Sarri Tidak Berapa Pasti Bagaimana Untuk Tewaskan Manchester City

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui beliau tidak mengetahui cara untuk menewaskan Manchester City selepas tewas di tangan Pep Guardiola dalam tiga pertemuan terakhir mereka.

Bekas pengurus Napoli itu masih lagi gagal untuk menewaskan Guardiola sepanjang kariernya dan tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai strategi yang akan diguna pakai apabila Chelsea menanti kunjungan Manchester City di Stamford Bridge awal pagi Ahad nanti.

Sarri bingung mencari cara untuk tewaskan City. Jangan pikir lama2, nanti kena buang kerja

Selepas melalui permulaan musim yang cemerlang, prestasi Chelsea sedikit kendur sejak kebelakang ini dan akibatnya mereka kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Persaingan untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini yang pada asalnya melibatkan 3 penjuru di antara City, Liverpool dan Chelsea tidak lagi berlaku dengan The Blues semakin jauh ditinggalkan.

Kemenangan ke atas City hujung minggu ini mampu melonjakkan Chelsea kembali dalam persaingan merebut kejuaraan liga tetapi Sarri mengakui ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan beliau tidak pernah menang ke atas skuad Guardiola sepanjang kariernya.

Sarri tewas di tangan Guardiola ketika bergelar pengurus Napoli musim lepas

Dalam sidang media menjelang pertemuan penting itu nanti, Sarri telah ditanya wartawan mengenai cara untuk menewaskan The Citizens.

Dalam nada yang jujur Sarri berkata, “Saya tidak tahu !”

“Setiap kali saya berhadapan dengan Pep Guardiola, saya kalah. Jadi saya tidak tahu. Kamu [wartawan] perlu bertanya pada orang lain saya rasa.”

Manchester City masih lagi belum tewas musim ini dan berjaya memenangi kesemua tujuh perlawanan terakhir liga mereka. Sarri percaya Guardiola mempunyai skuad paling kuat di benua Eropah sekarang.

“Perlawanan ini sangat penting buat kami. Kami tahu ia bakal menjadi perlawanan yang amat sukar menentang pasukan yang saya anggap paling bagus di Eropah sekarang. Jadi saya tahu ia bakal menjadi perlawanan yang sukar.”

“Untuk sekian lama, mustahil bagi mana-mana pasukan untuk menewaskan Manchester City tetapi dalam perlawanan bola sepak, segalanya boleh berlaku.”

“Saya rasa kami semakin bertambah baik, tetapi mereka juga bertambah baik. Jadi agak sukar untuk menutup jurang tersebut.”

Perlawanan Dulang Komuniti awal musim ini
juga berpihak kepada Guardiola. Memang malang Sarri ni

“Kami memulakan musim ini dengan baik tetapi sekarang kami melalui waktu yang sukar. Jika melihat pada cara permainan baru Chelsea, ia merupakan perkara biasa jika kami melalui waktu yang sukar.”

“Kami perlu cuba untuk menyelesaikan satu persatu masalah, dari hari ke hari, dan menjadi bertambah baik dalam cara yang pasti.”

Sarri percaya penurunan prestasi Chelsea berlaku kerana kurangnya motivasi pemain, dan menggesa pemainnya supaya menetapkan sasaran supaya menjadi salah sebuah pasukan terbaik di benua ini.

BACA:  Cech: Arsenal Sudah Lupa Bagaimana Untuk Memenangi Liga Perdana Inggeris