Sebenarnya Bukan Paul Pogba Pemain Termahal Dunia

Apabila pasukan penakluk Eropah dari England, Manchester United membeli semula Paul Pogba dari Juventus pada harga £89 juta, ramai yang menjulang Pogba sebagai pemain termahal dunia.

Selaku pembenci kelab Syaitan Merah ini, maka adalah tanggungjawab penulis untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai siapa sebenarnya pemain termahal dunia. Ini adalah kerana penulis berasakan adalah tidak logik pemain yang menggunting rambut lima kali sehari dan berlari-lari di tengah padang tanpa hala tuju di padang ini adalah pemain yang paling mahal.

Kalau kita lihat pada nilai mata wang semata-mata, maka secara dasarnya Pogba lah paling mahal. Akan tetapi, setelah kadar inflasi diambil kira, ternyata Pogba bukan berada di tempat pertama.

Sejak bola sepak dimainkan secara kompetitif dan direkodkan, ramai pemain yang telah mencipta dan memecahka rekod terdahulu daripada mereka.

Pemain pertama yang dibeli pada harga mencecah £1oo adalah Willy Grooves apabila dia berpindah dari West Brom ke Aston Villa pada tahun 1893. Jika kadar inflasi diambil kira, nilai Encik Grooves pada hari ini ialah £11,700 (RM63,000).

Kau tekalah mana satu Alf Common | Gambar : Dreamteam

Manakala pemain pertama yang mencecah harga £1000 pula ialah Alf Common, dari Sunderland ke Middlesbrough pada tahun 1905. Nilai ini adalah bersamaan dengan £112,000(RM605,000) pada hari ini.

Rekod perpindahan terus dicipta kelab England apabila pada tahun Arsenal membeli pemain Bolton, David Jack, pada tahun 1928 pada harga  £10,890, bersamaan £627,264 (RM3.4 juta) pada hari ini.

Gambar : Dreamteam

River Plate bagaimanapun secara tiba-tiba muncul dan memecahkan rekod dunia apabila membeli pemain Tigre, Bernabe Feyrerra pada harga £23,000. Selepas kadar inflasi diambil kira, maka nilai tersebut adalah bersamaan £1.4 juta (RM7.57 juta) hari ini.

Rekod ini kekal selama 17 tahun sebelum dipecahkan, menjadikan Feyrerra memegang takhta pemain termahal paling lama dalam sejarah bola sepak dunia.

Itu cerita zaman dulu.

Sejak tahun 2000, harga pemain bola sepak naik mendadak dan menggila sama ada di Eropah atau di Malaysia. Kalau di Malaysia ni pemain yang kaki tonjol pun boleh dibayar mahal. Pelik betul.

Jurulatih dan lagenda Real Madrid, Zinedine Zidane,pernah mencipta rekod dunia perpindahan pemain apabila dibeli kelab Madrid dari Juventus pada harga £46.6 juta. Nilai ini pada hari ini adalah bersamaan kira-kira £72.23 juta(RM395 juta).

Zizou Romanzi! | Gambar : Dreamteam

Perpindahan ini nyata berbaloi jika dibandingkan dengan kejayaan kelab yang dipacu kelincahan Zidane di padang.

Pada tahun 2009, ketika kembalinya Florentino Perez sebagai presiden Real Madrid, era Galactico kembali bermula.

Pembelian pemain bintang dimulakan dengan Kaka, dibeli dari AC Milan pada harga £56 juta, selepas kadar inflasi diambil kira nilai tersebut bersamaan kira-kira £68.88(RM378 juta).

Beberapa hari kemudian, bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo pula dibeli oleh Perez dengan nilai £80 juta, kira-kira £98.3 (RM535 juta) pada hari ini.

Tiga kejuaraan Liga Juara-juara UEFA membuktikan pembelian kapten juara Euro 2016 ini sangat berbaloi!

Empat tahun selepas kedatangan Ronaldo ke ibu kota Sepanyol, Gareth Bale pula hadir memecahkan rekod dunia pada harga £86 juta, bersamaan £92.88 juta (RM502 juta) pada tahun 2017.

rekod ini kekal sehinggalah Pogba dibeli dan selepas kadar inflasi diambil kira, nilai tersebut pada hari ini ialah £90.78 juta (RM491 juta).

Jadi, selepas kira-kira dibuat semula, Cristiano Ronaldo sebenarnya masih lagi kekal sebagai pemain termahal dunia. Dua gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara ketika menewaskan Juventus beberapa minggu lalu menunjukkan pemain berusia 32 tahun ini mampu untuk kekal di peringkat tertinggi untuk beberapa tahun lagi.

Beberapa hari ini Ronaldo dikatakan sudah tawar hati untuk tinggal di Sepanyol dan sedang mengintai peluang untuk berpindah. Jika ini menjadi kenytaan, nilainya mungkin mencecah £150 juta – bakal menjadikannya pemain termahal dunia mungkin untuk tempoh 30 tahun yang akan datang.

Florentino Perez pula enggan melepaskan aset paling bernilainya ini dan mengatakan bahawa sesiapa yang ingin membeli Ronaldo perlu membayar £1 billion.

Harga gila.

Mana-mana kelab yang mahu membeli Ronaldo mungkin perlu mendapatkan derma dari Arab Saudi, memandangkan negara tersebut terbukti pemurah selepas menderma sejumlah wang kepada seorang pemimpin negara di rantau Asia Tenggara.

Artikel ini merujuk kepada : DreamTeam

Baca Juga

Baca Juga