Scholes Percaya Pogba Akan Tetap Buat Benda Bodoh Walau Sudah Berusia 35 Tahun

Paul Scholes bengang melihat persembahan Paul Pogba dan menganggap pemain Perancis tidak konsisten dan terlalu bergantung kepada pemain lain.

Scholes turut menegaskan yang Pogba tidak akan pernah berubah dan andai di usia 35 tahun pemain midfield itu masih bermain, beliau tetap akan menunjukkan sikap yang sama.

Legenda setan merah itu bercakap dan menghentam Paul Pogba selepas tamat aksi terikat 2-2 antara Manchester United bertemu Atalanta awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo berjaya meledak dua gol dalam membantu skuadnya untuk mengutip satu mata, dan terus mendahului saingan peringkat kumpulan F dalam saingan Champions League.

Setan merah mempamerkan aksi tidak menentu dalam perlawanan ini, terutama sekali ketika aksi babak kedua permainan.

Ole Gunnar glasses terpaksa mengubah sistem back three kepada back four selepas Raphael Varane dikeluarkan kerana masalah kecederaan hamstring.

Melihat kepada persembahan huru hara Manchester United, adalah sangat bernasib baik kerana Cristiano Ronaldo berjaya mempamerkan aksi persembahan cukup menakjubkan dalam perlawanan ini.

Ketika aksi babak kedua dalam perlawanan ini, Solskjaer terpaksa mengeluarkan Paul Pogba berbanding seorang lagi pemain midfield, Scott McTominay yang sudah memegang satu kad kuning.

Ia merupakan minggu yang sukar untuk pemain kebangsaan Perancis itu dan selepas tamat perlawanan, Paul Scholes tidak teragak-agak untuk membantai bekas bintang Juventus itu tanpa belas.

“Pogba memerlukan seseorang disamping dia sepanjang masa… Seseorang yang dia sangat hormati, dia perlu pemain berpengalaman di belakang dia.”

Jelas Scholes kepada BT Sport.

“Berapa umur dia? 28? Dia dah kira pemain berpengalaman. Tapi dia jenis salah seorang dari mereka yang akan terus kekal macam itu saja sampai berusia 35.”

“Dia akan masih tetap buat benda bodoh yang mana dia akan bermain dengan bola, menghalang orang dengan menunjukkan betapa kuat dan berskillnya dia.”

“Masalah terbesar Paul adalah konsentrasi dia. Dia kadang kala terbuai dan terleka.”

“Kamu fikir tentang skuad Juventus ketika dia di sana, yang mana dia sangat hebat dan itu sebab kita tandatangani dia semula.”

“Pemain berpengalaman di samping dia, Andrea Pirlo, Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci, Gianluigi Buffon, pengurus yang aggressive.”

“Dia perlu layanan macam itu sampai dia berusia 35 tahun.”

Seorang lagi legenda Manchester United, Rio Ferdinand kemudiannya membalas kenyataan Scholes dengan menyatakan yang pengalaman Cristiano Ronaldo boleh guna untuk bimbing Pogba.

“Saya tak boleh fikirkan orang lain selain dari Cristiano, dia boleh bimbing Paul Pogba.”

“Mungkin generasi mereka berbeza. Di bilik persalinan kami dulu, akan ada perbualan begini antara pemain muda dan veteran.”

Ini bukanlah kali pertama Paul Pogba kena hentam dengan Scholes dengan legenda Manchester United itu sebelum ini turut teruk menghentam bintang Perancis itu.

Scholes anggap Pogba budak bermasalah

Paul Scholes memberikan kritikan pedas ke atas Paul Pogba dan menganggap bintang Perancis itu tidak sepatutnya bermain untuk Manchester United lagi.

Beliau menganggap yang Manchester United tidak memerlukan khidmat pemain midfield Perancis itu, apa lagi selepas melihat bagaimana Pogba dengan mudah menerima kad merah ketika beraksi bertemu Liverpool sebelum ini.

Manchester United telah dibelasah tanpa belas oleh Liverpool dalam aksi saingan Premier League dua minggu lalu, dengan anak-anak buah Jurgen Klopp kenduri gol di Old Trafford.

Liverpool membedal setan merah 5-0 dalam perlawanan yang memperlihatkan seolah-olah mereka hanya menumpang padang Old Trafford untuk menjalani sesi latihan sahaja.

Paul Pogba dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, dengan United pada ketika itu sudah ketinggalan 4-0.

Walau bagaimanapun, belum sempat berpeluh, beliau sudah diarahkan untuk kembali ke bilik persalinan untuk mandi lebih awal kerana dilayangkan dengan layangan kad merah.

Bintang Perancis itu melakukan tindakan dungu dengan menerjah Naby Keita menggunakan kedua-dua belah kaki dan menyebabkan pengadil perlawanan terpaksa mengeluarkan kad merah.

Legenda Manchester United itu percaya yang Pogba sebenarnya telah banyak diberikan kesempatan untuk membuktikan mengapa beliau bernilai untuk kelab.

Scholes turut mempertikaikan tentang kontroversi luar padang yang sering dicetuskan oleh Pogba dan ejennya sendiri, Mino Raiola sebagai satu hal yang tidak boleh diterima.

Dek kerana itu, beliau menegaskan yang lebih baik untuk Paul Pogba pergi sahaja meninggalkan kelab dari terus menjadi beban.

“Paul Pogba dimasukkan ke padang lepas rehat separuh masa untuk membantu pasukan dan mungkin dapatkan kembali maruah kelab, cuba untuk kawal bola, cuba untuk buktikan betapa kuatnya dia di tengah padang… Tapi akhirnya dia beri gol kepada lawan.”

Jelas Paul Scholes kepada Premier League Productions.

“Dan kemudian dia dilayangkan kad merah kerana tackle yang mengarut, sekarang mereka ketinggalan 5-0 dan terpaksa bermain dengan 10 orang pemain. Kamu perlu untuk fikir, jika Ole masih pengurus di sana, adakah kita akan lihat Pogba kembali menyarung jersi United?”

“Dia cetuskan kekecohan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Semua orang tahu betapa berbakatnya dia, semua orang percayakan dia, semua pengurus percayakan dia, cuba bagi dia muka dan biarkan dia jadi pemain yang dia mahu.”

“Tapi dengan semua hal ini, tidak mahu tandatangani kontrak baru, hampir menghantar kelab ke lembah hina, dan kemudian dia datang, lepas tu lakukan hal seperti itu.”

“Ini bukan salah Ole, jangan salah faham, tapi hal ini sebahagian dari sebab rosaknya persembahan United hari ini.”

“Lihat, dia berkemungkinan akan bermain lagi, betul bukan? Tapi saya tak fikir mereka akan rasa kehilangan andai dia tidak bermain.”

“Dia ada banyak peluang, dia selalu kata yang dia kurang konsisten, tapi dia sebenarnya kurang berdisiplin dan tidak menghormati pengurus dia dan rakan sepasukan dia yang lain atas apa dia buat hari ini.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ruben Neves Anggap Kekalahan Wolves Berpunca Dari Kesilapan Pengadil Perlawanan