Sekolah Bola Sepak Evegrande : Akademi Bola Sepak Terbesar di Dunia

Dalam artikel-artikel sebelum ini, kami telah kongsikan bagaimana pemimpin dan konglomerat China telah berganding bahu mengubah nasib dan masa depan bola sepak China. Antara komen yang kami terima ialah mereka sekadar berbelanja besar tanpa fikir panjang bagaikan baru sahaja mendapat derma RM2.6 billion.

Sebenarnya, seperti yang diterangkan dalam artikel-artikel tersebut, perbelanjaan sebegitu hanyalah peringkat awal dan untuk menarik minat kanak-kanak untuk meminati sukan bola sepak di negara 1.3 billion penduduk tersebut dengan pelan jangka masa panjang untuk melahirkan 100,000 pemain professional.

Jika kerajaan China mewujudkan 20,000 sekolah berasaskan bola sepak, perkara yang sama turut dilakukan oleh juara Liga Juara-Juara Asia, Guangzhou Evegrande. Melalui syarikat pemilik kelab, Evegrande Real Estate dan Alibaba Group, mereka telah membuka satu akademi bola sepak terbesar di dunia.[1]

La Masia telah melahirkan Leo Messi, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta (Fakri Saarani Sepanyol), La Fabrica menghasilkan Raul Gonzalez, Juan Mata dan Iker Casillas, Selangor FA telah melahirkan Safiq Rahim, Safee Sali dan Nazmi Faiz, dan kemungkinan besar akademi Evegrande ini bakal melahirkan pemain kelas dunia seperti yang disenaraikan di atas.

Pengenalan

Nama akademi : Evegrande Football School

Nama dalam bahasa Melayu : Sekolah Bola Sepak Evegrande

Nama dalam bahasa Arab : Ifijrandi Al-Madrasati lil Kurotil Qodam

Lokasi : Barat Xinjiang

Kos pembinaan : USD185 juta (RM830 juta, 2.5 trillion Indonesia Rupiah)

Luas : 160 ekar

Jumlah padang : 50 padang turf, bukan padang Setia Alam

Kemudahan lain : Gelanggang bola keranjang,tenis, bola tampar, gymnasium, perpustakaan, kolam renang dan paggung wayang.

Jumlah pelajar : 3000

Tukang masak khas dari barat China telah diambil untuk menyediakan makanan bagi pelajar-pelajar yang beragama Islam.

Operasi Akademi

Untuk memasuki sekolah bola sepak ini, seseorang pelajar tersebut mestilah berbakat dalam permainan bola sepak dan mereka akan ditawarkan biasiswa atau pinjaman pengajian.

Walaubagaimanapun, jika bakat bola sepak kurang ada dalam diri mereka, mereka boleh menyertai akademi ini dengan membayar yuran tahunan sebanyak USD9200 (RM42,000) setahun.

Seperti di La Masia, pendidikan cukup ditekankan kepada pelajar-pelajar, selain bola sepak. Ini membolehkan mereka mencari pekerjaan halal di dunia sebenar jika mereka gagal untuk menjadi pemain bola sepak professional.

Demi menaikkan semangat dan mengekalkan fokus pelajar, satu statu Piala Dunia telah dibina bagi mengingatkan pelajar tentang misi utama mereka.

Sentuhan Sepanyol

Memandangkan Guangzhou Evegrande mempunyai hubungan sulit dengan Real Madrid sejak 2012, mereka telah mengimport seramai 24 orang jurulatih dari kelab Sepanyol tersebut, diketuai oleh Sergio Zarco Diaz.

Diaz yang telah berada di China selama empat tahun berkata, tahap permainan ini telah meningkat secara mendadak walaupun mereka mempunyai perjalanan yang masih jauh.

Menurut Diaz lagi, kebanyakan pemain muda China mempunyai teknik yang bagus, tetapi menghadapi masalah besar dalam taktikal, terutamanya membuat keputusan.

Oleh itu, tugas jurulatih Sepanyol ini adalah untuk memberi tunjuk ajar berkenaan cara permainan di Sepanyol dan sebab itulah jeritan-jeritan ‘buen pase’ sering didengari di padang.

Peluang bermain di eropah

Seperti NFDP, Evegrande juga membawa pemain-pemain terbaiknya untuk menyertai kejohanan-kejohanan peringkat umur di eropah dengan rancangan jangka masa panjang, pemain-pemain mereka akan dibeli oleh kelab-kelab eropah.

Negara jiran, Jepun dan Korea Selatan, masing mempunyai nama-nama besar seperti Shinji Kagawa, Keisuke Honda, Shinji Okazaki dan Park Chu Yong, Son Heung-Min, Ki Sung Yong.

Setakat ini, hanya beberapa pemain China yang bermain di eropah dan antaranya ialah Zhang Yuning, penyerang kelab Vitesse Amhem – kelab Eredivise dan Li Zheng, penjaga gol kelab Gondomar – divisyen dua Liga Portugal.

Sebelum ini Dong Fangzhou pernah mencuba nasib bersama Manchester United dan hanya membuat satu penampilan sepanjang empat tahun di sana manakala Sun Jihai dilihat lebih berjaya dengan 130 penampilan bersama Manchester City dari 2002 ke 2008, dan menjadi pemain kesukaan peminat di sana.

Bola sepak eropah telah membantu negara-negara lain seperti di Amerika Selatan dan Afrika untuk menghasilkan kualiti pemain yang terbaik sekaligus membantu negara masing-masing di peta bola sepak dunia.

Masa depan

Selain di Xinjiang, Evegrande turut membuka akademi di Wilayah Quandong, melalui satu kerjasama bersama kelab bola sepak Shenzhen Jiuxia demi menaikkan lagi minat dan kualiti pemain-pemain muda di China.

Selain dari itu, Huaaoqidi Youth Training Academy telah menambat tiga lagenda Belanda – Ruud Gullit, Marco Van Basten dan Frank Rijkaard untuk melatih pemain dan jurulatih di akademi tersebut selama empat tahun.[2]

Sebenarnya lebih banyak lagi kelab-kelab dan akademi-akademi yang baru dibuka di China demi menyahut seruan 1murid 1sukan 1bola sepak daripada Xi Jinping. Dalam tempoh 20-30 tahun lagi, tidak mustahil China akan muncul sebagai juara Piala Dunia – mungkin yang pertama dari Asia.

Nota :

1 – CNN

2 – GBTimes

Baca Juga

Baca Juga