Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, Zahasmi menyuarakan hasrat untuk tidak meneruskan tugas bersama Kelantan walaupun ditawarkan kontrak sebagai penolong jurulatih kepada pengendali baharu, K Devan.

“Memang Zahasmi ditawarkan kontrak namun dia menolak kerana saya difahamkan dia turut mendapat tawaran daripada pasukan lain. Secara rasminya, saya boleh sahkan Zahasmi tidak akan bersama Kelantan pada musim depan.

“Kafa ucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepadanya. Kafa merasakan dia perlu diberi peluang menimba pengalaman di luar dan kita mengalu-alukan sekiranya dia berhasrat untuk kembali menabur bakti bersama Kelantan pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zahasmi pengendali skuad Piala Presiden Kelantan sebelum dilantik selaku penolong jurulatih skuad senior selepas Kafa melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan pertengahan musim ini.

Dia kemudian diangkat sebagai pemangku jurulatih setelah pengendali, Mohd Azraai Khor Abdullah meletak jawatan secara mengejut awal Julai lalu dan berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan memastikan Kelantan kekal beraksi dalam kancah Liga Super musim depan.

Menurutnya, keputusan jurulatih berusia 48 tahun itu untuk berundur diri daripada skuad pantai timur itu turut mendapat restu Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Zahasmi ketika dihubungi mengesahkan dia tidak menyambung khidmat bersama Kelantan setelah kontraknya berakhir pada 30 November lalu.

“Keputusan saya untuk tidak sambung kontrak bukanlah kerana kecewa dengan tawaran selaku penolong jurulatih tetapi di atas faktor-faktor tertentu,” katanya.