Sarri Dakwa Chelsea Perlukan Setahun Untuk Capai Taraf Liverpool

Ketua jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri mengakui pasukannya perlu bermain dengan lebih baik sekiranya mahu menyaingi Liverpool dalam perebutan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Sebelum ‘Gameweek 6’, Liverpool dan Chelsea masing-masing mengekalkan rekod kemenangan seratus peratus dan Chelsea mendahului carta liga melalui perbezaan gol sahaja.

Sarri akui Chelsea masih lagi jauh untuk mencapai tahap Liverpool Power Next Year Is Our Year

Namun begitu, Chelsea gagal mengikut jejak langkah Liverpool hujung minggu lalu apabila diikat seri tanpa jaringan ketika menentang West Ham dalam perlawanan yang berlangsung di London Stadium. Manakala Liverpool pula mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Southampton untuk melebarkan jurang menjadi 2 mata mengatasi pencabar terdekat iaitu Manchester City dan Chelsea.

Liverpool dan Chelsea akan bertembung sebanyak dua kali dalam masa seminggu dengan aksi pusingan ke-3 Piala Liga bakal berlangsung pada hari Khamis ini di Anfield. Beberapa hari kemudian, giliran Chelsea pula menjadi tuan rumah kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan kemenangan mampu melonjakkan The Blues kembali ke persada liga.

Ketika ditemu ramah pemberita selepas tamat perlawanan semalam, Sarri mengakui beliau tidak gembira dengan keputusan seri yang dicatatkan anak buahnya dan turut berkata Chelsea perlu lebih efisien ketika menyerang jika mereka mahu meranapkan rekod kemenangan 100 peratus Liverpool hujung minggu ini.

“Liverpool berada selangkah di hadapan kami ketika ini. Kami hanya mula bekerjasama 35, 40 hari yang lalu.”

Chelsea dan Liverpool akan bertemu dua kali minggu ini

“Jadi bagi kami, masih terlalu awal. Kami perlu bekerja lebih keras. Kami perlu berusaha untuk menjadi pasukan yang lebih baik dan mungkin selepas setahun, kami akan mencapai tahap Liverpool.”

West Ham tewas dalam 4 perlawanan awal Liga Perdana Inggeris musim ini sebelum mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Everton dua minggu yang lalu. Walaupun West Ham bergelut dengan masalah prestasi pada permulaan musim, Sarri tidak pernah menafikan kualiti pemain yang dimiliki Mauricio Pellegrini.

“Kami sepatutnya bermain lebih baik, terutamanya pada 20 minit pertama perlawanan. Kemudian untuk 20 minit yang seterusnya, kami bermain lebih baik.”

“Kami tahu West Ham merupakan pasukan yang bagus dan hari ini merupakan perlawanan yang sukar. Tetapi saya masih tidak gembira dengan keputusan yang kami raih hari ini.”

Giroud mempunyai perlawanan yang hendak dilupakan

Sarri turut menjelaskan punca beliau mengeluarkan Olivier Giroud pada rehat separuh masa pertama walaupun pemain tersebut menunjukkan aksi cemerlang ketika menang 4-1 ke atas Cardiff sebelum ini.

“Giroud merupakan titik rujukan yang sangat penting kepada pemain-pemain yang lain. Namun begitu, West Ham berjaya memotong segala hantaran yang kami lakukan terhadap Giroud. Jadi saya memilih untuk memasukkan Alvaro Morata untuk mendapatkan sesuatu dari pergerakan tanpa bola beliau.”

BACA:  'Tiada Kesetiaan'- Ronaldo Boleh Sertai Liverpool Andai Berkesempatan