Juventus, AC Milan dan Internazionale merupakan tiga kelab elit dalam saingan Serie A di Itali degan jumlah 64 scudetto dijumlahkan di kalangan mereka. Ketiga-tiga kelab juga telah melahirkan ramai pemain lagenda seperti Alessandro Del Piero, Paolo Maldini dan Javier Zanetti.
Persamaan ketiga-tiga pemain ini adalah mereka hanya bermain untuk satu kelab sahaja di Serie A, iaitu Juventus – Del Piero, AC Milan – Maldini, Encik Jimie dan Inter – Zanetti.
Dalam beribu-ribu pemain di Serie A, hanya ada sembilan pemain yang pernah bermain untuk ketiga-tiga kelab ini.
Zlatan Ibrahimovic
Juventus : 2004-2006
Inter : 2006-2009
Milan : 2010-2012
Kelab sekarang : La Galaxy
Zlatan di Itali ibarat magnet menarik trofi, di setiap kelab yang disertainya pasti akan bergelar scudetto. Dia memenangi lima kejuaraan berturut-turut bersama Juventus dan Inter, sebelum singgah sebentar di Barcelona – dia menang La Liga – dan kembali ke Itali untuk bersama Milan pada tahun berikutnya.
Pada tahun 2011, dia memenangi Scudetto bersama Milan pula.
Patut lah dia angkuh.
Andrea Pirlo
Inter : 1998-2001
Milan : 2001-2011
Juventus : 2011-2015
Kelab sekarang : Pesara sambil menunggu janji manifesto
Bersama Inter, Pirlo hanya berjaya bermain sebanyak 22 perlawanan dalam tempoh tiga tahun sebelum berpindah ke Milan dan rezekinya ternyata di Rossoneri di mana dia berjaya memenangi Champions League dua kali, dan Serie A juga dua kali. Pada tahun 2011 Pirlo menyertai Juventus dan ini dilihat seolah-olah Milan menyerahkan takhta Serie A secara terus kepada Juventus.
Bersama Bianconeri, Pirlo berjaya memenangi Scudetto empat kali berturut-turut selain membantu kelab Turin tersebut layak ke perlawanan akhir Champions League pada tahun 2015.
Christian Vieri
Juventus : 1996-1997
Inter : 1999-2005
Milan : 2005-2006
Kelab sekarang : Bersara, tunggu duit KWSP
Pada tahun 1999, Internazionale memecahkan rekod dunia perpindahan pemain apabila membayar GBP 32juta untuk mendapatkan khidmat penyerang ini dari Lazio dan Vieri cemerlang bersama Nerazzuri apabila beraksi lebih dari 150 perlawanan dan menjaringkan 103 gol dalam Serie A.
Kariernya bersama Juventus dan dan AC Milan tidak begitu memberangsangkan apabila sekadar bermain sebanyak 31 perlawanan keseluruhannya untuk kedua-dua kelab.
Edgar Davids
Milan : 1996-1997
Juventus : 1997-2004
Inter : 2004-2005
Kelab sekarang : Bersara, tunggu dapat cucu.
Satu-satunya pemain yang berpindah secara terus ke ketiga-tiga kelab dan pemain ini diingati kerana memakai cermin mata istimewa untuk perlawanan. Ingat iklan Pepsi? .
Dari ketiga-tiga kelab ini, Davids paling menyerlah di Juventus apabila bermain sebanyak 159 kali dalam Serie A.
Antara rakan sepasukannya bersama Old Lady ialah Del Piero, Pavel Nedved, David Trezeguet dan Antonio Conte.
Patrick Vieira
Milan : 1995-1996
Juventus : 2005-2006
Inter : 2006-2010
Kelab sekarang : Bersara, join MLM kismis minda
Patrick Vieira mungkin lebih diingati ketika aksinya bersama Arsenal di mana beliau adalah salah seorang dari anggota skuad The Invincible, namun beliau sebenarnya juga salah seorang pemain yang pernah mewakili ketiga-tiga kelab legenda ini.
Walaupun hanya bermain sebanyak dua perlawanan bersama Milan. Walaubagaimanapun, jumlah keseluruhan penampilannya di Serie A masih jauh berbanding di Arsenal dengan 138 berbanding 406.
Roberto Baggio
Juventus : 1990-1995
Milan : 1995-1997
Inter : 1998-2000
Kelab sekarang : Bersara
Baggio mungkin diingati kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir dalam perlawanan akhir piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, sekaligus memberikan kemenangan buat Brazil. Bagaimanapun, beliau sebenarnya telah terbukti sebagai seorang pemain yang hebat di dunia.
Sepanjang kariernya, beliau berjaya menjaringkan 318 gol dalam kesemua pertandingan, dan berada di tangga ketujuh penjaring terbanyak Serie A dengan 205 gol, cukup banyak bagi seorang pemain attacking midfielder.
Aldo Serena
Inter : 1978-1979 , 1981-1982, 1983-1984, 1987-1991
Milan : 1982-1983, 1991-1993
Juventus : 1985-1987
Kelab sekarang : Pesara tetap
Kini berusia 58, Serena mungkin masih berfikir kenapa banyak kali beliau keluar masuk Inter. Meskipun keluar-masuk Inter, era terbaiknya hanya hadir dari 1985-1987 ketika bersama Juventus di mana beliau menjaringkan 21 gol, dan 45 gol dalam empat musim berikutnya bersama Inter.
Enrico Candiani
Inter : 1937-1946
Juventus : 1946-1947
Milan : 1949-1950
Kelab sekarang : Dalam Kenangan
Hampir sedekad jasanya ditabur bersama Inter dan telah memenangi Scudetto dan Copa Italia, sebelum menghabiskan sisa-sisa permainan di Milan dan Inter. Beliau telah meniggal dunia pada usia 89tahun, pada 2008. Jasa dan sumbangannya terhadap bola sepak Itali tetap diingati sehingga kini.
Guiseppe Meazza
Inter : 1927-1940, 1946-1947
Milan : 1940-1942
Juventus : 1942-1943
Kelab sekarang : Dalam Kenangan
242 gol dalam 365 perlawanan buat Inter, Meazza sememangnya layak diangkat sebagai lagenda dan stadium San Siro telah dinamakan secara rasminya ke Stadium Guiseppe Meazza pada tahun 1980. Beliau digelar il Genio – sang genius oleh media di Itali.
Lagenda ini meninggal dunia pada tahun 1979 di Rapallo, Itali.
Artikel rujukan : The Offside