Sehari Selepas Dihina Penyokong Itali, Donnarumma Tampil Menunjukkan Sikap Terpuji Terhadap Bekas Kelabnya

Gianluigi Donnarumma berjanji yang beliau akan mencacah tattoo logo AC Milan di lengannya, walau kini beliau bukan lagi pemain kelab tersebut.

Sehari selepas dilayan bagai sampah dengan para penyokong Itali di San Siro telah mengejek Gianluigi Donnarumma sepanjang perlawanan, beliau tampil untuk melakukan sesuatu yang menakjubkan.

Penjaga gol yang kini berusia 22 tahun itu telah membuat 252 penampilan untuk AC Milan selepas melakukan debutnya pada tahun 2015 yang lalu.

Beliau meninggalkan gergasi Itali itu menerusi perjanjian perpindahan percuma selepas kontraknya tamat, dengan Donnarumma kini sudah menandatangani perjanjian selama lima tahun bersama Paris Saint Germain.

Keputusan beliau itu telah mengundang kritikan dan cemuhan di kalangan peminat Rossoneri dan ribuan dari mereka meluahkan kemarahan masing-masing ketika aksi peringkat separuh akhir saingan UEFA Nations League minggu lalu.

Gianluigi Donnarumma kembali ke San Siro untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Itali, bertemu Sepanyol dalam aksi perlawanan peringkat separuh akhir saingan UEFA Nations League.

Menjelang sepak mula perlawanan, Donnarumma yang sebelum ini menjadi wira kemenangan Itali menjuarai saingan Euro 2020, telah menerima layanan yang cukup teruk dari para peminat.

Beliau kena boo dari awal masuk padang sehingga tamat perlawanan, dan penyokong akan terus mengejeknya setiap kali beliau memegang bola.

Bahkan sentuhan pertama Donnarumma telah mencetuskan suasana bising dalam stadium dengan para penyokong tak henti-henti menghina beliau.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Donnarumma menangis selepas wisel penamat dibunyikan kerana beliau sedih dengan layanan yang diberikan oleh para peminat.

Walau bagaimanapun, selepas beliau dilayan dengan begitu teruk, Donnarumma telah melakukan sesuatu yang membuktikan bahawa beliau sememangnya sayang dengan bekas kelabnya itu.

Dalam satu temu bual bersama rancangan TV, Le Lene, Donnarumma telah diberikan tattoo sementara bersaiz besar dan berlogo AC Milan untuk diletakkan dilengannya.

Wartawan tersebut kemudian bertanya:

“Ketika kamu kembali ke Paris, kamu perlu pergi bertemu pembuat tattoo dan jadikan ia kekal?”

Donnarumma kemudiannya menjawab:

“Kita akan lihat, kita lihat… Ok baiklah!”

Dalam temu bual yang sama, Donnarumma turut menyatakan yang beliau akan senantiasa sayang dan cintakan AC Milan dan akan terus meletakkannya di dalam hati beliau.

“Mereka sememang boo saya ketika di San Siro? Sudah lumrah untuk rasa kecewa.”

“Saya membesar di sini dan saya akan selalu menjadi penyokong Milan. Lapan tahun bukan mudah untuk dilupakan.”

Berkait insiden beliau kena boo kemarin, bekas pengurus AC Milan, Fabio Capello menyatakan yang penjaga gol Itali itu sebenarnya tidak berterima kasih terhadap bekas kelabnya.

“Saya harap dia berpuas hati kerana dia merupakan pemain kebangsaan yang telah memainkan peranan penting dalam membantu negara memenangi kejuaraan Eropah.”

Jelas Capello kepada il Corriere dello Sport.

“Tapi biar saya katakan satu hal: Donnarumma memang tak berterima kasih terhadap Milan, sebab dia pergi ke PSG.”

“Atas segala yang telah kelab lakukan terhadap dia dan keluarga dia ketika dia masih kecil, dia sepatutnya menunjukkan sikap yang berbeza.”

Donnarumma meninggalkan AC Milan selepas kontraknya tamat dan beliau tidak meninggalkan kelab dengan cara yang tidak sepatutnya.

Maka hinaan dan cacian yang dilemparkan ke atasnya jelas sekali tidak wajar, tambahan pula usianya yang masih muda, Donnarumma tentunya perlu berkelana untuk mencari pengalaman yang lebih luas.

Walau beliau dilayan dengan teruk seolah-olah dirinya pengkhianat, Donnarumma tetap tenang dan menghargai bekas kelabnya itu dengan cara beliau yang tersendiri.

Untuk mencacah tattoo meletakkan logo bekas kelabnya di lengan beliau, sudah menjadi satu hal yang cukup mengagumkan dan belum tentu ada pemain lain yang sanggup melakukan hal seperti itu.

Beliau sudah membuktikan yang Milan senantiasa berada dalam hatinya, dan Donnarumma turut menunjukkan rasa sayangnya pada Milan dengan bersetuju untuk mencacah tattoo tersebut.

Oleh yang demikian, penyokong Milan seharusnya memaafkan beliau dan menerima serta menghormati keputusan Donnarumma untuk berhijrah menyertai pasukan lain, demi masa depan kariernya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  FIFA 22: Peminat Anggap Rating Donnarumma Merupakan Penilaian Paling Teruk