Senarai Enam Penjaga Gol Yang Menjaringkan Gol Di Premier League

Tiada apa yang lebih menarik dalam bola sepak apabila pemain menjaringkan gol dan jika gol itu dijaringkan oleh seorang penjaga gol sudah pasti akan menjadi menarik teruk kerana jarang-jarang terjadi.

Dalam sejarah Premier League hanya enam orang penjaga gol sahaja yang berjaya menjaringkan gol dan gol itu terhasil daripada sepakan penjuru minit akhir dan terjadi secara tidak sengaja dengan sepakan dari kawasan sendiri.

Di Premier League setakat ini tiada penjaga gol yang memegang peranan sebagai pengambil sepakan bola mati seperti sepakan percuma dan juga penalti seperti Rogério Mücke Ceni.

Rogério Mücke Ceni telah diiktiraf oleh the International Federation of Football History & Statistics (IFFHS) sebagai penjaga gol yang menjaringkan gol terbanyak dalam sejarah bola sepak.

Ceni juga telah menjaringkan sebanyak 131 gol sepanjang karier. Kebanyakkannya gol itu hadir dari sepakan percuma dan penalti serta satu dari permain terbuka.

Berikut merupakan enam penjaga gol yang pernah menjaringkan gol di Premier League dari yang terdahulu hingga terkini. Benda jarang-jarang terjadi di Premier League.

1. Peter Schmeichel (Aston Villa) – 2001

Bekas penjaga gol Manchester United yang bertaraf legenda, Peter Schmeichel merupakan penjaga gol pertama menjaringkan gol dalam sejarah Premier League bersama Aston Villa dan bukan Manchester United.

Peter Schmeichel menjaringkan gol untuk Aston Villa pada 20 Oktober 2001 ketika perlawanan menentang Everton melalui satu rembatan padu voli kaki kanan pada minit ke-90.

Dalam perlawanan ini Aston Villa tewas 2-3 kepada Everton dan gol Peter Schmeichel ini dijaringkan ketika Aston Villa ketinggalan 3-1.

Sebelum itu Peter Schmeichel pernah menjaringkan enam gol ketika bersama Hvidovre dan dua gol untuk Brondby.

Peter Schmeichel juga pernah menjaringkan satu gol untuk Manchester United dalam perlawanan UEFA Cup menentang Rotor Volgograd pada tahun 1995.

2. Brad Friedel (Blackburn Rovers) – 2004

Pada tanggal 21 Februari 2004, Brad Friedel yang pada ketika itu beraksi bersama Blackburn Rovers telah menjadi penjaga gol kedua menjaringkan gol di Premier League selepas Peter Schmeichel.

Walaubagaimanapun Blackburn Rovers telah tewas kepada Charlton 3-2 dan hanya nama Brad Friedel tercatat dalam sejarah bola sepak selepas menjaringkan gol penyamaan.

Selepas menjaringkan lewat permainan, Brad Friedel menyangka beliau akan membawa pulang satu mata bersama Blackburn Rovers. Kemudian drama terjadi.

Namun sejurus selepas itu, Claus Jensen menjaringkan kemenangan buat Charlton yang membuatkan Brad Friedel melutut ke tanah sambil memegang kepala.

3. Paul Robinson (Tottenham Hotspur) – 2007

Tottenham Hotspur berjaya menewaskan Watford 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung pada 17 Mac 2007 di mana gol kedua telah dijaringkan oleh Paul Robinson pada minit ke-63.

Gol Paul Robinson menjaringkan gol melalui sepakan percuma dari luar kawasan gol sendiri di mana bola melantun melepasi jangkauan Ben Foster yang keluar agak jauh dari kawasan gol.

4. Tim Howard (Everton) – 2012

Pada 4 Januari 2012 satu lagi gol ikonik dari seorang penjaga gol telah terhasil menjadi milik penjaga gol Everton, Tim Howard yang melakukan clearance dari jarak 101 ela dengan bantuan angin.

Bola telah melantun ke kotak penalti dan melemaskan penjaga gol Bolton Wanderers, Adam Bogdan namun Everton tewas 2-1 dalam perlawanan ini dan Tim Howard tidak meraikan jaringan ini kerana memahami perasaan Adam Bogdan.

Walaupun Tim Howard menzahirkan rasa simpati kepada Adam Bogdan, jaringan itu tidak cukup untuk Everton memadamkan dua jaringan daripada David Ngog dan Gary Cahill.

5. Asmir Begovic (Stoke City) – 2013

Asmir Begovic telah menjadi penjaga gol paling pantas menjaringkan gol iaitu selepas 13.64 saat perlawanan berlangsung dan melakukannya ketika menentang Southampton pada 2 November 2013.

Pada ketika itu gol Asmir Begovic menjadi gol keempat terpantas dalam sejarah Premier League.

Tendangan Asmir Begovic dari jarak 91.9 meter telah terpahat dalam Guinness World Record sebagai gol paling jauh dijaringkan dalam perlawanan bola sepak kompetitif.

Keputusan perlawanan menyaksikan Stoke City dan Southampton berkongsi mata selepas terikat 1-1.

6. Alisson Becker (Liverpool) – 2021

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker telah menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan sekaligus menjadi detik paling gila dalam sejarah bola sepak dunia ketika ini.

Kemenangan dan tiga mata yang amat penting dihadiahkan oleh Alisson Becker bagi mencerahkan peluang Liverpool untuk mara ke Champions League musim hadapan.

Liverpool bermain seperti tiada pedoman dan keputusan seperti sudah pasti akan berakhir dengan kedudukan 1-1 apabila pemain penyerang Liverpool bermain seperti otak ditinggalkan di rumah.

Berbaki beberapa saat sebelum tamat perlawanan, Liverpool memperoleh sepakan penjuru, Alisson Becker naik untuk turut sama menambahkan kepadatan pemain Liverpool dalam kotak penalti.

Sepakan penjuru Trent Alexander Arnold merupakan peluang terakhir Liverpool dan pengadil akan meniup wisel penamat bila-bila masa.

Bola sepakan cantik Trent Alexander Arnold tepat menuju ke arah Alisson Becker yang tidak dikawal mungkin dianggap tidak mampu memberi ancaman.

Tandukan cantik, padu, tepat, sendat dengan sedikit flick daripada Alisson Becker berjaya menewaskan penjaga gol West Bromich Albion, Sam Johnstone.

Seluruh dunia tidak kira peminat atau pembenci Liverpool pasti menjerit melihat jaringan yang penuh dramatik dan agak gila itu.

BACA:  10 Pemain Tengah Terbaik EPL