Senarai 7 Nahas Paling Buruk Dalam Sejarah Sukan Dunia

Semenjak terciptanya kapal terbang pertama oleh Oliver dan Wilbur Wright (ada yang menyatakan sejak zaman Andalusia lagi) tempoh perjalanan manusia untuk ke sesuatu tempat berjaya disingkatkan. Disebabkan itu jugalah banyak syarikat-syarikat penerbangan tumbuh bagaikan cendawan untuk cuba mengeksploitasi peluang yang terbuka.

Antara yang mendapat manfaat ialah kelab atau organisasi sukan terutamanya pasukan yang menyertai kejohanan di benua yang lain. Masakan tidak tempoh perjalanan yang berjaya dipendekkan memberi peluang kepada pasukan bertanding untuk mendapat lebih rehat dan juga latihan.

Walaubagaimanapun malang sememangnya tidak berbau. Ada pasukan yang terbang tidak kembali lagi. Nahas yang meragut nyawa tidak terhad kepada pemain sahaja, tetapi kadang kala penonton dan peminat juga turut terlibat.

Nahas melibatkan pasukan Chapecoense pada tahun lalu.

Nahas yang berlaku dalam sejarah sukan dunia tidak terhad kepada pengangkutan sahaja, tetapi ia juga boleh berlaku ketika hari perlawanan di stadium. Kebakaran dan rempuhan penyokong merupakan punca tragedi yang sering berlaku dan boleh meragut puluhan malah ratus nyawa penonton.

Beberapa tahun lalu dunia telah dikejutkan dengan tragedi yang menimpa sebuah kelab bolasepak dari Brazil, Chapecoense. Kapal terbang yang dinaiki pasukan terbabit terhempas lalu mengorbankan 71 nyawa dari 81 jumlah penumpang. Tetapi tragedi ini bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah sukan dunia.

Artikel ini bakal menyenaraikan 7 nahas paling buruk yang pernah berlaku dalam sejarah sukan dunia untuk tatapan para pembaca.

1. Kebakaran Trek Lumba Kuda Happy Valley (1918)

Tragedi ini berlaku pada 26 Februari 1918 di Hong Kong. Nahas ini bukan melibatkan sebarang pengangkutan tetapi ia adalah kebakaran yang berlaku pada hari pertandingan.

Pada hari ini, trek Happy Valley mampu memuatkan sehingga 55,000 penonton dalam satu-satu masa. Walaubagaimanpun, ia menyimpan 1001 sejarah yang telah mengorbankan ratusan nyawa akibat kebakaran.

Pada tahun 1918, tragedi berdarah ini telah meragut 590 nyawa penonton ketika perlumbaan kuda sedang berlangsung. Kebakaran berpunca dari salah satu atap sementara yang runtuh secara tiba-tiba lalu menghempap gerai makanan dan mengakibatkan minyak masak tertumpah dan kebakaran merebak dengan pantas selepas itu.

Gambar – Devastating Disaster

Jumlah kematian menjadi tinggi disebabkan pintu keluar dari trek tersebut dihalang oleh atap yang runtuh, bermakna orang ramai tidak mampu keluar dari tempat kejadian dengan pantas. Kebakaran berlaku pada pukul 6 petang dan berlanjutan selama 20 minit sebelum ia berjaya dipadamkan, tetapi sudah cukup untuk meragut ratusan nyawa pengunjung.

Lumba kuda merupakan salah satu tarikan pelancong untuk berkunjung ke Hong Kong pada ketika itu. Pada tahun 1995, trek lumba kuda Happy Valley telah dinaik taraf dengan pembinaan ‘grandstand’ 7 tingkat dan pada hari perlumbaan, nilai pertaruhan boleh mencecah sehingga $100 juta sehari.

2. Nahas Kapal Terbang Superga (1949)

Nahas yang meragut 31 nyawa ini berlaku pada 4 Mei 1949 melibatkan pasukan bolasepak Torino. Pasukan yang berpengkalan di Turin ini berada di puncak tertinggi bolasepak dunia ketika itu apabila kapal terbang yang dinaiki mereka selepas pulang dari perlawanan persahabatan terhempas. 18 dari jumlah kematian adalah pemain kelab bolasepak tersebut.

Pada ketika itu, Torino sedang mendahului kejuaraan bolasepak Itali dengan liga hanya berbaki 4 perlawanan sahaja. Andai mereka menang gelaran pada tahun tersebut, ia bakal menjadi kejuaraan liga kali ke-4 berturut-turut dimenangi mereka selepas Perang Dunia ke-2.

Gambar – Superior Central

Punca nahas adalah disebabkan cuaca yang buruk. Pada hari kejadian, kapal terbang milik Syarikat Penerbangan Itali yang membawa seluruh pasukan terpaksa menempuhi cuaca yang teruk untuk mendarat di Turin. Akibat tahap penglihatan yang buruk, pilot mengambil keputusan untuk terbang rendah dan malangnya, kapal terbang tersebut melanggar struktur bangunan gereja yang dikenali sebagai ‘Basilica of Superga’.

3 pemain yang tidak turut serta dalam penerbangan tersebut atas sebab yang tidak diketahui adalah apa yang tinggal dalam pasukan Torino ketika itu. Kehilangan 18 pemain Torino dalam nahas kapal terbang itu memberi tamparan yang hebat kepada peminat dan rakyat Itali keseluruhannya kerana 10 pemain yang terlibat adalah anggota skuad kebangsaan Itali ketika itu.

3. Nahas Kapal Terbang Marshall University (1970)

Nahas kapal terbang ini telah mengorbankan 75 nyawa penumpang, dengan 37 daripadanya adalah anggota pasukan ‘American Football’ Universiti Marshall. Tragedi ini dianggap sebagai nahas paling buruk dalam sejarah sukan Amerika Syarikat dan sehingga ke hari ini, punca utama kejadian masih belum dijelaskan dengan terperinci.

Ketika kejadian, pasukan terbabit dalam perjalanan pulang selepas perlawanan menentang East Carolina tetapi malangnya kapal terbang yang mereka naiki gagal mendarat di Lapangan Terbang Tri-State, West Virginia.

Gambar – Buffalo Bills

Dilaporkan ketika hampir sampai, kapal terbang mula terbang dengan rendah dan melanggar pokok yang terletak berdekatan dengan lereng bukit. Punca kapal terbang terbang rendah masih tidak dapat diketahui sehingga hari ini.

Tragedi tersebut meranapkan impian peminat pasukan ‘American Football’ Universiti Marshall. Pasukan itu juga hampir dibubarkan berikutan nahas tersebut. Pembubaran tidak berlaku selepas usaha beberapa pihak berjaya meyakinkan president universiti terbabit untuk membatalkan rancangan asal mereka.

4. Nahas Lumba Kereta Le Mans (1955)

Dianggap sebagai tragedi paling teruk dalam sejarah permotoran dunia, kejadian yang berlaku pada 11 Jun 1955 ini berlaku disebabkan sebuah kereta melanggar tembok pembahagi jalan yang memisahkan trek dan penonton. Kereta tersebut dipandu Pierre Levegh yang memandu untuk pasukan Mercedes-Benz.

Nahas ini mengakibatkan pemandu dan 83 lagi penonton terkorban manakala 120 lagi mengalami kecederaan. Kereta yang dipandu Levegh hilang kawalan lalu terperosok memasuki ruang penonton. Badan kereta yang terbakar menjadikan keadaan lebih buruk dan api merebak dengan pantas.

Gambar – Getty

Punca utama kemalangan adalah jenis brek yang dipakai kereta Levegh yang agak ketinggalan zaman. Badan kereta tersebut diperbuat daripada alloy yang mempunyai kandungan magnesium yang tinggi, dan api menjadi makin marak apabila air digunakan untuk memadamkan api pada badan kereta tersebut.

Pada masa itu, kereta yang berlumba di Le Mans semakin pantas tetapi keselamatan pelumba dan litar tidak berkembang seiring dengan teknologi kereta. Dalam ayat mudahnya, keselamatan tidak berapa dititikberatkan pada masa itu.

Tragedi tersebut memaksa beberapa negara menggantung sukan permotoran sehingga tahap keselamatan dipertingkatkan. Pengeluar kereta terkenal seperti Mercedes dan Jaguar juga menarik diri dari menyertai perlumbaan sedemikian rupa untuk beberapa dekad seterusnya.

5. Tragedi Heysel (1985)

39 orang terkorban dalam tragedi bolasepak ini. Heysel terletak di Brussels, Belgium dan pada 29 Mei 1985, bandar tersebut telah menjadi hos kepada satu perlawanan bolasepak di antara Liverpool dan Juventus dalam perlawanan akhir Piala Eropah.

Sebelum kejadian, kedua-dua kelab yang bertanding meminta pihak UEFA (badan penganjur bolasepak Eropah) untuk memindahkan venue pertandingan ke tempat lain. Ini kerana Stadium Heysel adalah usang dan kurang ciri-ciri keselamatan. Malangnya, UEFA tetap bertegas dengan keputusan mereka untuk menganjurkan perlawanan akhir tersebut di Heysel.

Stadium tersebut mempunyai dua bahagian yang mempunyai tiga tingkat tempat duduk. Satu bahagian diperuntukkan khas kepada penyokong Juventus, manakala satu bahagian lagi dibahagikan kepada 3 seksyen kecil. 2 daripada seksyen tersebut diperuntukkan kepada penyokong Liverpool dan satu seksyen lagi untuk penyokong neutral.

Gambar – CNN

Bandar Brussel pada ketika itu didiami banyak pekerja dari Itali dan seksyen yang sepatutnya diisi penyokong neutral telah diisi oleh penyokong Juventus. Penghadang yang sepatutnya memisahkan penyokong tidak banyak membantu, dan penyokong Liverpool dan Juventus mula melontar batu antara satu sama lain.

Penyokong Liverpool terus mara ke arah seksyen penyokong neutral dan ada antara penyokong Juventus mula memanjat penghadang untuk mengelakkan konfrantasi. Pagar yang sepatutnya memisahkan setiap seksyen runtuh dan mengakibatkan 39 penyokong terkorban, manakala 600 lagi cedera.

Perlawanan final tetap diteruskan bagi mengelakkan lebih banyak masalah ditimbulkan penyokong kedua-dua belah pasukan. Penyokong Liverpool pada mulanya dipersalahkan kerana memulakan pergaduhan, tetapi hasil siasatan lebih lanjut selepas itu menunjukkan pihak stadium dan polis juga harus dipersalahkan.

6. Tragedi Munich (1958)

Nahas kapal terbang ini melibatkan pasukan bolasepak terkenal dunia, Manchester United. Kapal terbang tersebut membawa seluruh pasukan Manchester United, wartawan, dan juga penyokong apabila ia terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Munich-Riem.

Seramai 23 penumpang terkorban dan 19 lagi cedera dalam tragedi tersebut. Kapal terbang tersebut dalam perjalanan pulang selepas Manchester United beraksi dalam Kejuaraan Eropah di Belgrade. Kapal terbang tersebut berhenti di Jerman Barat untuk mengisi minyak.

Selepas mengisi minyak, kapal terbang itu menghadapi masalah untuk berlepas. Percubaan pertama untuk berlepas gagal selepas pilot mengesan sesuatu yang ganjil berlaku pada enjin kapal terbang terbabit.

Percubaan kedua untuk berlepas diberhentikan lebih awal kerana masalah yang sama. Salji mula turun dan pasukan Manchester United berdepan kemungkinan tersadai di Munich buat seketika.

Gambar – Daily Mirror

Walaubagaimanapun, pilot mula risau dengan jadual penerbangan mereka yang agak padat. Mereka melakukan percubaan kali ke-3 untuk berlepas, kali ini pilot membuka ‘throttle’ secara perlahan bagi mengelakkan masalah enjin pada percubaan pertama dan kedua berulang kembali.

Malangnya, lumpur yang berada di landasan kapal terbang menghalang kapal terbang terbabit untuk mencapai kelajuan berlepas yang dikehendaki dan kapal terbang menggelosor ke luar landasan dan melanggar rumah yang berada berdekatan dengan lapangan terbang.

8 daripada 23 penumpang yang terkorban adalah pemain Manchester United dan 3 lagi adalah staff. Pengurus Manchester United ketika itu, Matt Busby adalah antara penumpang yang terselamat dan menyambung tugasnya kembali musim berikutnya.

7. Tragedi Hillsborough (1989)

Tragedi kedua yang melibatkan penyokong Liverpool dan kali ini ia berlaku 4 tahun selepas tragedi pagar runtuh di Heysel. Rempuhan penonton bukan satu perkara yang asing dalam bolasepak British. Sejak 1974, pihak berkuasa telah memasang pagar bagi menghalang penonton mencerobohi padang. Tetapi satu kesan buruk dari pemasangan pagar adalah peminat akan dihimpit rapat ke pagar apabila gol dijaringkan.

Setahun sebelum kejadian iaitu pada tahun 1988, satu aduan telah dihantar penyokong Liverpool kepada pihak berkuasa selepas berlaku rempuhan kecil di Stadium Hillsborough, Sheffield. Malangnya tiada tindakan diambil untuk memperbaiki keadaan.

Tahun berikutnya, faktor penyokong melebihi kapasiti stadium dan ribut petir menjadi ramuan mujarab bagi menghasilkan tragedi paling buruk dalam sejarah bolasepak British. Pengasingan penyokong dan bilangan penyokong Liverpool yang melebihi Nottingham Forest mengakibatkan kawasan yang diperuntukkan untuk penyokong Liverpool agak sesak.

Berlaku kesesakan di pintu masuk stadium kerana pintu masuk yang kecil. Kesesakan yang berlaku memaksa polis membuka pintu alternatif bagi mempercepatkan proses. Dengan dua pintu dibuka, ruang yang diperuntukkan untuk penyokong Liverpool semakin dipenuhi dan akhirnya tiada lagi ruang yang boleh diiisi penyokong.

Gambar – Daily Mirror

Ruang tersebut telah diisi hampir 3000 penyokong Liverpool dengan kapasiti yang selamat adalah sekitar 2200. Berlaku lebihan penyokong dalam ruang yang sempit dan penyokong masih lagi dibenarkan memasuki ruang tersebut kerana pintu masuk tidak ditutup.

Akhirnya, kawasan yang sepatutnya diisi 2200 penyokong telah diisi dua kali ganda dari jumlah yang dibenarkan. Ketika perlawanan baru memasuki beberapa minit, aksi terpaksa dihentikan kerana kekecohan yang meletus di tempat duduk penyokong Liverpool.

Penghadang akhirnya runtuh akibat penyokong yang berhimpit sesama mereka dan mewujudkan keadaan yang lebih panik dan cemas. Ramai penyokong mengalami sesak nafas akibat bilangan orang yang terlampau ramai.

Perlawanan tersebut diberhentikan selepas 6 minit ia bermula atas arahan polis. Tetapi semuanya sudah terlambat. Hanya 14 orang dari 96 yang terkorban sempat sampai ke hospital.

BACA:  M. Nasir Sertai Pasukan Mobile Legend RSG