Senarai 10 Pakar Sepakan Percuma Terbaik Sepanjang Zaman

Legenda Brazil, Juninho Pernambucano telah dinamakan sebagai pakar sepakan percuma terbaik sepanjang zaman menurut rekod jaringan yang dicipta olehnya.

Footy Room telah mengumpul data pemain yang paling banyak menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dan dengan menggunakan data itu, mereka telah menyenaraikan 10 pengambil sepakan percuma terbaik dunia sepanjang zaman.

Legenda berusia 45 tahun itu merupakan pakar dalam situasi bola mati dan juga sering menjaringkan gol yang cantik menerusi sepakan percuma.

Beliau telah berjaya menjaringkan 77 gol menerusi sepakan percuma ketika beraksi bersama pasukan Lyon, Vasco da Gama, Al-Gharafa dan Sport Club do Recife.

Juninho mampu untuk menjaringkan gol dari pelbagai sudut dan jarak yang jauh dengan sangat cantik dan mempunyai ketepatan yang luar biasa dengan menggunakan teknik tersendiri.

Tetapi menurutnya, teknik itu beliau tiru dari Marcelinho yang mana pemain ini turut berada dalam senarai dengan berjaya menjaringkan 59 gol menerusi sepakan percuma.

“Saya mula meniru gaya sepakan percuma yang diambil oleh Marcelinho ketika dia beraksi bersama Corinthians. Dia merupakan sumber inspirasi saya.”

“Dia juga pemain pertama yang saya lihat mengambil sepakan percuma begitu hingga membuatkan bola seakan-akan menari-nari di udara.”

Jelasnya kepada FourFourTwo.

“Ini menjelaskan kepada semua bahawa teknik itu bukanlah milik saya, ia milik Didi, pemain yang memenangi Piala Dunia 1958 dan 1962 bersama pasukan Brazil. Dia yang memulakan formula itu yang kemudiannya diubah-ubah oleh ramai pemain generasi selepasnya.”

Legenda Brazil Pele pula berada dikedudukan kedua dalam senarai pengambil sepakan percuma terbaik dunia selepas berjaya menjaringkan 70 gol sepanjang kariernya menerusi sepakan percuma.

Pemenang Ballon d’or tahun 2005, Ronaldinho pula berada di kedudukan keempat dalam senarai selepas berjaya menjaringkan 66 gol menerusi sepakan percuma sepanjang kariernya.

Pakar set-piece, David Beckham berada dikedudukan kelima satu gol sahaja dibezakan dengan Ronaldinho. Beliau berjaya menjaringkan 65 gol menerusi sepakan percuma sepanjang kariernya.

Legenda Zico dan Diego Maradona kedua-dua mereka menduduki tempat keenam dan tujuh dalam senarai selepas masing-masing berjaya menjaringkan 62 gol menerusi sepakan percuma.

Legenda pertahanan terbaik dunia pula menduduki tempat ke lapan dalam senarai selepas berjaya menjaringkan 60 gol menerusi sepakan percuma sepanjang kariernya.

Legenda penjaga gol yang berjaya menjaringkan gol terbanyak, Rogerio Ceni berada di kedudukan kesembilan selepas menjaringkan 59 gol sepanjang kariernya sebagai seorang penjaga gol dan pengambil sepakan percuma untuk pasukan.

Legenda berusia 47 tahun itu kini sedang bertugas sebagai seorang pengurus untuk pasukan Fortaleza.

Tugas sebenar beliau ketika bergelar pemain adalah untuk menjaga gawangnya agar tidak dibolosi, namun dengan kelebihan yang dimiliki, beliau bukan sahaja cemerlang menjaga gawang, bahkan boleh menjaringkan gol untuk pasukannya juga.

Beliau merupakan penjaga gol yang menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah bola sepak dunia dengan menjaringkan 131 gol sepanjang kariernya dengan 59 dari jaringan tersebut menerusi sepakan percuma.

Berikut merupakan senarai 10 pakar sepakan percuma sepanjang zaman menurut FootyRoom.

Pakar Sepakan Percuma:

1. Juninho (77 gol)

2. Pele (70 gol)

3. Victor Legrottaglie (66 gol)

4. Ronaldinho (66 gol)

5. David Beckham (65 gol)

6. Diego Maradona (62 gol)

7. Zico (62 gol)

8. Ronald Koeman (60 gol)

9. Rogerio Ceni (59 gol)

10. Marcelinho Carioca (59 gol)

BACA:  Lima Filem Bola Sepak Yang Wajib Ditonton