Jadon Sancho mendakwa dirinya sudah lama menjadi kambing hitam di Manchester United. Kenyataan tersebut tiba daripada pemain sayap itu selepas Erik ten Hag menjelaskan pemain itu digugurkan dalam perlawanan menentang Chelsea kerana prestasi ketika latihan.
Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kekalahan 3-1 kepada Arsenal di Stadium Emirates pada malam tadi Sancho langsung tidak berada di dalam skuad hari perlawanan United.
Menjelaskan ketiadaan pemain itu Ten Hag berkata Sancho tidak berada di tahap yang dimahukannya ketika latihan menyebabkan pemain itu digugurkan.
“Tolong jangan percaya apa yang anda baca,” tulis Sancho secara terbuka di media sosial.
Jadon Sancho statement after Erik ten Hag’s quotes 🚨🔴⤵️ #MUFC pic.twitter.com/CpvGBXLQdi
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) September 3, 2023
“Saya tidak benarkan sesiapa untuk bercakap perkara tidak benar. Sepanjang minggu ini saya sentiasa memastikan diri berada di tahap terbaik ketika sesi latihan.
“Saya percaya ada sebab lain untuk perkara ini tetapi saya enggan mendedahkannya. Saya telah menjadi kambing hitam untuk tempoh yang lama dan ini tidak adil!
Pemain sayap berusia 23 tahun itu berhijrah ke Old Trafford dari Borussia Dortmund dengan nilai £73 juta pada 2021.
Sejak daripada itu Sancho sentiasa bergelut dengan konsistensi dan prestasi dan sehingga kini hanya berjaya menghasilkan sembilan gol dan enam bantuan gol di Premier League daripada 58 penampilan.
Menjelaskan kepada wartawan sebab utama tidak membawa Sancho untuk perlawanan di tempat lawan menentang Arsenal, Ten Hag berkata: “Jadon, ia mengenai prestasi pemain itu ketika latihan, jadi kami tidak memilih dia.
“Anda harus berada dan mencapai tahap tertentu setiap hari di Manchester United dan kami [jurulatih] juga berhak membuat pilihan [terbaik] untuk barisan hadapan. Untuk perlawanan ini dia tidak terpilih.”
Sancho bagaimanapun menekankan dirinya akan terus berjuang untuk mendapatkan tempat di dalam pasukan.
Ten Hag: “Jadon Sancho out? Based on performance on training we didn't select him”. 🚨🔴 #MUFC
“You have to reach the level every day at Manchester United. That’s why in this game he wasn't selected”. pic.twitter.com/vx28RBbHLw
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) September 3, 2023
“Apa yang saya mahukan ialah bermain bola sepak dengan senyuman di muka dan memberikan sumbangan kepada pasukan.
“Saya menghormati semua keputusan dibuat pasukan kejurulatihan, saya bermain bersama dengan pemain-pemain hebat dan bersyukur untuk itu, dan saya sedar setiap minggu ia adalah satu cabaran.
“Saya tetap akan terus berjuang demi lencana di dada tak kira apa.”
Pada Februari lalu Ten Hag pernah bermegah dengan kehebatan Sancho selepas pemain itu kembali menemui sentuhan penyudahnya di premier League.
Sebelum itu pemain itu pernah bergelut dengan isu kecergasan dan mental, dan Ten Hag turut pernah berkata pemain itu tidak bersedia untuk bermain bola sepak.
Sancho kemudiannya kembali beraksi di separuh akhir Piala EFL yang berakhir dengan kemenangan menentang Nottingham Forest pada 1 Februari dan seminggu kemudian menjaringkan gol penyamaan ketika seri 2-2 menentang Leeds di saingan Premier League.