Selepas Teruk Dicaci Penyokong, Billy Gilmour Dinasihatkan Supaya Tinggalkan Norwich

Billy Gilmour teruk kena hentam dengan para penyokong Norwich dengan beliau turut dimaki hamun para peminat supaya berambus dari kelab.

Paul Parker dari talkSPORT bahkan turut menasihati Gilmour supaya segera keluar dari Norwich, dan kembali ke kelab asalnya Chelsea.

Pemain kebangsaan Scotland itu telah dipinjamkan ke Norwich dengan perjanjian pinjaman selama satu musim pada musim ini.

Walau bagaimanapun, kehidupan beliau di Carrow Road tidak seperti yang diharapkan dengan beliau menjadi mangsa makian para penyokong.

Apa lagi melihat kedudukan Norwich City yang pada ketika ini berada di dasar liga, para penyokong senantiasa mencari mangsa untuk melepas geram.

Ketika aksi kekalahan 3-0 di tangan Crystal Palace malam semalam, para penyokong Norwich telah memaki hamun Gilmour dan menyuruh beliau kembali ke Chelsea dengan segera.

Parker percaya yang pemain berusia 20 tahun itu sepatutnya keluar dari Norwich dengan segera demi perkembangan karier beliau.

Parker turut mempersoalkan tentang mengapa Chelsea memilih untuk meminjamkan Billy Gilmour kepada Norwich pada musim ini.

“Saya tak dengar (chanting maki hamun) tapi saya pasti Billy juga tidak akan dengar.”

Jelas Parker kepada talkSPORT.

“Jika kamu adalah dia atau kamu adalah Chelsea, kamu sudah tentu akan tertanya-tanya apa sebenarnya yang dia dapat bila dipinjamkan ke sana. Apa yang dia dapat hanyalah 90 minit yang sia-sia.”

“Dia tak perlukan itu. Semua orang tahu bagaimana bagusnya dia, dia cuma berada di kelab yang tak sesuai dengan dia. Ketika kamu lihat dia bermain untuk Scotland, lebih lagi bersama Chelsea, kamu akan nampak betapa bagusnya dia.”

“Dia perlu lakukan terlalu banyak benda dalam skuad ini. Ia sangat, sangat sukar untuk dia. Ia bukan hanya tentang dia, masih ramai lagi pemain lain yang sedang jahanamkan kelab ini.”

“Ketika Gilmour menandatangani perjanjian bersama Norwich, saya sudah rasa benda tu tak masuk akal.”

“Norwich memang sebuah kelab yang hebat dalam negara ini, tapi ketika kamu lihat pada karier kamu dan kamu mahu pergi ke tahap seterusnya, kamu mahu berada bersama pemain-pemain terbaik, kamu tak akan dapat itu bersama Norwich.”

“Adakah dia ada pilihan? Jika ada pilihan untuk dia, rasa pilihan itu lebih bagus berbanding dia pilih Norwich.”

“Tidak ada yang baiknya untuk dia beraksi di sana, ia hanya akan membinasakan dia.”

Parker turut percaya yang Gilmour lebih baik pulang untuk beraksi bersama Chelsea, dan bermain di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Beliau merasakan itu akan lebih membantu Gilmour untuk lebih berkembang dan mencerahkan lagi masa depan beliau dalam dunia bola sepak.

“Ketika kamu nampak segelintir pemain yang sekarang sedang beraksi bersama Tuchel, mereka jauh berbeza berbanding dia (Gilmour).”

“Tuchel melakukan hal yang sangat berbeza berbanding pengurus lain. Dia menggunakan semua pemain yang ada, pemain muda, dan seandainya Gilmour ada di sana, dia juga akan dapat bermain.”

Billy Gilmour sememangnya seorang pemain midfield yang hebat dan berbakat, dan beliau juga telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan ketika kariernya di Stamford Bridge.

Melihat bagaimana penyokong Norwich memaki hamun beliau, rasanya beliau memang patut meninggalkan Carrow Road untuk kembali ke Stamford Bridge atau sertai pasukan lain yang lebih memerlukan khidmatnya.

Norwich City jelas sekali bukan tempat yang sesuai untuk Billy Gilmour apa lagi selepas para penyokong sendiri tidak menerima kehadiran beliau.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Lihat Bagaimana Pemain Muda Chelsea "Nutmeg" Fabinho