Selangor Umpama Real Madrid Di Malaysia

Pengurus KL City, Bojan Hodak menganggap Selangor sebagai Real Madrid Malaysia dan beliau juga turut menunjukkan sikap merendah diri dengan menganggap pasukannya sebagai underdogs sahaja.

Walaupun beliau berjaya memimpin KL City layak ke peringkat suku akhir sebagai Juara kumpulan A dan turut cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah, Bojan tetap merendah diri dan tidak mahu terlalu berharap untuk pergi lebih jauh.

Beliau turut cemerlang memimpin KL City untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka menewaskan Selangor di halaman lawan sejak 21 tahun lalu.

Kemenangan 2-0 sebenarnya sudah dianggap selesa untuk KL City bawa bekal bermain di halaman sendiri selepas ini.

Bojan Hodak walau bagaimanapun sekadar menganggap skuadnya sebagai pasukan underdog sahaja dan percaya Selangor mempunyai lebih banyak kelebihan untuk aksi suku akhir kedua nanti.

Dek kerana beliau percaya yang KL City merupakan pasukan yang baru saja bangkit, maka beliau memilih untuk tidak menambah tekanan kepada para pemainnya.

“ Kami bukan pasukan pilihan untuk menang dengan Selangor biarpun ramai melihat prestasi KL City cukup baik setakat ini di saingan TM Piala Malaysia.”

Jelas Bojan Hodak menurut Vocket FC

“ Selangor ada kelebihan dari segi pilihan pemain kerana mempunyai reserve team berbanding dengan KL City yang punyai sebuah skuad yang kecil.”

“ Berdasarkan rekod pertemuan KL City dan Selangor sepanjang musim ini termasuk satu perlawanan persahabatan, ketiga-tiganya berakhir keputusan seri.”

“ Jadi ini bermakna sudah pasti perlawanan akan sengit membabitkan kedua-dua pasukan pada pentas suku akhir dan sesiapa boleh memenangi perlawanan itu nanti.”

Bercakap tentang aksi suku akhir pertama, Hodak turut mendedahkan yang beliau sebenarnya tidak gembira dengan situasi dalam perlawanan itu.

Beliau mendedahkan hal itu kerana merasakan ada beberapa keputusan pengadil perlawanan yang tidak tepat dengan Bojan turut menegaskan yang KL City akan mengemukakan laporan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkait hal tersebut.

“Selangor adalah Real Madrid di Malaysia, bukankah begitu?”

Jelas Bojan Hodak menurut Nadi Arena dalam satu sidang media.

“Johor (Darul Ta’zim) ketika ini mungkin seperti Barcelona tetapi sepanjang 30 tahun lalu, Selangor sentiasa nombor satu.”

“Mereka sentiasa menjadi kelab terbesar dalam Malaysia dan jika anda melihat perbelanjaan mereka, ia empat kali ganda lebih besar berbanding kami, di mana ia satu perbezaan yang besar.”

“Mereka mempunyai pemain terbaik nombor 10, iaitu Shahrel Fikri (Fauzi), di mana jika anda memberikannya ruang dari jarak semeter, dia akan menjadi amat berbahaya.”

“Jadi, kami telah melakukan kerja rumah dengan amat baik untuk menghalang mereka dan pemain kami memahami perkara itu.”

“Jadi, kami tidak sabar untuk perlawanan berikutnya.”

Jika era 80 an dahulu, perlawanan Kuala Lumpur bertemu Selangor dianggap derby paling panas sekali dalam saingan bola sepak Malaysia.

Namun kini semuanya agak sedikit berubah, dengan perseteruan antara Kedah dan JDT yang lebih menarik untuk disaksikan, baik aksi dalam padang mahupun diluar padang.

Perang siber antara Datuk Seri Sanusi dan TMJ

Saingan Piala Malaysia 2021 peringkat suku akhir menjadi tumpuan dan bualan ramai terutamanya untuk perlawanan diantara pasukan Kedah Darul Aman FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Suasana panas menjelang pertemuan ini tercetus apabila terjadi perang mulut dan perang Siber antara pemilik JDT, Tunku Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.

Perang mulut ini bermula apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah memerli pasukan Kedah Darul Aman FC tentang isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan dari utara itu.

TMJ telah menulis:

“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol.”

Tidak senang dengan kritikan tersebut Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. membuat serangan balas:

“La ni bulan sebelas dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia.”

Dari kepala pistol membawa kepada peluru kapur terus membawa kepada isu ‘diet apa diet?’ yang nyata memberi hiburan dan memanaskan perlawanan yang bakal berlangsung.

TMJ kemudian membalas kembali:

“Salam Datuk. Gaji dah bayar? Bagus. Kebajikan pemain atau rakyat harus kita jaga. ‘Well done‘, jaga diri dan jaga kesihatan. Kalau nak diet call, saya ajar.”

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. terus membalas:

“Hang tak pakai seluaq lagi aku main bola dah…La ni pun dok main bola lagi… Diet apa diet?”

Namun semua ini tidak habis disitu dan berterusan semasa dan selepas perlawanan. Datuk Seri Sanusi sekali lagi mencuit TMJ di laman Facebook miliknya selepas tamat perlawanan yang berkesudahan dengan seri tanpa jaringan itu.

Datuk Sanusi awalnya memuat naik gambar penjaga gol JDT, Farizal Marlias bersama pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali, dengan menulis:

“Pemain No1 dan yg ke 12 pasukan lawan…”

Tulis Datuk Seri Sanusi di laman Facebook miliknya dan ia jelas menyindir JDT seolah-olah pengadil perlawanan memihak kepada pasukan pelawat.

Tidak puas mengusik, YB Sanusi kemudiannya menulis satu lagi status dengan memuat naik gambar TMJ dan menulis:

“Diet sakan pun tak leh menang jugakkk… tertomos (tersembam) pulak… adehhh!!”

Perang dan banter manja antara antara pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memasuki episode baru dan dijangka akan berleretan.

Terbaru Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menghantar hadiah jambangan bunga dan makanan segera terkenal McDonalds kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kerana tidak mahu diet.

Dalam muat naik di story Instagram, satu ayat padu diberikan oleh TMJ di mana McDonalds mampu menggembirakan ‘badut’.

“Tiada diet? Satu cara untuk memastikan badut gembira. McDonalds…Sentiasa”

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang menerima hadiah itu nyata berterima kasih mengikut resmi dan adab selaku rakyat Malaysia.

“Menjunjung Kasih TMJ atas kiriman bunga dan McD… hari khamis ni kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan.. kasi panas line tu wajib laaa…😅😅🙏🏽”

Ketika ramai mungkin beranggapan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan terbungkang kekenyangan menimati McDonalds secara percuma namun itu tidak terjadi.

Ini kerana makanan dari barat itu nyata tidak kena dan tidak menjadi pilihan selera Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang gemarkan makanan tempatan.

Coqkodok pisang (cekodok pisang) dan coqbilih kucai (cekodok bilis + daun kucai) nyata lebih padu, segar dan mengasyikkan berbanding makanan segera tersebut.

Satu hantaran di muka buku milik Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terus menjelma di laman Facebook selepas subuh.

“Coqkodok pisang dan coqbilih kucai tetap menjadi pilihan walaupun ada setambun McD di depan… selera bahan tempatan yang segar tak mungkin dapat direntap burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar…😅😅😅”

BACA:  Piala Malaysia 2015 : Selangor, Felda, Kelantan, T-Team Dalam Kumpulan Maut