Sedih Melihat Barca, Iniesta Mahu Menyusul Xavi Dan Alves Untuk Membuat Kepulangan Semula

Legenda terhebat sepanjang zaman Barcelona, Andres Iniesta mendedahkan yang beliau sebenarnya sedih melihat prestasi Barcelona pada ketika ini.

Walau berada jauh dari kelab, namun Iniesta tetap mengikuti perkembangan kelab dan beliau mendedahkan rasa sayu serta pilunya beliau melihat era kejatuhan Barca pada ketika ini.

Legenda Sepanyol itu pada ketika ini sedang beraksi dalam saingan liga bola sepak Jepun, dengan beliau baru-baru ini ada menyatakan hasratnya untuk kembali menyertai Barcelona.

Iniesta sudah beraksi bersama Visel Kobe sejak dari 2018, dengan pemain berusia 37 tahun itu pernah membuat lebih dari 400 penampilan bersama Barcelona sebelum ini.

Melihat Xavi dan terbaru Dani Alves kembali menyertai Barcelona telah membangkitkan rasa ingin turut sama membuat kepulangan semula Iniesta menyertai bekas kelabnya itu.

Bercakap kepada AS Sport, Iniesta menjelaskan bahawa:

“Saya tak tahu apa akan berlaku di masa hadapan, saya tentunya gembira apabila memikirkan tentang satu detik dalam hidup saya, untuk kembali semula beraksi bersama Barcelona.”

“Namun, saya tak pasti kepulangan semula itu atas kapasiti apa (pulang sebagai pemain atau sebagai salah seorang jurulatih).”

“Kembali ke Barca, sama seperti pulang ke rumah saya, saya mahu terus membantu mereka dengan apa cara sekalipun, namun tiada siapa tahu apa akan berlaku di masa hadapan.”

Iniesta kemudiannya turut menegaskan yang beliau sangat kecewa dan terluka melihat prestasi teruk Barcelona pada ketika ini, terutama sekali kerana beliau sedang berada jauh di Jepun.

“Saya turut bersedih melihat Barca macam sekarang, melihat dari kejauhan. Jika sesuatu hal itu tidak menjadi, ia kurang enak untuk dilihat, sebab kamu lihat rakan sepasukan kamu menderita, orang yang baru tiba gagal untuk mengubah keadaan. Apabila sesuatu yang kamu sayangi sedang menderita, kamu juga akan turut sama terluka melihatnya.”

Selain itu, Iniesta juga menegaskan bahawa beliau masih terkejut melihat Messi menyertai PSG.

“Saya masih terkejut melihat Messi beraksi untuk PSG. Saya sangat sedih melihat dia tidak dapat terus kekal di Barcelona. Namun inilah kehidupan.”

Barca sudah terlepas kejuaraan La Liga selama 2 musim. Dan musim ini dilihat bakal berdepan kesukaran sekali lagi.

Xavi kini sedang cuba membantu Barca untuk bangkit daripada kedudukan kesembilan dalam carta liga, ketika beliau mengambil alih.

Sama seperti Iniesta, Xavi sebelum ini pernah menyatakan beliau juga terasa sakitnya melihat Barcelona menderita.

Presiden Al Sadd menyatakan bahawa Xavi sangat sedih dan sentiasa sedia melakukan sesuatu untuk membantu Barca sekiranya mereka memerlukannya.

Itulah alasan beliau untuk kembali semula ke Barca menggantikan Ronald Koeman yang dipecat.

Xavi kemudian berjaya memujuk bekas rakan sepasukannya, Dani Alves untuk kembali semula ke Barca.

Dani Alves menjadi ejen bebas selepas pembatalan kontrak dengan Sao Paulo kerana tak dibayar gaji.

Melihat kepada semangat yang Xavi tunjukkan, beliau sepertinya benar-benar serious mahu membawa Barcelona untuk kembali menjadi pasukan yang paling digeruni dalam dunia bola sepak.

Seandainya Iniesta benar-benar kembali, tidak mustahil Lionel Messi juga bakal kembali sertai Barcelona selepas kontraknya tamat bersama PSG nanti.

Mungkin juga beliau akan meminta pihak kelab untuk melepaskannya pada musim panas akan datang, dalam usaha untuk membuat kepulangan semula ke Nou Camp.

Xavi telah melakukan rombakan besar-besaran dari semua segi baik dari pengurusan, staff, jadual, latihan dan macam-macam lagi yang beliau ubah dalam usahanya untuk menaikkan semula Barcelona.

Mampukah Xavi menaikkan semula Barca kembali ke kedudukan selayaknya mereka? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: Axello.net

BACA:  Arteta Bidas Xavi Kerana Kritik Corak Pemainan 'Melampau' Arsenal Lawan Barcelona