“Saya Membantu Pemain Lain Menjadi Lebih Baik” – Mohamed Salah

Mohamed Salah percaya bahawa musim ini adalah yang terbaik dalam kariernya di Liverpool kerana dia bukan sahaja menjaringkan gol tetapi turut membantu rakan sepasukan meningkatkan prestasi mereka.

Penyerang berusia 32 tahun itu telah mencatatkan 51 sumbangan gol dalam semua pertandingan musim ini, dengan 30 gol dan 21 bantuan gol.

Walaupun dia masih belum melepasi rekod 58 sumbangan gol (44 gol dan 14 bantuan gol) yang dicapainya pada musim 2017/18, bintang Mesir itu merasakan peningkatan jumlah bantuan golnya pada musim ini membuktikan bahawa musim 2024/25 adalah musim terbaiknya bersama Liverpool.

Dalam temu bual bersama TNT Sports, Salah berkata:

“Saya rasa ini adalah musim terbaik saya kerana saya telah membantu pemain lain menjadi lebih baik. Itu yang saya rasa. Saya semakin memahami corak permainan mereka.

“Jika anda lihat statistik pemain lain, ia lebih tinggi daripada musim-musim sebelumnya. Bantuan gol saya juga lebih banyak tahun ini, yang menunjukkan saya telah banyak membantu mereka.

“Cody (Gakpo) dan Lucho (Luis Diaz) serta beberapa pemain lain sedang melalui musim terbaik mereka. Lebih baik daripada mana-mana musim sebelum ini, jadi saya rasa ini adalah musim terbaik saya.”

Gakpo telah menyamai rekod 16 gol yang dijaringkannya dalam musim penuh pertamanya bersama Liverpool, manakala Diaz juga telah menyamai jumlah 13 gol dan 5 bantuan gol yang dicapainya pada musim lalu.

Dominik Szoboszlai turut mendapat manfaat daripada keupayaan Salah dalam mencipta peluang dengan 12 sumbangan golnya (6 gol dan 6 bantuan gol), mengatasi jumlah 11 sumbangan gol (7 gol dan 4 bantuan gol) yang dicatatkannya dalam musim pertamanya di Liverpool.

Dengan 16 bantuan gol di Liga Perdana Inggeris setakat ini, Salah kini semakin hampir untuk menyamai rekod jumlah bantuan gol terbanyak dalam satu musim Liga Perdana yang kini dipegang secara bersama oleh Thierry Henry dan Kevin De Bruyne.

Salah yang kontraknya akan tamat pada musim panas ini, juga telah naik ke kedudukan ke-3 dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool selepas menyamai rekod Gordon Hodgson (241 gol). Kini, dia hanya ketinggalan di belakang Roger Hunt (285) dan Ian Rush (346).

Ketika ditanya mengenai peluangnya memenangi anugerah Ballon d’Or, Salah menjawab:

“Mari kita menjuarai Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, kemudian kita lihat.”

Liverpool yang mendahului liga dengan kelebihan 11 mata telah melebarkan kepada 13 mata selepas menewaskan Newcastle 2-0 dan pencabar terdekatnya, Arsenal seri 0-0 dengan Nottingham Forest.

Adakah Salah Akan Memecahkan Rekod Bantuan Gol Henry dan De Bruyne?

Pada bulan November lalu, Salah berkongsi dalam sesi The Reds Roundtable tentang nasihat yang pernah diterimanya daripada Arsène Wenger:

“Dia (Wenger) berkata, ‘Pemain yang benar-benar hebat akan sentiasa fokus dalam perlawanan walaupun ketika tidak berada dalam momentum baik. Dia kekal dalam permainan hingga wisel penamat dibunyikan.’”

Sebagai pemain sayap, Salah mungkin tidak mencipta bantuan gol dengan cara yang sama seperti Henry tetapi Arne Slot telah berjaya meletakkannya dalam posisi berbahaya di atas padang.

Dengan 25 gol liga musim ini, Salah bukan sahaja menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana, malah jumlah keseluruhannya kini mencecah 182 gol – menjadikannya penjaring ke-6 terbanyak dalam sejarah liga. Dia kini hanya berada di belakang Alan Shearer (260), Harry Kane (213), Wayne Rooney (208), Andy Cole (187) dan Sergio Aguero (184).

Kini, ketika Liverpool memburu kejuaraan Liga Perdana keduanya, Salah berada dalam kedudukan terbaik untuk mencatatkan rekod bantuan gol sepanjang musim dan menambah satu lagi pencapaian ke dalam karier gemilangnya.

BACA:  Pemain Liverpool Guna Brain Sensors Sebagai Persediaan Final UCL