Pendekatan bola sepak Manchester United selepas tewas kepada Manchester City adalah ke arah Budaya Bola Sepak Matang dan Sejahtera (BBMS) adalah sesuatu yang menarik untuk diteliti dan memberi lanskap baharu terhadap dunia bola sepak.
“Penyokong Manchester United perlu menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan menyelesaikan, gagasan, cadangan atau langkah bertindak mengatasi sesuatu isu dan perkara” Ujar Presiden kelab penyokog tidak rasmi Manchester United Seksyen 15 Jalan 1/A1 Bandar Baru Bangi dihadapan 3 ahli kelab seumuar hidup.
“Laungan kasar, menghina, troll dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan”.
Peminat Manchester United tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebuah kelab bola sepak sentiasa bertunjangkan kepada kemenangan. Selepas era revolusi Sir Alex Ferguson, Manchester United mengambil pendekatan sebaliknya iaitu bermain untuk kalah sehingga wujud perpecahan dalam kalangan orang peminat Setan Merah. Setan pun berpecah.
Bila Manchester United menyertai pasukan bawahan, gerakan melabel Setan oelh pihak lawan berlaku. Lukaku di gelar sebagai Lukayu kerana menjadi kayu di padang dan Fellaini pula sebagai pokok. Kesannya terhadap akar umbi berdendam dan membenci dari pihak lawan amat luar biasa sekali.
Selepas elemen anti menang Manchester United tidak mudah bagi pengurusan khususnya Jose Mourinho ingin mengembalikan semula keyakinan peminat akar umbi dengan pendekatan dan budaya baharu.
“Imej baharu ini mesti dibawa oleh pemimpin kelab penyokong Setan Merah di semua peringkat, ceramah, kuliah, sidang akhbar, ucapan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hendaklah berlandaskan ilmu. Jika ada wakil peminat di Parlimen.”
Kenyataan ini amat tepat sekali. Sekadar retorik penyokong dengan emosi ketabsuban terhadap pasukan dan pemain, tidak akan menyumbang apa-apa melainkan perpecahan. Sekiranya perjuangan penyokong didekati secara ilmu, dakwah dan tarbiah ini menepati apa yang ada dalam bola sepak, satu sukan menyatukan.
“Penyelesaiannya adalah sokongan kepada pasukan yang bersifat bijaksana, matang dan bermatlamatkan kesejahteraan penyokong.”
Kenyataan Presiden kelab penyokog tidak rasmi Manchester United Seksyen 15 Jalan 1/A1 Bandar Baru Bangi ini amat menarik untuk direnung kerana berlakunya anjakan dari sikap reaktif sekian lama ke arah proaktif yang sifatnya membina.
Diharapkan Budaya Bola Sepak Matang dan Sejahtera (BBMS) ini bukan retorik baharu yang lahir hanya kerana mahu menutup kekalahan Manchester United tatkala Liverpool mencatatkan kemenangan. Ia perlu dilihat dengan amalan dan bukti.
Sebagai sebuah pasukan bola sepak yang ada pengaruh, Manchester United kena bertindak sebagai pasukan yang dipedomankan oleh seamangat Fair Play lantaran cabaran perlawanan yang ada adalah amat besar sama ada yang bersifat ideologikal, ekonomi, pendidikan, pengaruh teknologi yang menuntut sumbangan berkesan secara bersama.
Kalau mengambil semangat Budaya Bola Sepak Matang dan Sejahtera (BBMS), ini tidak mustahil. Kepimpinan Manchester United dan Kelab Penyokong serta penyokong bola sepak yang lain harus berjiwa besar untuk memastikan generasi penerusnya mampu menjadi mata rantai perjuangan dengan mengambil kira bola sepak adalah sebagai sebuah sukan untuk semua.
Keterbukaan dan keikhlasan untuk mengaku kesilapan kekalahan lalu,kini dan mendatang adalah semangat Fair Play dan kesediaan untuk melalui fasa baharu dalam menyantuni bola sepak yang penuh kesopanan dan persaudaraan.
Begitulah ucapan penuh berbaur politik dan mahu menyelamatkan diri dari ditroll oleh peminat pasukan lain selepas Manchester United mengalami kekalahan dengan permainan yang memalukan.