Sebab Mengapa Bale Tak Muncul Ketika Real Madrid Meraikan Kejuaraan La Liga

Gareth Bale tampil menjelaskan tentang mengapa beliau tidak munculkan diri ketika para pemain Real Madrid meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan La Liga musim ini.

Beliau turut meninggalkan ucapan yang penuh beremosi untuk rakan sepasukannya dan sepertinya ia bakal menjadi ucapan selamat tinggal dari Bale.

Real Madrid berjaya mencatatkan kemenangan 4-0 menewaskan Espanyol malam semalam seterusnya mengesahkan kejayaan mereka menjulang gelaran La Liga buat kali ke-35 dalam sejarah kelab.

Berbaki empat perlawanan sebelum tamat musim ini, Real Madrid sudah secara rasminya dinobatkan sebagai Juara.

Bale tidak kelihatan ketika para pemain bergembira meraikan kejayaan mereka sebaik tamat perlawanan tersebut dan beliau kemudiannya tampil membuat permohonan maaf menerusi akaun twitter miliknya.

“CAMPEONES! Sangat kecewa kerana saya tak mampu untuk jadi sebahagian dari keraian pada petang ini kerana masalah sakit belakang yang agak teruk, tapi tetap berbangga menjadi sebahagian dari skuad yang memenangi liga! Nikmati malam ini semua! #HalaMadrid.”

Tulis Bale di laman twitter miliknya.

Dua gol jaringan Rodrygo pada aksi babak pertama permainan dan dua lagi gol jaringan Marco Asensio dan Karim Benzema sudah cukup untuk Real Madrid merampas semula gelaran La Liga yang dimenangi oleh Atletico Madrid musim lalu.

Bale dijangka akan meninggalkan kelab sebagai pemain bebas ejen pada musim panas nanti dengan beliau juga kini sukar untuk mendapatkan minit permainan di Santiago Bernabeu.

Masalah kecederaan turut memainkan peranan penting tentang mengapa beliau tidak mendapat tempat dalam skuad utama.

Pemain kebangsaan Wales itu hanya sempat membuat empat penampilan (kesebelasan utama) sahaja dalam saingan liga musim ini dan beliau juga hanya membuat dua kemunculan sahaja dalam saingan Champions League.

Pemain berusia 32 tahun itu jelas sekali masih gagal untuk benar-benar serasi di Ibu Kota Sepanyol itu sejak dari awal beliau ditandatangani pada 2013 lalu.

Beliau ditandatangani dari Tottenham Hotspur dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £86 juta.

Beliau secara keseluruhannya telah berjaya memenangi 15 Piala di Santiago Bernabeu termasuk tiga gelaran La Liga dan empat gelaran Champions League.

Media Sepanyol sendiri kerap mencari masalah dengan Bale dan mereka juga sepertinya senantiasa menulis hal negatif sahaja tentang bintang Wales itu.

Marca bahkan turut memanggil beliau sebagai parasit selepas tamat aksi kekalahan 4-0 Real Madrid bertemu Barcelona pada Mac lalu.

Bale sendiri membaca komen tersebut dengan beliau kemudiannya menegaskan yang media adalah punca mengapa atlet berdepan masalah ganguan mental.

Hubungan beliau dengan para penyokong juga tak begitu baik dengan Bale teruk kena boo dengan penyokong sendiri ketika aksi kekalahan 2-0 bertemu Getafe bulan lalu

Pengurus kelab, Carlo Ancelotti tampil menjernihkan keadaan dengan beliau menjelaskan yang Bale pada ketika ini sedang berusaha untuk memperbaiki persembahan beliau dan mahu jadi sebahagian dari skuad.

“Ia tak mengganggu saya ketika melihat dia kena boo sepanjang masa.”

Jelas Carlo Ancelotti.

“Dia berlatih dengan baik dan dia mahu bekerja keras dan bantu pasukan. Itu adalah hal yang paling penting.”

“Kita perlukan semua orang dan ia sangat penting untuk peminat dan pemain itu sentiasa bersatu.”

Selepas berjaya menjuarai saingan La Liga musim ini, skuad Real Madrid jelas sekali akan mengalihkan perhatian mereka ke aksi dalam saingan Champions League.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu bakal turun beraksi bertemu Manchester City dalam aksi leg kedua peringkat separuh akhir di Santiago Bernabeu minggu ini.

Real Madrid tewas 4-3 ketika aksi leg pertama dan jelas sekali mereka sudah tentu akan lakukan apa saja untuk catat kemenangan seterusnya layak ke aksi perlawanan akhir.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ronaldo: Juventus Tidak Perlukan Bale Atau Asensio, Tetapi Marcelo Amat Dialu-alukan