Scholes Dan Ferdinand Tunjuk Reaksi Berbeza Melihat Ronaldo Jaringkan Gol Penyamaan

Gol penyamaan jaringan Cristiano Ronaldo di minit akhir ketika aksi terikat 2-2 bertemu Atalanta telah mencetuskan pelbagai reaksi di dalam studio BT Sport.

Atalanta melayan kunjungan Manchester United untuk aksi saingan Champions League dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati mengutip satu mata berharga.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu telah berjaya menjaringkan gol dan mencatatkan assists untuk hampir 50% dari gol Manchester United sejak beliau ditandatangani semula pada musim panas lalu.

Ketika aksi bertemu Atalanta pada awal pagi tadi, beliau berjaya meledak dua gol untuk membantu skuadnya mengikat pasukan tuan rumah dengan keputusan 2-2, selepas mereka dua kali ketinggalan dalam perlawanan ini.

Jaringan Cristiano Ronaldo juga secara tidak langsung telah menyelamatkan Ole Gunnar Solskjaer dari mencatatkan keputusan buruk di pentas bola sepak Eropah.

Gol minit ke-91 beliau bertemu gergasi Itali itu telah berjaya mengukuhkan kedudukan United untuk berada di puncak saingan peringkat kumpulan F.

Setan merah selepas ini hanya perlu beraksi bertemu Villarreal di halaman lawan dan Young Boys di Old Trafford untuk menamatkan aksi saingan peringkat kumpulan.

Gol kedua Cristiano Ronaldo dalam perlawanan ini berjaya untuk membuatkan Rio Ferdinand kegirangan dan meraikan gol tersebut dengan penuh kebahagiaan.

“Ya tuhann”

Jerit Ferdinand sambil menunjuk ke arah skrin.

“Ini lah apa yang dia buat! Ia diharamkan! Makhluk Asing!.”

Paul Scholes sementara itu hanya menunjukkan reaksi tenang, santai sambil turut memberikan tepukan untuk gol tersebut.

Beliau kemudiannya kelihatan seperti langsung tidak meraikan gol tersebut dengan memasukkan tangganya ke dalam poket sambil duduk bersandar.

Video di bawah merupakan reaksi kedua-dua Scholes dan Ferdinand ketika meraikan gol penyamaan jaringan Cristiano Ronaldo.

Sudah semestinya tiada siapa yang boleh mempertikaikan tentang impak Ronaldo sejak dari awal beliau ditandatangani dari Juventus pada musim panas lalu.

Beliau berjaya menjaringkan gol dalam kesemua aksi Manchester United dalam saingan Champions League musim ini.

Selepas tamat perlawanan, Rio Ferdinand memberikan pujian yang menggunung kepada bekas rakan sepasukannya itu, dengan menyatakan:

“Orang kata dia tidak cukup bekerja keras, tidak kejar orang, tidak mengasak, tapi dia sudah melakukan kerja paling susah di atas padang. Menjaringkan gol.”

Jelas Ferdinand kepada BT Sport.

“Di waktu kritikal dia akan muncul, di mana negara sahaja, di mana stadium sekalipun, tak kira bila-bila masa. Dia akan sampai di pentas terbesar dan memberikan impak.”

Paul Scholes menunjukkan reaksi seperti itu jelas sekali kerana beliau tidak gembira dengan keputusan seri dan mengharapkan Manchester United untuk menang.

Seperti ketika aksi kemenangan bertemu Atalanta sebelum ini di Old Trafford, Scholes turut menunjukkan reaksi yang sama, dengan beliau turut mengkritik persembahan United.

Walau bagaimanapun, kritikan beliau pada ketika itu sebenarnya masuk akal dan terbukti benar, dengan Scholes menganggap setan merah akan kena belasah kalau jumpa pasukan besar, dan bermain dengan corak permainan seperti itu.

Hasilnya, pada hujung minggu itu, Manchester United dibelasah teruk oleh Liverpool di Old Trafford dengan nama Scholes trending di media sosial kerana ramalan yang beliau buat tepat.

Agak menyedihkan untuk melihat gergasi seperti Manchester United boleh meraikan keputusan seri, dan pujian untuk Scholes kerana masih teguh dengan prinsip beliau yang United berhak menang.

Mungkin Scholes akan turut sama meraikan gol itu jika keputusan perlawanan berakhir dengan Manchester United mencatatkan kemenangan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ronaldo Tolak Lakukan Hal Ini Bersama Juventus, Tapi Beliau Lakukannya Bersama United