Selami Perjalanan Penuh Emosi Pasukan Denmark Sejak Hari Pertama Euro 2020

Selepas wisel penamat ditiup, Kasper Schmeichel mula mengatur langkah pertama dalam satu perjalanan yang sangat berat, mungkin paling berat dalam hidupnya menuju ke luar padang. Kita faham dan maklum, penjaga gol Denmark ini telah memberikan yang terbaik sepanjang kempen yang penuh kejutan pada tahun ini.

Di sekelilingnya, kelihatan banyak batang tubuh berbaju merah yang terbaring, tertunduk, memegang kepala – tanda kecewa gagal membawa negara tercinta ke pentas akhir Euro 2020.

Pemain pertama yang dikunjungi Schmeichel adalah Joachim Andersen, cuba mengangkatnya, namun gagal. Kemudian dia pergi pula ke arah kapten, Simon Kjaer, yang terbaring – juga gagal. Ada sebabnya kenapa kapten ini begitu kecewa.

Perjalanan sudah berakhir, dan dalam detik seperti ini, kita pasti akan berharap apabila pemain yang tewas di pentas ini tiba di bilik persalinan, pengurus, Kasper Hjulmand, akan dapat menemukan kata-kata yang mirip pengurus Sepanyol, Luis Enrique, ucapkan kepada para pemain mereka selepas kecundang di tangan Itali;

“Kenapa korang semua menangis?

“Angkat kepala tu! Korang patut bangga dengan diri korang sendiri!”

Selain bersedih kerana gagal ke perlawanan akhir, pemain pasukan Denmark juga berduka kerana gagal melunaskan janji mereka kepada Christian Eriksen yang terpaksa mengundurkan diri lebih awal berbanding rakan-rakan yang lain selepas dia mengharungi detik antara hidup dan mati ketika perlawanan pertama menentang Finland.

Tewas perlawanan tersebut, kesemua pihak terus melabelkan Denmark sebagai pasukan yang akan terkeluar awal. Ramalan ini bertambah kuat apabila mereka tewas kepada Belgium dalam perlawanan kedua.

Segalanya tampak sukar buat pasukan ini.

Namun segalanya berubah dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan. Berdepan Russia, Denmark perlu menang dengan jumlah yang besar dengan harapan mereka mampu layak ke pusingan kedua sebagai antara pasukan di tangga ketiga terbaik.

Hjulmand dan barisan kejurulatihan mula merenca sesuatu. Perubahan mesti dilakukan untuk mendapatkan hasil yang dipinta.

Menentang Russia, Hjulmand mengubah rangka formasi pasukan Denmark bermain, di mana dia bertukar daripada sistem 3-4-3 kepada 4-3-3. Pertahanan tengah, Andreas Christensen diubah posisinya kepada pemain tengah bertahan, melindungi Kjaer dan juga Jannik Vestergaard di belakangnya.

Hasilnya?

Denmark berjaya tepati sasaran dan Christensen telah menjaringkan satu gol yang padu dan boleh dicalonkan sebagai antara gol terbaik kejohanan pada tahun ini.

Melangkah ke pusingan 16-pasukan, pasukan Wales menanti. Mood dan suasana pada kali ini cukup berbeza. Seluruh rakyat Denmark dan pemain mereka sudah mula yakin bahawa mereka akan melangkah jauh pada kali ini – mungkin akan mengulangi pencapaian terbaik negara ketika generasi ayah mereka bermain pada tahun 1992.

Turun menentang pasukan yang diketuai Gareth Bale dan Aaron Ramsey, Denmark tidak berasa gentar. Penyerang tajam, Kasper Dolberg telah membuka jaringan pada minit ke-27 dan kemudian menambah lagi koleksi peribadi pada minit ke-48. Barisan pemain Wales mula bermain dalam panik.

Akibatnya, mereka dihukum lagi ketika cuba mencari gol dan kali ini pemain bek sayap Joakim Maehle pula muncul sebagai penjaring pada minit ke-88. Kesengsaraan Wales dilengkapkan sepenuhnya oleh Martin Braithwaite pada minit ke-94 perlawanan, sekaligus membawa rakan-rakan Christian Eriksen ini ke pentas suku akhir bertemu Republik Czech.

Staidum Olimpik Baku menjadi saksi betapa fokusnya Denmark untuk mencipta sejarah. Seawal minit kelima, Thomas Delaney meletakkan pasukannya di depan menerusi tandukan tajam hasil sepakan penjuru, menewaskan Tomas Vaclik.

Pada minit ke-42, Dolberg sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah penyerang yang perlu diberi perhatian apabila dengan tenang dia menampan bola ke gol lawan selepas menerima hantaran cantik dari sebelah kiri oleh Maehle.

Republik Czech cuba bangkit dan berjaya mendapatkan gol pertama mereka menerusi penyerang sensasi mereka, Patrik Schick pada minit ke-49, namun tidak cukup untuk mengekang kemaraan pasukan Denmark ke separuh akhir.

Berdepan England mereka sedar, mereka bakal bertarung dengan pasukan yang laparkan kejuaraan, pasukan yang bakal beraksi di gelanggang sendiri yang bakal dipenuhi dengan penonton yang sudah lama tidak berkunjung ke stadium sejak bermulanya pandemik tahun lalu.

Turun dengan semangat membara, Hjulmand mempertaruhkan barisan pemain yang sama ketika mereka menumpaskan Republik Czech. Hasilnya, mereka berjaya mendahului lawan selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Mikkel Damsgaard menjadi pemain pertama yang berjaya menewaskan Jordan Pickford selepas dia mengambil sepakan percuma yang begitu padu menembusi gol lawan, sekaligus menjadikannya pemain pertama dalam kempen Euro pada tahun ini yang menjaringkan gol secara terus daripada tendangan percuma.

Cuba mengekakan kedudukan sekurang-kurangnya sehingga waktu rehat, gol Denmark bolos juga. Kjaer secara tidak sengaja tertampan bola ke gawang sendiri hasil hantaran dari sebelah kanan oleh Bukayo Saka, dalam usahanya untuk menghalang bola daripada singgah di kaki Encik Raheem Sterling di belakangnya.

Rentak perlawanan mula berubah dan mula berpihak kepada England. Denmark bagaimanapun tetap berjaya mengekang asakan pasukan Tiga Singa sehingga wisel penamat, sekaligus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Minit ke-104 menjadi pemusnah segalanya. Encik Raheem yang menggelecek bola masuk ke kotak penalti Denmark, lalu menyentuh kaki Maehle dan rebah ke bumi. Tiada sentuhan keras daripada bek sayap Denmark itu.

Tanpa membuang masa, pengadil Danny Makkelie yang sebelum ini sudah dikenali kerana kontroversi tidak mengiktiraf gol Cristiano Ronaldo ketika meskipun bola sudah melepasi garisan ketika Portugal bertemu Serbia dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Mac, terus meniup wisel dan menunjukkan ke arah titik penalti.

Terkejut dan marah, pemain Denmark cuba membantah. Namun selepas meneliti video, keputusan Makkelie tidak berganjak. England tetap mendapat tendangan penalti.

Kapten Harry Kane meletakkan bola di titik penalti. Schmeichel menepuk-nepuk tangan, cuba menenangkan diri dan membaca air muka Kane.

Beberapa saat kemudian, Kane berlari ke arah bola dan menendang leret ke sebelah kiri Schmeichel, lantas penjaga gol Denmark tersebut terus melompat dan berjaya menepis sepakan penalti yang lemah tersebut!

Semua penyokong Denmark lega seketika dan hampir bersorak, namun mood mereka berubah semula apabila bola tampanan Schmeichel singgah ke kaki Kane.

Tanpa dikawal, Kane mudah menolak masuk bola ke dalam gol, mengecewakan pemain berbaju merah di atas, dan juga yang berada di luar padang.

Denmark cuba bangkit, namun pengurus England telah menambahkan kesukaran mereka apabila bertindak menambahkan seorang pertahanan di depan gol.

Perlawanan masuk ke minit 120 dan Makkelie meletakkan wisel di bibir, lalu meniupnya sekuat hati, menandakan perjuangan Denmark sudah berakhir.

Kekecewaan kapten Kjaer boleh difahami. Gol sendirinya telah mengubah rentak dan arus perlawanan.

Pemain Denmark rebah dan tertunduk kecewa. Janji mereka kepada Eriksen gagal ditunaikan. Harapan seluruh rakyat negara gagal direalisasikan. Mereka tewas di padang, menang di hati peminat.

Apapun, terima kasih Denmark di atas persembahan yang cukup mengagumkan sepanjang kempen ini. Mereka membuktikan, walaupun dilihat lemah, mengalah bukanlah satu pilihan!

BACA:  Persatuan Bola Sepak Adakan Perbincangan Mahu Tinggalkan FIFA Sebagai Tanda Protes