Selepas Setahun PSG Jana £700 Juta Melalui Nilai Komersil Messi

messi teori konspirasi

Jika dilihatkan kepada prestasi Lionel Messi di padang bersama PSG tidaklah membanggakan dan tiada lagi dapat dilihat 40-50 gol semusim seperti mana Messi yang dunia kenal sebelum ini.

Tapi kehadiran Lionel Messi selepas setahun bersama PSG sudah mampu untuk membuatkan kelab Kota Paris itu tersenyum lebar apabila Messi melalui nilai komersinya telah menjana pendapatan buat kelab sebanyak £700 Juta.

Ini merupakan rekod dari segi pendapatan komersil paling tinggi dalam sejarah kelab.

Kehadiran Lionel Messi gagal untuk menghadirkan trio paling mengancam di dunia dengan gandingannya kembali bersama Neymar dan tambahan tenaga muda Kylian Mbappe.

Ramai sudah membayangkan bahawa trio serangan itu akan sesuka hati merobek lawan mereka. Memikirkan mereka bertiga berada di dalam satu pasukan yang sama adalah pekara yang tidak masuk akal.

Tiada masalah untuk PSG terus menuai hasil di liga pertanian Ligue 1 apabila muncul juara namun di Eropah mereka dikejutkan dengan aksi kebangkitan sang juara, Real Madrid.

Pemilik PSG, Nasser Al Khelaifi sendiri menilai Messi melalui musim pertama yang sukar dan yakin pemain itu akan menunjukkan prestasi terbaiknya pada musim hadapan.

Prestasi agak sendu Messi masih mampu membuatkan Nasser Al Khelaifi tersenyum tatkala melihat pendapatan yang diraih yang majoritinya datang daripada Messi.

Bagaimana nilai komersil Messi boleh mendatangkan pendapatan sehingga £700 Juta?

Kontrak Penajaan

Hakikatnya pembelian Lionel Messi bukan untuk mendapatkan yang terbaik di padang malah pemain genit itu juga telah membawa sekali kontrak penajaan yang lebih banyak dan lebih baik.

Perkara ini telah diakui sendiri oleh Marc Armstrong yang merupakan Chief Sponsorship Officer (Ketua Pegawai Penajaan) PSG bahawa Messi telah menarik penajaan yang lebih tinggi sebelum kehadirannya.

“Kami pastinya telah melihat pertumbuhan dalam kontrak penajaan di mana sebelum ini kami hanya boleh mencapai persetujuan antara 3 sehingga 5 juta dan kini meningkat antara 5 sehingga 8 juta, jadi kesannya adalah besar”.

Malah, dianggarkan hasil kontrak penajaan telah meningkat sebanyak 13% dengan kerjasama dengan jenama seperti Dior, Gorillas, Crypto.com, Autohero, GOAT, Smart Good Things, Infinity Sports Water, Geekvape, PlayBetR, Volt dan Big Cola.

Berkenaan dengan mata wang kripto, kini dalam waktu rendah akibat perang di Ukraine, nilai mata wang PSG meningkat dua kali ganda apabila diketahui umum bahawa mereka menandatangani Messi, yang mana perpindahannya dibayar melalui wang kripto.

“Kami telah menutup perjanjian dengan mata wang kripto sebelum menandatangani Messi dan pada minggu-minggu berikutnya harganya melambung tinggi kerana orang ramai menunjukkan lebih minat untuk turut menyertai.” kata Armstrong.

Kelab itu telah menjana melebihi £300 juta pendapatan untuk kontrak penajaan buat kali pertama dalam sejarahnya musim ini.

Jualan Jersi

Jualan jersi PSG juga telah memecahkan rekod penjualan jersi kelab dengan mencatatkan pertumbuhan yang mecanak-canak serta berdenyut-denyut sejak kehadiran Lionel Messi di Kota Paris.

Penjualan jersi PSG telah pun memasuki dimensi baru ketika mengikat Neymar dan kemudian disusuli oleh Kylian Mbappe tetapi dengan Messi penjualan jersi mereka menggila.

Lebih sejuta helai jersi PSG telah berjaya dijual dalam semusim dan paling padu apabila 60 peratus terhasil dari jualan jersi bernombor 30 yang pastinya dipakai oleh Messi.

PSG duduk sebaris dengan Manchester United musim lalu menjadi kelab menjual jersi tebanyak di dunia dam perjanjian dengan Jordan Brand juga telah membawa kepada kelarisan jersi PSG.

Dalam 3 jam pertama, jersi Messi telah menjana €933,000 dan memaksa kelab untuk memindahkan kedai rasminya ke Champs-Élysées untuk menggandakan keluasan kedai dan meningkatkan pendapatannya.

Pemain Argentina itu membantu kelab mencapai jualan seluruh musim 20-21 sebanyak €41 juta melalui penjualan cenderahati hanya selepas setengah musim 21-22 sahaja.

Marc Armstrong telah menjelaskan:

“Permintaan jersi telah meningkat antara 30 dan 40% dan apa yang benar-benar boleh menghalangnya ialah bekalan.”

“Apabila perpindahan sebesar ini berlaku, Ronaldo ke United sebagai contoh, anda mungkin berfikir bahawa mereka akan membayarnya dengan menjual baju, tetapi itu tidak terjadi.”

“Anda tidak mampu menghasilkan banyak baju tambahan. Perjanjian telah ditetapkan untuk menjamin jumlah minimum yang sangat penting tetapi kami tidak dapat memenuhi permintaan untuk baju Messi. Kami telah sampai ke hadnya.”

“Tiada siapa yang dapat memenuhi permintaan itu. Kami sudah menjual banyak baju, lebih mungkin daripada pasukan lain di dunia untuk seorang pemain dan itu meletakkan kami di peringkat seterusnya.”

“Kami mempunyai banyak permintaan untuk produk gaya hidup, hasil dengan jenama Jordan adalah besar, tetapi permintaan semakin meningkat apabila anda menandatangani pemain seperti Messi”

Walaupun hampir 600,000 jersi Messi telah dijual PSG tidak mampu untuk menampung permintaan dan hanya 15-20% sahaja hasil daripada penjualan jersi masuk ke poket kelab.

Impak Media Sosial

Kedatangan Lionel Messi juga tidak terkecuali apabila memberi impak besar kepada rangkaian media sosial kelab sebaik sahaja ketibaannya diumumkan secara rasmi.

Dia memperoleh 15 juta pengikut di semua platform media sosialnya dan melepasi angka 150 juta pengikut buat kali pertama.

“Kami memperoleh purata 1.4 juta pengikut setiap minggu dan kami adalah kelab pertama yang mencapai 10 dan 20 juta pengikut di TikTok atau jenama Perancis paling penting dan besar di Instagram,” tambah Armstrong.

“Di rangkaian media sosial ini, pengikut PSG meningkat daripada 38.5 juta pengikut kepada 60.9 pengikut pada masa ini. Iaitu, hampir dua kali ganda sejak kedatangan warga Argentina itu.”

Rangkaian media sosial merupakan platform yang paling berkesan pada hari ini untuk memperkenalkan dan mengukuh jenama. Dengan pertambahan pengikut akan lebih mudah untuk menarik lebih banyak penaja.

Pendapatan Stadium Mencanak

Kedatangan Messi juga bermakna peningkatan mencanak-canak dengan ketara dalam pendapatan melalui jualan tiket perlawanan. Siapa yang mahu melepaskan peluang melihat aksi Messi dengan kedua mata sendiri?

Kelab itu telah meningkatkan senarai menunggu sejak kedatangan Messi dan penjualan semula yang sah, melalui platform yang dikawal oleh kelab itu sendiri di laman webnya yang telah melonjak naik.

“Tiada tiket untuk setiap perlawanan lagi dengan rekod pendapatan di kalangan kelab Eropah bagi satu venue, dengan lapan kali lebih ramai peminat hadir tanpa tiket atau VIP, jadi ia jelas menjadi titik perubahan.” Ujar Marc Armstrong.

Dalam dunia bola sepak ini, selain Lionel Messi, hanya Cristiano Ronaldo sahaja yang mampu membawa impak yang sama seperti ini kepada kelab.

BACA:  Barcelona Bakal Didenda Kerana Keraian Gol Messi Untuk Maradona