Manchester City semakin hampir untuk menandatangani pemain pertahanan Athletic Bilbao, Aymeric Laporte seperti dilaporkan beberapa sumber media.
The Citizens gembira untuk membayar nilai pelepasan pemain tersebut yang berjumlah £57juta dan kini sudah memasuki fasa perbincangan terma dan syarat dalam kontrak pemain tersebut.
Jika perpindahan ini berlaku, jumlah tersebut bakal menjadi rekod perpindahan tertinggi Manchester City, yang kini dipegang Kevin De Bruyne pada tahun 2015 selepas City membayar £55juta kepada Wolfsburg untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Belgium tersebut.
Skysports sebelum ini melaporkan perbincangan di antara Bilbao dan City telah diadakan awal minggu ini berkenaan perpindahan Laporte ke Etihad Stadium. Laporte merupakan pemain yang sangat diminati Pep Guardiola dan beliau telah mengenalpasti pemain antarabangsa Perancis ini sebagai calon utama untuk mengisi bahagian pertahanan tengah City sebaik sahaja bergelar pengurus Manchester City.
Walaubagaimanapun, Guardiola terpaksa melupakan niat beliau ketika itu kerana Laporte menolak pelawaan City untuk terus kekal di Sepanyol. Guardiola terpaksa mengubah sasaran dengan mendapatkan John Stones dari Everton ketika itu, dengan yuran perpindahan yang hampir sama dengan nilai pelepasan Laporte.
Laporte kekal menjadi pemain Athletic Bilbao sehingga saat ini, dan telah menarik minat beberapa kelab termuka Eropah seperti Barcelona, Manchester United dan Chelsea.
Minat yang ditunjukkan City terhadap Laporte hadir selepas sasaran utama Guardiola pada jendela perpindahan Januari ini, Alexis Sanchez memilih untuk menyertai seteru utama mereka, Manchester United. Yuran perpindahan yang diminta Arsenal dan permintaan gaji melampau Sanchez menjadi punca utama Guardiola terpaksa melupakan niatnya untuk kembali bergabung dengan Sanchez.
Selain, Laporte, City juga telah menunjukkan minat terhadap pemain pertahanan West Brom, Jonny Evans, pemain Real Sociedad, Inigo Martinez dan pemain pertahanan Leicester City, Harry Maguire.