Samuel Umtiti Sedih Kena ‘Boo’ Dengan Penyokong Barcelona

Barcelona ketika ini sedang membiasakan diri mereka bermain tanpa bintang utama, bekas ketua pasukan dan pemain terhebat sepanjang zaman, Lionel Messi yang sudah meninggalkan kelab minggu lalu.

Messi telah mengucapkan selamat tinggal kepada Barca dalam satu sidang media yang sungguh beremosi di Nou Camp baru-baru ini.

Pemain berusia 34 tahun itu mengakui yang beliau sangat terdesak untuk kekal di Nou Camp, dan sanggup menerima pemotongan gaji sehingga 50% dari gaji asalnya.

Walau bagaimanapun, kedudukan ekonomi Barca dan peraturan yang ditetapkan oleh La Liga telah menghalang sepenuhnya Messi untuk terus kekal beraksi bersama gergasi Catalan itu.

Messi yang ketika ini dijangka akan menandatangani perjanjian bersama Paris Saint Germain, tidak akan boleh beraksi bersama Barcelona, walaupun beliau sanggup bermain tanpa menerima gaji.

Menurut laporan Miguel Delaney dari The Independent, Barcelona perlu mengurangkan kadar gaji pemain mereka sehingga 70% dalam usaha untuk mendaftarkan Lionel Messi.

Kadar kedudukan gaji dalam skuad Barca pada ketika ini adalah 95% dan agak mustahil untuk mereka mengurangkan 25% lagi dalam masa yang semakin suntuk.

Sememangnya tidak mengejutkan untuk melihat para penyokong Barcelona meroyan kehilangan bintang terhebat sepanjang zaman mereka itu.

Ada segelintir peminat yang bengang dengan barisan pemain sedia ada, yang menolak untuk menerima pemotongan gaji, dan ada yang menolak untuk meninggalkan kelab.

Mereka menganggap pemain-pemain tersebut tidak berguna dan langsung tidak mahu membantu kelab mengukuhkan semula kedudukan ekonomi dan mengekalkan Lionel Messi.

Samuel Umtiti merupakan antara pemain Barcelona yang tak mahu meninggalkan kelab secara percuma pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain centre-back itu bersama pemain midfield, Miralem Pjanic kedua-dua mereka telah ditawarkan untuk dilepaskan secara percuma pada bulan lalu, dalam usaha Barca untuk mengurangkan kadar pembayaran gaji pemain.

Ronald Koeman tidak berminat untuk menggunakan khidmat kedua-dua pemain itu, namun menurut laporan Goal, kedua-dua pemain masih kekal menerima gaji bulanan dari kelab.

Umtiti yang pernah memenangi gelaran Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Perancis pada tahun 2018 yang lalu itu, mahu meyakinkan Koeman yang beliau cukup bagus untuk bermain bersama kelab.

Beliau juga dilaporkan telah menjalani latihan bersama jurulatih peribadi sepanjang musim panas ini, untuk memastikan dirinya kembali cergas sepanjang musim baharu nanti.

Pemain berusia 27 tahun itu dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, ketika perlawanan bertemu Juventus dalam merebut kejuaraan Joan Gamper malam minggu lalu.

Perlawanan tersebut telah dilangsungkan satu jam sahaja selepas sesi sidang media perpisahan bersama Lionel Messi.

Walau bagaimanapun, malang untuk Samuel Umtiti, apabila pemain centre-back itu telah di ejel dan di boo oleh para penyokong Barcelona sendiri.

Ekoran dari insiden tersebut, Samuel Umtiti yang merasa kecewa tidak ikut sama ketika sesi penyampaian hadiah dan menjulang Piala.

Barcelona memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Memphis Depay, Martin Braithwaite dan Riqui Puiq.

Para pemain Barcelona meraikan kejayaan mereka menjulang Piala tersebut, namun langsung tiada kelibat Umtiti sepanjang keraian itu.

Menurut penulis Sepanyol, Josep Soldado, Umtiti berasa sangat kecewa dengan situasi tersebut dan beliau terus kembali ke bilik persalinan selepas wisel penamat dibunyikan.

Umtiti meluahkan rasa kecewanya di laman media sosial miliknya selepas tamat perlawanan tersebut.

Beliau menulis di laman instagram miliknya dengan menyatakan:

“Ada masa, adalah lebih baik untuk tidak berkata apa-apa, dan hanya mendiamkan diri untuk menjaga semuanya.”

Antoine Griezmann turut menyatakan sokongan beliau pada rakan sepasukannya itu, dengan beliau memuat naik gambar rakan senegaranya itu di laman media sosial miliknya selepas tamat perlawanan tersebut.

Griezmann memberi sokongan pada Umtiti

Emosi di kem Barcelona agak tidak stabil pada ketika ini, dan mereka jelas memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan legenda terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi.

Sumber: GMS

Baca Juga

Baca Juga