Scholes: Pogba Kena Main Bola Pakai Otak Sikit

Legenda Manchester United, Paul Scholes berkata Paul Pogba mesti meningkatkan tahap permainan beliau di peringkat kelab, dan menggesa pemain tersebut supaya mula menggunakan ‘otak’ bagi memastikan beliau dapat menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia.

Bekas pemain tengah Juventus itu masih lagi segar dengan kejayaan menjulang Piala Dunia 2018 bersama Perancis dua minggu lalu tetapi Scholes percaya Pogba masih lagi belum mempamerkan potensi sebenar beliau ketika menyarung jersi Red Devils.

Pogba digesa main pakai otak oleh legenda United. Skool, Ko ingat menang Piala Dunia tak pakai otak ?

Pogba kembali menyertai Manchester United pada tahun 2016 selepas meluangkan masa selama 4 tahun bersama Juventus yang sarat dengan trofi. Jose Mourinho meletakkan harapan yang tinggi terhadap Pogba dengan membelanjakan £89 juta untuk membawa Pogba kembali ke Old Trafford, rekod dunia pada masa itu.

Pogba yang kini berusia 25 tahun bakal memasuki musim ke-3 beliau di Old Trafford tetapi masih lagi gagal untuk mempamerkan prestasi yang konsisten, seperti yang pernah ditampilkannya di Serie A beberapa tahun lepas. Musim lalu menyaksikan Pogba diketepikan dari berada dalam kesebelasan utama untuk beberapa perlawanan penting kerana bergelut dengan masalah prestasi.

Walaupun bergelut di peringkat kelab, Pogba masih lagi mendapat kepercayaan penuh Didier Deschamps ketika menyarung jersi Perancis dan ia nyata membuahkan hasil apabila Pogba memainkan peranan penting membantu Les Blues menjulang trofi Piala Dunia buat kali ke-2 dalam sejarah.

Dianggap sebagai pemain England paling pintar pada suatu ketika dahulu

Walaugaimanapun, bekas pemain antarabangsa England Paul Scholes masih lagi kurang yakin dengan persembahan Pogba di Old Trafford. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Scholes percaya kesebelasan utama yang tetap mampu membantu Pogba mencapai tahap prestasi yang konsisten.

“Paul Pogba harus mencari jalan untuk mengekalkan tahap konsisten dalam persembahan beliau. Jika anda lihat permainan beliau, anda akan lihat Pogba beraksi cemerlang selama seminggu dan minggu selepas itu tidak lagi.”

“Pogba kelihatan seperti seorang pemain yang mampu beraksi baik dalam satu dari 4 perlawanan. Jika anda mahu memenangi liga, itu tidak cukup.”

“Pogba harus menjadi pemain berkaliber seperti yang pernah ditunjukkan beliau ketika di Juventus dahulu. Beliau merupakan sebahagian daripada struktur pasukan Juventus, setiap minggu dia tahu dimana dia akan bermain dan dengan siapa yang dia akan bermain. Apa yang berlaku di Manchester United sebelum ini tidak banyak membantu beliau.”

Ko hado Scholes ?

“Saya akan terkejut sekiranya pasukan yang sama diletakkan dalam dua perlawanan berturut-turut atau menggunakan formasi yang sama. Itu tidak berlaku di Manchester United sebelum ini, dan saya percaya jika ia dapat dilakukan musim hadapan, prestasi Pogba mungkin akan meningkat.”

Scholes tidak menafikan kualiti yang ada pada Pogba, tetapi masih lagi jauh perjalanan yang harus ditempuhi Pogba sebelum boleh dibandingkan dengan pemain terbaik dunia yang lain.

“Tidak dinafikan kualiti yang ada pada Pogba – beliau telah menunjukkan di Piala Dunia yang beliau boleh bermain dengan baik.”

Yang ni je Scholes mampu cium

“Pogba seorang pemain yang kuat dan cergas. Beliau mampu berlari dengan laju dan mempunyai teknik yang baik. Tetapi beliau harus menggunakan ‘otak’ sikit untuk menjadi pemain terbaik dunia.”

BACA:  Manchester United Mara Ke Separuh Akhir