Satu Gol Freekick Yang Gila, Dua Assist Menipu Pemain Lawan, Messi Bawa Argentina ke Separuh Akhir Copa America

Pemain terbaik dunia, Lionel Messi telah menjaringkan satu gol daripada sepakan percuma dan menyumbangkan dua assist sekaligus membawa Argentina mara ke perlawanan separuh akhir Copa America 2021, bertemu Colombia.

Pada awal perlawanan, Messi terlepas satu peluang keemasan ketika dia berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Ecuador, namun lima minit sebelum masa rehat, dia telah melakukan satu assist kepada Rodrigo de Paul untuk gol pertama Argentina.

Pada mulanya, penjaga gol Ecuador telah menerjah bola di kaki Lautaro Martinez, sebelum bola muntah ke kaki Messi. Dengan gawang yang terbuka, pemain pertahanan Ecuador mula menutup ruang daripada membenarkan Messi melakukan cubaan.

Namun Messi ni bijak di mana dia acah-acah nak rembat, tetapi sebaliknya dia menolak bola kepada De Paul yang berada di seberang sana, lantas membuatkan pertahanan Ecuador mati langkah.

De Paul kemudiannya tanpa segan silu dengan mudah menolak masuk gol pertama Argentina.

Masuk separuh masa kedua, Argentina mengekalkan rentak menyerang namun gagal menemukan gol. Pencarian gol kedua akhirnya menemukan titik noktah apabila Messi sekali lagi menyumbangkan bantuan gol, kali ini kepada Lautaro Martinez.

Bermula dengan kesilapan penjaga gol Ecuador yang menghantar bola bunuh diri kepada pertahanan tengah pasukannya, Messi yang melakukan tekanan awal berjaya merampas bola lalu masuk ke kotak penalti Ecuador, dan berhadapan dengan seorang pertahanan tengah yang terkontang kanting keseorangan.

Selepas itu, Messi sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah raja gelecek di dunia ini apabila melakukan body feint yang telah mengunci pergerakan pertahanan tersebut sebelum menolak bola kepada Martinez, walaupun diminta oleh Angel Di Maria.

Tidak mensia-siakan kepercayaan Messi, Martinez kemudiannya merembat bola ke jaring Ecuador, sekaligus mengesahkan tiket Argentina ke separuh akhir.

Meskipun sudah sah layak ke separuh akhir, Argentina tetap menyerang dan mencari gol dan pada minit ke-93, pertahanan Ecuador dilayangkan kad merah kerana mengasari Di Maria yang berpeluang menjaringkan gol.

Pengadil menganugerahkan sepakan percuma betul-betul di hujung kotak penalti Ecuador dan tendangan diambil oleh Messi.

Bagaikan berada di dunia fantasi, Messi dengan bersahaja merembat padu bola ke penjuru gol lawan, lantas menjadikan kedudukan kepada tiga gol tanpa balas, dan wisel penamat ditiup tidak lama kemudian.

Gol tersebut merupakan gol yang ke 76 bagi pemain tersebut dalam jersi Argentina, dan juga kurang satu gol daripada rekod jaringan buat pasukan kebangsaan bagi negara Amerika Selatan yang dipegang Pele.

“Aku selalu cakap yang anugerah peribadi tu nombor dua, kami ada kat sini ni untuk benda lain,” ujar Messi selepas perlawanan.

“Kami ada sasaran dan kami fokus tang tu ja.

“Perlawanan ni sangat sukar, kami tahu yang lawan kami ni boleh jadi liat macam mana. Apa yang penting kami dah mengambil satu langkah lagi.:

Setakat ini, Argentina tidak pernah tewas dalam 17 perlawanan terakhir mereka dan membuktikan bahawa mereka yang sangsi dengan kemampuan pasukan ini melakukan satu kesilapan besar.

Pada peringkat kumpulan Copa America tahun ini, Argentina hampir memungut mata penuh apabila merekodkan tiga kemenangan dan sekali seri – iaitu ketika bertemu Chile dalam perlawanan pertama mereka.

Kemudian Argentian menumpaskan cabaran Uruguay 1-0 dalam perlawanan kedua, dan juga merekodkan gol yang sama ketika bertemu Paraguay dalam perlawanan ketiga.

Hanya dalam perlawanan terakhir kumpulan, Argentina berjaya menjaringkan lebih daripada satu gol di mana mereka membelasah Bolivia 4-1, menerusi jaringan daripada Alejandro Dario Gomez, Messi yang menjaringkan dua gol dan juga Lautaro Martinez.

Pertemuan separuh akhir dijadualkan pada 7 Julai nanti dengan penyang juara, Brazil bakal menyekat hajat Peru untuk mencipta kejutan dan Argentina bertemu Colombia.

Sumber : Youtube, ESPN

BACA:  Laporta Akui Tidak Bercakap Dengan Messi Sejak Pemain Itu Pilih Inter Miami