Satu Permintaan Cristiano Ronaldo Kepada Penyokong Manchester United Selepas Menewaskan Villareal

Pemain terbaik dunia bagi kategori 35 tahun dan ke atas, Cristiano Ronaldo, sekali lagi telah membuktikan bahawa kepulangannya ke Manchester United bukan sekadar untuk melariskan penjualan jersi, tetapi memang hadir dengan satu misi utama – membantu United kembali menjadi pencabar utama.

Setakat ini, Ronaldo atau lebih dikenali sebagai Pakdo di kalangan penyokongnya di sebuah negeri di Pantai Timur Malaysia, telah menjaringkan lima gol dalam lima penampilan bersama pasukan Syaithon Merah.

Terbaru, dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA semalam, pemain kelahiran Madeira ini telah menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit-minit akhir perlawanan, sekaligus memberi tiga mata penting buat pasukan kendalian Ole Gunnar Solksjaer, selepas mereka tewas dalam perlawanan pertama kepada Young Boys dari Switzerland.

Perlawanan semalam berlangsung dengan begitu sengit di mana kedua-dua pasukan dilihat saling melancarkan serangan dan sampai ke dalam kotak penalti lawan.

Walaubagaimanapun gol pertama perlawanan hanya hadir pada separuh masa kedua apabila Paco Alcacer telah menolak bola umpanan daripada Danjuma dari sebelah kanan gol United.

Selang tujuh minit kemudian, United menyamakan kedudukan apabila bola sepakan percuma Bruno Fernandes telah dirembat bagaikan seorang tekong sepaktakraw oleh bek kiri, Alex Telles. Bola kemudiannya melencong dan meluru ke sebelah kiri gol Villareal tanpa dapat diselamatkan oleh Geronimo Rulli.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri dan para penyokong Liverpool dan Arsenal sudah bersedia untuk menaip status mengejek penyokong United, Fred yang masuk menggantikan Telles, telah melakukan satu hantaran lencong ke dalam kotak penalti Villareal.

Bola kemudiannya ditanduk oleh Ronaldo ke arah Jesse Lingard, yang dengan bijaknya menguis bola kembali kepada kapten Portugal tersebut.

Tanpa melengahkan masa, Ronaldo tanpa segan silu terus merembat bola ke arah gol lawan, dan berjaya menghasilkan gol kemenangan.

Selepas tamat perlawanan, Ronaldo telah ditemuramah oleh wartawan, dia akui ada kalanya sukar buat seseorang pemain untuk menjaringkan gol.

“Kadang-kadang para pemain, kami cuba melakukan tugas kami, untuk bermain dengan baik dan menjaringkan gol tapi kadang-kadang tu jadi macam mustahil.

“Penyokong pun ada peranan juga apabila pasukan sedang berada dalam kesulitan, mereka perlu memberi semangat kepada kami. Sebab itulah aku cakap dan minta kepada penyokong, kalau diorang boleh buat la.

“Diorang bagi kami motivasi untuk terus berjuang dan terus berlari dan terus percaya.

“Jadi hari ini, inilah yang kami rasa. Kami rasa gembira sangat. Satu kemenangan yang penting dan kita sekarang ni berada di landasan yang betul.”

Selain menambah koleksi jaringan peribadi dalam pertandingan UCL, Ronaldo juga telah mencipta sejarah baru dalam perlawanan tersebut.

Ronaldo kini menempa nama sebagai pemain yang paling banyak beraksi dalam perlawanan UCL, dengan 178 perlawanan. Sebelum ini dia berkongsi rekod ini dengan bekas penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas yang merekodkan 177 perlawanan.

Di belakang kedua-dua lagenda Madrid ini adalah dua bekas pemain Barcelona, Xavi dan Lionel Messi yang merekodkan 151 penampilan, dan diikuti oleh Raul Gonzalez yang telah turun dalam 142 perlawanan.

Selain itu, Ronaldo juga masih memegang rekod sebagai penjaring terbanyak dalam UCL dengan 136 gol, meninggalkan Messi di tempat kedua dengan 121 gol, manakala Robert Lewandowski di tempat ketiga dengan 77 gol.

Pada hujung minggu ini, Ronaldo dan rakan sepasukannya akan turun kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris, di mana mereka bakal menerima kunjungan Everton, dalam perlawanan yang sangat penting dalam mengembalikan keyakinan para penyokong United di Malaysia yang dilihat sangat suka berzikir #OleOut di laman sosial, tambah-tambah selepas mereka tewas kepada Aston Villa tempoh hari.

Sumber : Manutd.com

BACA:  Cristiano Ronaldo Tak Jadi ke Manchester City, United Menjadi Destinasi Pilihan