kedudukan 4 teratas untuk bermain dalam saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Mungkin juga mereka mampu memenangi Liga Juara-Juara musim ini.”

Hyppia sudah lama tidak berhubung dengan Klopp

Walaupun Liverpool mungkin tidak mampu berbelanja besar seperti yang dilakukan pasukan besar lain di England pada Januari nanti, Hyypia memberitahu pembelian nama besar pada pertengahan musim mungkin mengganggu keseimbangan pasukan dan memberi cadangan supaya mempertingkatkan keupayaan pemain yang sedia ada adalah lebih bagus.

“Saya tahu semua pasukan mahu menjadi lebih kuat dan ada dua cara untuk melakukan perkara tersebut. Satu adalah membeli pemain baru dan satu lagi adalah melatih pemain sedia ada. Sudah lama saya tidak bercakap dengan Klopp jadi saya tidak tahu perancangan beliau dalam masa terdekat ini tetapi adalah sangat penting untuk Liverpool mencari pemain yang sesuai dengan corak permainan pasukan.”

Baca Juga

Baca Juga