Sarri Beritahu Chelsea Niatnya Untuk Meninggalkan Stamford Bridge Dalam Masa Terdekat

Menurut laporan terbaru daripada Itali, ketua jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri telah memberitahu kelabnya mengenai rancangan beliau untuk meninggalkan kelab tersebut pada musim panas nanti.

Dalam musim pertamanya selaku pengendali Chelsea, Sarri berjaya membawa The Blues kembali beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan selepas menduduki tangga ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris.

Juventus sasar Sarri sebagai pengurus bagi musim hadapan

Tambah manis, Sarri turut menghadiahkan Chelsea trofi Europa League selepas mudah membenam Arsenal dalam perlawanan akhir beberapa hari yang lalu. Ia juga merupakan trofi pertama Sarri sejak bergelar pengurus profesional.

Spekulasi yang kini sedang bertiup kencang mendakwa Sarri akan menggantikan tempat Massimiliano Allegri yang telah meninggalkan Juventus baru-baru ini.

Direktor Chelsea, Marina Granovskaia telah mengadakan perbincangan tertutup dengan Sarri pada hari Jumaat lalu dan memberi jaminan akan berbincang dengan pemilik kelab, Roman Abramovic mengenai masa depan Sarri di Stamford Bridge.

Seperti pengurus-pengurus lain sebelum ini, Sarri tidak dapat lari dari menerima tekanan tinggi dari pemilik dan penyokong kelab yang dahagakan kejayaan. Musim ini menyaksikan Chelsea gagal memberi cabaran kepada Manchester City dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan ia telah mengundang kritikan dari sesetengah peminat yang laparkan trofi.

Europa League merupakan trofi pertama Sarri sejak bergelar pengurus profesional

Chelsea berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Carabao dengan menewaskan pasukan seperti Liverpool dan Tottenham, tetapi terpaksa akur kepada Manchester City dalam perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.

Terdapat segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ingin diterapkan Sarri dalam skuad Chelsea, yang terkenal dengan corak permainan ‘Sarri-ball’.

Dengan Allegri sah mengosongkan jawatannya di Juventus, Sky Sports Italia melaporkan Sarri adalah calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut. Menurut perkembangan terkini, Sarri sangat berminat dengan jawatan tersebut dan bersedia untuk meninggalkan Stamford Bridge walaupun baru sahaja semusim di England.

Menjelang pertemuan penting Sarri dengan pihak atasan kelab, beliau telah bertemu dengan ejennya, Fali Ramadani untuk mencari pakej dan jalan penyelesaian terbaik untuk keluar dari kelab tersebut.

Pengurus Derby, Frank Lampard yang juga ikon lagenda Chelsea, dicanang bakal menjadi ketua jurulatih Chelsea yang baru sekiranya Sarri meninggalkan kelab tersebut.

Lampard dicanang menjadi pengurus Chelsea seterusnya. Adakah peminat Chelsea yakin dengan kemampuan Lampard?

Dalam musim pertamanya sebagai pengurus profesional, Lampard berjaya menghadirkan impak yang cukup baik dimana beliau berjaya membimbing Derby mara ke play-off final sebelum dinafikan Aston Villa.

Derby turut mengumumkan mereka akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan Lampard sebagai pengurus. Menurut laporan Sky Sports, Lampard telah bertemu dengan pihak atasan Derby untuk berbincang mengenai rancangan perpindahan musim panas ini.

BACA:  Hazard Mahu Tahu Siapa Pengurus Chelsea Musim Depan Sebelum Tentukan Masa Depan