Sekumpulan Pemain Real Madrid Tidak Mahu Gareth Bale Bermain Perlawanan Akhir UCL

Gareth Bale dikhabarkan sudah cergas sepenuhnya menjelang pertemuan menentang Juventus dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah pada hari Sabtu nanti di kampung halamannya, Cardiff yang terletak di dalam negeri Wales.

Sudah lama kelibat Bale tidak kelihatn di atas padang | Gambar : SkySports

Bagi penyokong Real Madrid atau lebih dikenali sebagai Madridista termasuk yang tinggal di sempadan Endau-Rompin, ini adalah satu berita gembira kerana Bale pastinya akan menambah sengat di bahagian serangan Real Madrid yang sudah sedia dibarisi oleh Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema.

Kali terakhir Bale bermain pada musim ini ialah ketika Real Madrid tewas kepada Barcelona hasil jaringan minit terakhir perlawanan oleh siapa lagi kalau bukan Lionel Messi. Secara totalnya, Bale telah terlepas 27 perlawanan pada musim ini kerana kecederaan, bukan pergi melancong atau cuti tanpa gaji.

Namun, hasil risikan dan maklumat dalaman yang kami perolehi dari Madrid, ada beberapa pemain Los Blancos tidak mahu dan tidak suka jika Bale diturunkan dalam perlawanan akhir nanti.

Menurut maklumat dalaman, seramai lima pemain yang dikatakan tidak mahu Bale berada di padang nanti dan mereka ialah Cristiano Ronaldo, Pepe, Casemiro, Fabio Coentrao dan juga kapten, Sergio Ramos.

Agak pelik bila nama Fabio Coentrao sampai kepada kami kerana sepanjang ingatan kami, kali terakhir Coentrao beraksi di padang memakai jersi Real Madrid adalah ketika Francesco Totti baru akil baligh.

Fabio Coentrao. Tuan-tuan masih ingat lagikah pemain ini? | Gambar : Goal.com

Kelima-lima pemain ini berasakan Isco lebih sesuai diturunkan dalam perlawanan akhir memandangkan prestasinya yang cukup cemerlang setiap kali diturunkan.

Secara statistiknya, Isco telah bermain sebanyak 41 perlawanan pada musim ini dan menjaringkan 12 gol di samping 8 assists. Malah Isco juga telah 5 kali dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan La Liga dan sekali dalam perlawanan Liga Juara-juara.

Dari segi peratusan ketepatan hantaran, Isco merekodkan 89.7% ketepatan dan jumlah ini lebih tinggi daripada Ronaldo dan Modric di mana masing-masing merekodkan 82% dan 88% ketepatan sahaja. Hanya Toni Kroos yang mengatasi ketepatan Isco dengan 92.5%.

Bagi Ronaldo dan gengnya, kehadiran Isco jelas akan menambahkan kekuatan serangan Real Madrid untuk menghadapi tembok kebal pertahanan Juventus yang dibarisi oleh Bonucci dan Chiellini, di samping Isco akan memudahkan kerja pemain tengah yang lain – Modrid dan Kroos.

Ronaldo dan Ramos, R&R | Gambar : Thesheet.com

Walaubagaimanapun, jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, dikhabarkan bersedia untuk menurunkan Bale dan jika rekod sepanjang musim diambil kira, Zidane pasti akan menurunkan Bale jika berkelapangan.

Mungkin Zidane benar-benar percaya Bale akan menyelamatkan kerjayanya, ataupun Zidane ditekan oleh presiden kelab, Florentino Perez, yang mahukan pemain termahal mereka itu beraksi.

Perez dikhabarkan mahu berbelanja besar pada musim panas nanti dan Bale dikatakan bakal dijual ke kelab Liga Perdana Inggeris. Jadi amat penting untuk Perez melihat Bale bermain kerana ini akan menaikkan nilai jualannya nanti.

Jadi, selaku peminat nombor satu Real Madrid sejak 2014, apa kata engkorang? Nak Bale atau nak Isco? Ke nak Ghaddar?

Sumber gosip : Mirror Football

Baca Juga

Baca Juga