Sampai Bila Masalah Gaji Tertunggak?

Sekali lagi bola sepak Malaysia digegarkan (tak gegar sangat pun sebenarnya) berkenaan masalah gaji tertunggak. Satu pasukan gergasi dari pantai timur dikatakan gagal melunaskan gaji pemainnya selama dua bulan. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan status yang dimuanaik pemain-pemainnya di laman social.

Dalam Harian Metro bertarikh 2 September 2015 juga ada menyatakan bahawa pasukan ATM masih berhutang dengan para pemainnya selama dua bulan setengah gaji!

Hai-O berharap masalah gaji ATM dapat diselesaikan segera
Hai-O berharap masalah gaji ATM dapat diselesaikan segera

Kita memasuki era penswastaan liga yang akan bermula 2016 namun masalah gaji masih lagi membelenggu arena bola sepak negara.

Masalah gaji bermula apabila pasukan menawarkan gaji yang tidak masuk akal kepada para pemain, walaupun prestasi dan reputasi itu tidak setaraf dengan gaji yang ditawarkan. Ada pemain pertahanan yang boleh dikatakan average, tetapi disebabkan pemain ini pernah mewakili negara sewaktu Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki pada tahun 2010, maka gajinya dibayar RM50,000 sebulan!

Bayangkan, setahun pasukannya perlu melabur RM600,000 setahun ke atas seorang pemain! Itu belum termasuk bonus atau apa-apa ganjaran yang diberikan berdasarkan prestasi. Pemain tersebut bernasib baik kerana bermain untuk pasukan yang mempunyai dana yang besar.

Ada juga pasukan yang tidak mempunyai dana yang besar memasang angan-angan Mat Jenin untuk meraih kejayaan segera. Di sebalik dana yang tidak mencukupi, mereka berbelanja besar untuk membayar gaji pemain-pemain bertaraf bintang(di Malaysia, tetapi sampah di peringkat Asia).

Purata gaji pemain bola sepak di Malaysia adalah 50,000 Euro setahun, iaitu kira-kira RM250,000 setahun, dan RM20,000 sebulan! Tidak masuk akal jika dibandingkan dengan tahap kemahiran bola sepak di negara ini.

Indra Putra - Pemain yang paling konsisten sejak mula bermain pada tahun 1998 dan merupakan antara pemain yang mendapat gaji tertinggi di Liga Malaysia
Indra Putra – Pemain yang paling konsisten sejak mula bermain pada tahun 1998 dan merupakan antara pemain yang mendapat gaji tertinggi di Liga Malaysia

Di Thailand, purata gaji tahunan pemain di Thai Premier League ialah hanya 30,000 Euro setahun, kira-kira RM150,000 setahun dan RM12,500.00 sebulan, namun, mereka mampu untuk bersaing di peringkat Asia setaraf dengan China, Arab Saudi dan Iran.

Tetapi, adakah pengurusan bola sepak harus dipersalahkan sepenuhnya?

Tidak juga. Mereka memancing pemain dengan gaji tinggi dengan harapan pemain terbaik akan hadir, dan memberikan kejayaan segera kepada pasukan mereka. Ini bagi memenuhi desakan peminat!

Di Malaysia, secara umumnya, penyokong hanya akan muncul ketika pasukan mereka sedang gah di atas. Maka ketika ini stadium akan sentiasa dipenuhi, jualan jersi melonjak dan kata-kata semangat sering dilaungkan kepada para pemain.

Sebaliknya, jika pasukan mereka tidak berjaya mendapatkan keputusan yang diinginkan, maka stadium akan kembali kosong seperti tanah perkuburan, jualan jersi tidak mendapat sambutan dan kata-kata cai makian terus dihamburkan kepada para pemain!

Apabila duit banyak dihabiskan untuk membayar gaji pemain, maka peruntukan untuk pembangunan infrastruktur, pemain dan pengadil semakin berkurangan. Inilah puncanya pasukan Harimau Malaya gagal untuk bertanding di peringkat antarabangsa kerana ketiadaan supply pemain yang betul-betul bagus dari FA negeri.

Oleh sebab itu, beberapa dasar dalam struktur pengurusan bola sepak di Malaysia patut dikaji dan diteliti semula agar masalah liga semi-pro tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Skim gaji minimum dan maksimum boleh diketengahkan bersesuaian dengan taraf bola sepak Malaysia yang dalam proses membangun (baca membangun sejak 1985). Akhir kalam, gagal merancang ialah merancang untuk gagal.

Baca Juga

Baca Juga