Scholes Anggap Pogba Budak Bermasalah Dan Tak Layak Main Untuk Man Utd

Paul Scholes memberikan kritikan pedas ke atas Paul Pogba dan menganggap bintang Perancis itu tidak sepatutnya bermain untuk Manchester United lagi.

Beliau menganggap yang Manchester United tidak memerlukan khidmat pemain midfield Perancis itu, apa lagi selepas melihat bagaimana Pogba dengan mudah menerima kad merah ketika beraksi bertemu Liverpool kemarin.

Manchester United telah dibelasah tanpa belas oleh Liverpool dalam aksi saingan Premier League kemarin, dengan anak-anak buah Jurgen Klopp kenduri gol di Old Trafford.

Liverpool membedal setan merah 5-0 dalam perlawanan yang memperlihatkan seolah-olah mereka hanya menumpang padang Old Trafford untuk menjalani sesi latihan sahaja.

Paul Pogba dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, dengan United pada ketika itu sudah ketinggalan 4-0.

Walau bagaimanapun, belum sempat berpeluh, beliau sudah diarahkan untuk kembali ke bilik persalinan untuk mandi lebih awal kerana dilayangkan dengan layangan kad merah.

Bintang Perancis itu melakukan tindakan dungu dengan menerjah Naby Keita menggunakan kedua-dua belah kaki dan menyebabkan pengadil perlawanan terpaksa mengeluarkan kad merah.

Legenda Manchester United itu percaya yang Pogba sebenarnya telah banyak diberikan kesempatan untuk membuktikan mengapa beliau bernilai untuk kelab.

Scholes turut mempertikaikan tentang kontroversi luar padang yang sering dicetuskan oleh Pogba dan ejennya sendiri, Mino Raiola sebagai satu hal yang tidak boleh diterima.

Dek kerana itu, beliau menegaskan yang lebih baik untuk Paul Pogba pergi sahaja meninggalkan kelab dari terus menjadi beban.

“Paul Pogba dimasukkan ke padang lepas rehat separuh masa untuk membantu pasukan dan mungkin dapatkan kembali maruah kelab, cuba untuk kawal bola, cuba untuk buktikan betapa kuatnya dia di tengah padang… Tapi akhirnya dia beri gol kepada lawan.”

Jelas Paul Scholes kepada Premier League Productions.

“Dan kemudian dia dilayangkan kad merah kerana tackle yang mengarut, sekarang mereka ketinggalan 5-0 dan terpaksa bermain dengan 10 orang pemain. Kamu perlu untuk fikir, jika Ole masih pengurus di sana, adakah kita akan lihat Pogba kembali menyarung jersi United?”

“Dia cetuskan kekecohan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Semua orang tahu betapa berbakatnya dia, semua orang percayakan dia, semua pengurus percayakan dia, cuba bagi dia muka dan biarkan dia jadi pemain yang dia mahu.”

“Tapi dengan semua hal ini, tidak mahu tandatangani kontrak baru, hampir menghantar kelab ke lembah hina, dan kemudian dia datang, lepas tu lakukan hal seperti itu.”

“Ini bukan salah Ole, jangan salah faham, tapi hal ini sebahagian dari sebab rosaknya persembahan United hari ini.”

“Lihat, dia berkemungkinan akan bermain lagi, betul bukan? Tapi saya tak fikir mereka akan rasa kehilangan andai dia tidak bermain.”

“Dia ada banyak peluang, dia selalu kata yang dia kurang konsisten, tapi dia sebenarnya kurang berdisiplin dan tidak menghormati pengurus dia dan rakan sepasukan dia yang lain atas apa dia buat hari ini.”

United akan kembali beraksi dalam saingan Premier League pada Sabtu ini bertemu Spurs di Tottenham Hotspur Stadium.

Mereka selepas itu bakal berkunjung ke Atalanta untuk aksi dalam saingan Champions League, sebelum bertemu Manchester City tiga hari selepas itu di Old Trafford.

Walau bagaimanapun, berkemungkinan Manchester United akan turun dalam semua perlawanan jtu tanpa kelibat pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus dari Norway itu pada ketika ini sedang berada dalam keadaan tekanan yang teramat sangat, dengan pihak kelab sedang membincangkan soal masa depannya.

Melihat kepada persembahan buruk United, pimpinan kelab, dan para pemain sendiri sudah hilang kepercayaan kepada Ole Gunnar Solskjaer.

Pihak kelab dilaporkan juga sedang berunding dengan Antonio Conte untuk menawarkan kontrak sebagai pengurus United yang baharu, menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Bekas pengurus Inter Milan itu sudah menyatakan persetujuan beliau untuk menerima jawatan itu, namun masih belum ada sebarang keputusan muktamad dari kedua-dua pihak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aksi Penjaga Gol Paul Pogba Bantu Antonio Jana Hampir RM1.4 Juta