Sarri: £100 Juta Terlalu Murah Untuk Pemain Hebat Seperti Hazard

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berkata tanda harga bernilai £100 juta yang diletakkan terhadap Eden Hazard adalah nilai yang terlalu murah, namun mengakui beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengekalkan pemain tersebut di Chelsea.

Dalam satu-satunya perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, Chelsea meraih 3 mata berharga dengan menewaskan seteru London, West Ham 2-0 di hadapan penyokong sendiri.

Sarri tidak ada kuasa untuk mengekalkan Hazard

Kemenangan tersebut sekaligus melonjakkan The Blues ke tangga ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris, 2 mata di hadapan Tottenham yang bermain kurang 1 perlawanan.

Chelsea harus berterima kasih kepada Hazard kerana bermain cemerlang dengan menyumbang kesemua gol perlawanan.

Paling mencuri perhatian adalah gol pertama beliau dalam perlawanan tersebut dimana Hazard berjaya menggelecek 3 orang pemain West Ham sebelum merembat kencang untuk menewaskan Lukasz Fabianski.

Tidak cukup dengan itu, pemain antarabangsa Belgium itu menambah koleksi jaringannya musim ini menjadi 16 gol apabila menjaringkan satu lagi gol pada waktu kecederaan untuk mengesahkan kemenangan The Blues.

Hazard menghasilkan gol solo yang cukup menakjubkan

Hazard hanya mempunyai kontrak bersama Chelsea sehingga penghujung musim hadapan dan dilihat semakin hampir untuk meninggalkan Stamford Bridge untuk menyertai Real Madrid dalam masa terdekat.

Kedua-dua pihak masih lagi belum mencapai kata sepakat mengenai lanjutan kontrak dan situasi ini menguatkan lagi spekulasi musim ini bakal menjadi musim terakhir Hazard di England.

Sarri sedar beliau berkemungkinan besar akan kehilangan pemain yang cukup berpengaruh musim panas ini, tetapi mendakwa nilai yang ditetapkan untuk Hazard adalah cukup murah dalam pasaran pemain hari ini.

“£100 juta merupakan satu jumlah yang cukup murah. Dalam pasaran pemain sekarang, jumlah itu dikira agak murah. Kita telah melihat harga pemain pada pasaran perpindahan pemain sebelum ini. Jadi agak sukar bagi kami untuk mencari pengganti kepada Hazard.”

Adakah Hazard terlalu baik untuk kelab lemah seperti Chelsea ?

“Saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk mengekalkan Hazard. Jika Hazard mengambil keputusan untuk mencari pengalaman baru, saya rasa agak sukar untuk kami menyimpan beliau.”

“Kami akan cuba untuk memujuk beliau dengan memperkuatkan pasukan ini supaya menjadi antara yang terbaik di England dan juga di Eropah. Tetapi saya juga perlu menghormati keputusan Hazard.”

Dalam perlawanan awal pagi tadi, kedengaran sorakan dari peminat West Ham yang menyorak Hazard akan berpindah ke Real Madrid.

Ketika ditemuramah Sky Sports selepas tamat perlawanan, Hazard telah ditanya sama ada sorakan itu benar atau tidak.

“Mereka [peminat West Ham] silap. Saya hanya fokus pada Chelsea sehingga hujung musim ini. Saya hanya mahu menamatkan musim ini di kedudukan Top 4 dan memenangi Europa League. Masih banyak yang perlu kami lakukan.”

BACA:  Champion League 2021/22 Final: Liverpool 0-1 Real Madrid