Sedia Tinggalkan PSG, Pochettino Mahu Jadi Pengurus Man United

Mauricio Pochettino sudah bersedia untuk tinggalkan Paris Saint Germain dan mahu menjadi pengurus Manchester United yang baharu.

Menurut sumber laporan dari media UK, bekas pengurus Tottenham Hotspur itu bersedia untuk menjadi pengganti Ole Gunnar Solskjaer untuk mengurus setan merah.

Pada awal Januari lalu, Mauricio Pochettino telah sah dilantik sebagai pengurus Paris Saint Germain selepas beliau sebelum itu dipecat oleh Tottenham Hotspur.

Gergasi Perancis itu boleh dikatakan telah memulakan kempen saingan musim 2021/22 ini dengan sangat cemerlang.

Mereka berjaya memenangi 12 dari 14 perlawanan terakhir dalam saingan Ligue 1 dan turut hampir untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dalam saingan Champions League.

Pochettino beruntung kerana skuad kendalian beliau pada ketika ini dibarisi oleh barisan pemain-pemain berkelas dunia seperti, Neymar, Lionel Messi, Kylian Mbappe, Gianluigi Donnarumma dan ramai lagi.

Beliau walau bagaimanapun dilaporkan bersedia untuk melepaskan semua itu seandainya Manchester United benar-benar mahu menawarkan jawatan sebagai pengurus baharu kelab kepadanya.

Pochettino dilaporkan tidak begitu gembira dengan kehidupan baru beliau di Ibu Kota Perancis itu dan kerana itu jugalah beliau tidak kisah untuk meninggalkan kelab gergasi Eropah itu.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu kini masih tinggal di hotel, sementara ahli keluarganya pula kekal menetap di London.

Laporan sama turut menyatakan yang beliau sangat kecewa untuk berdepan dengan ego dari para pemain terutama Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

Menurut laporan dari talkSPORT, pengurus dari Argentina itu juga merupakan calon kegemaran Sir Alex Ferguson untuk menjadi pengganti kepada Ole Gunnar Solskjaer.

Gary Neville percaya yang bekas pengurus Tottenham Hotspur itu bakal bersetuju untuk sertai Manchester United dalam masa terdekat ini.

Bercakap kepada Sky Sports, Neville menyatakan bahawa:

“Saya rasa Mauricio Pochettino, walaupun dia tak pernah katakan ini, dia akan tinggalkan PSG dan sertai Man Utd untuk perjanjian selama lima tahun bermula esok.”

“Selepas dia lihat barisan pemain, dia lihat kelab ini dan dia tentu sedar yang dia berkemungkinan akan mampu capai lebih banyak kejayaan berbanding apa dia mahu bersama Man United.”

“Di PSG kamu akan harungi musim demi musim. Kamu perlu menang Champions League atau kamu perlu pergi. Saya tak rasa itu sesuai dengan Pochettino.”

“Saya rasa dia akan sanggup datang ke Man Utd untuk tandatangani perjanjian selama lima tahun, dengan ada sokongan penuh untuknya. Bagaimana untuk dia sesuaikan diri dengan barisan kejurulatihan sekarang itu saya tidak pasti.”

“Manchester United perlu memastikan yang mereka akan jumpa orang yang betul selepas ini. Bahkan mereka kena sanggup tunggu walau selama enam bulan pada akhir musim nanti hanya untuk mencari pengurus yang paling tepat.”

Pochettino setakat ini merupakan antara nama besar yang sudah menyatakan minatnya untuk menerima jawatan sebagai pengurus United.

Erik Ten Hag, Brendan Rodgers dan Zinedine Zidane merupakan tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon pengganti Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini.

Namun dari kesemua nama tersebut, hanya Mauricio Pochettino sahaja yang positif mahu terima, bahkan sanggup meninggalkan skuadnya PSG yang dibarisi pemain berkelas dunia.

Ole Gunnar Solskjaer telah dipecat kemarin selepas kekalahan memalukan skuadnya dibelasah 4-1 oleh Watford di Vicarage Road.

Ole Gunnar Solskjaer sah diceraikan

Akhirnya detik yang dinanti telah tiba apabila secara rasmi dan sahnya Ole Gunnar Solskjaer telah dipecat oleh Manchester United demi kelangsungan hidup kelab untuk terus bersaing.

Perkara ini telah diumum melalui laman sesawang rasmi Manchester United, manutd.com untuk makluman kepada peminat dan pembenci seluruh dunia.

“Manchester United mengumumkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai pengurus.”

“Ole akan sentiasa menjadi legenda di Manchester United dan dengan kesal kami telah membuat keputusan yang sukar ini. Walaupun beberapa minggu kebelakangan ini mengecewakan, mereka tidak sepatutnya mengaburkan semua kerja yang telah dilakukannya sejak tiga tahun lalu untuk membina semula asas kejayaan jangka panjang.”

“Ole pergi dengan iringan ucapan terima kasih yang tulus atas usaha gigihnya sebagai Pengurus dan harapan terbaik kami untuk masa depan. Tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin, bukan hanya untuk kisahnya sebagai pemain, tetapi sebagai seorang lelaki yang hebat dan Pengurus yang memberi kami banyak detik hebat. Dia akan selamanya dialu-alukan kembali ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada keluarga Manchester United.”

Michael Carrick akan menjadi pengendali dan mengambil alih pasukan untuk perlawanan yang mendatang sehingga pengurus interim dilantik sehingga penghujung musim.

“Michael Carrick kini akan mengendalikan pasukan untuk perlawanan yang akan datang, manakala kelab itu akan melantik pengurus sementara hingga akhir musim.”

Manis saja ayat di laman Twitter Manchester United apabila mengumumkan Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan jawatan selaku pengurus bukannya dipecat.

“Manchester United boleh mengesahkan bahawa Ole Gunnar Solskjaer telah meninggalkan peranannya sebagai Pengurus.”

“Terima kasih untuk segalanya.”

Sumber: GMS

BACA:  Man Utd Tawarkan Bintang Utama Kelab Kepada Newcastle United