Senarai Kelab Paling Bernilai Di Dunia, Liverpool Terus Angkuh Di Puncak

CIES Football Observatory telah mengeluarkan senarai kelab Bola Sepak paling bernilai di dunia yang fana ini dan Liverpool terus angkuh di puncak.

Kajian ini dilakukan oleh CIES Football Observatory yang merupakan pakar dalam membuat analisis dan menilai harga pemain dan juga kelab.

Dalam post mingguan edisi ke-287 CIES Football Observatory telah membuat analisis nilai kelab dalam lima liga utama Eropah.

Penilaian ini dibuat berdasarkan nilai perpindahan pemain dipasaran mengikut apa yang termaktub dalam kontrak pemain.

Analisis ini melibatkan 20 orang pemain bagi setiap kelab yang mempunyai nilai tertinggi.

Data yang diperoleh ini akan diadun dengan algorithm yang telah dicoretkan oleh pasukan pengkaji CIES Football Observatory.

Maka dibuat pengiraan tambah, tolak, bahagi dan darab serta formula yang mungkin hanya difahami oleh Ole Gunnar Solskjaer inilah keputusannya.

1. Liverpool – €1.405 Bilion

Dengan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan Liverpool sejak dua musim lalu telah membuahkan kejayaan yang luar biasa dan kini Liverpool hanya menuai kejayaaan.

Menjadi juara UEFA Champions League, UEFA Super Cup dan FIFA Club World Cup, International Treble telah menaikkan nilai pemain Liverpool.

Barisan pemain tonggak pertahanan seperti Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Virgil Van Dijk dinilaikan lebih daripada €100 juta.

Begitu juga dengan nilai trio serangan paling berbisa dalam dunia bola sepak masa kini, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Gabungan nilai enam orang pemain ini sahaja sudah lebih daripada separuh nilai kelab, kau tambah la dengan 14 orang pemain lagi.

Maka tidak pelik dan hairanlah kenapa Liverpool boleh berada dipuncak seperti mana mereka menguasai Premier League dengan jumlah mata bertaraf ‘social distancing’.

Terlalu gah.

2. Manchester City – €1.361 Bilion

Machester City mengekori rapat Liverpool dengan perbezaan lebih €40 juta untuk berada ditempat kedua dalam carta ini dengan barisan pemain bintang yang menggiurkan.

CIES Football Observatory telah menilai Raheem Sterling pada angka €200-250 juta dengan kontrak yang bakal tamat pada 2023. Tu baru seorang bhai!

Manchester City, juara EPL musim 2018/2019

Baki kontrak yang panjang bagi pemain bintang Manchester City antara faktor yang melonjakkan nilai The Citizen.

Nak cerita lebih pasal Manchester City ni bukan korang nak amek tau sangat pun.

3. Barcelona – €1.170 Bilion

Barcelona yang merupakan kelab dari Sepanyol berjaya mencilok bagi menyekat pengusaan kelab Inggeris yang sememangnya mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Dari segi kegemilangan boleh dikatakan kelab Catalan ini sudah menjauhi zaman kegemilangan Eropah mereka tetapi masih gah sebagai juara Sepanyol.

Dengan masalah prestasi dan pengurus yang silih berganti berserta pembelian mega yang kurang mendatangkan hasil, Barcelona masih bernilai.

Pembelian ratusan juta Euro pemain seperti Philippe Coutinho, Ousmane Dembele dan Antoine Griezmann sudah memberi nilai yang besar kepada Barcelona.

Walaupun pemain ini bergelut dengan prestasi tetapi nilai pasaran mereka masih tinggi kerana faktor umur.

Pemain ajaib, genit dan lincah, Lionel Messi sudah melepasi 30 tahun tetapi dinilai pada harga antara €90-120 juta.

Satu-satunya pemain berusia atas 30 tahun melepasi angka ratusan juta dari penilaian CIES Football Observatory.

4. Real Madrid – €1.100 Bilion

Seteru utama Barcelona zaman berzaman tinggal harapan semurni kasih kita dendangkan berlagu aku nyanyikan, Real Madrid bernilai €1.1 bilion sahaja.

Sejak dari dulu lagi Real Madrid telah menjadi lubuk pemain dengan harga pecah muka pecah kepala yang digelar Galacticos yang bermaksud Superstar.

Kurang cemerlang disaingan domestik dan sering keciciran di belakang Barcelona dalam saingan La Liga atau Copa Del Rey.

Namun Real Madrid tersangat cemerlang di Eropah tetapi penguasaan Eropah mereka secara hatrik telah ditamatkan oleh Liverpool.

Sejak pemergian Ronaldo, Real Madrid tidak begitu konsisten kadang kala terlalu power dan kadang kala boleh tewas dengan pasukan paling lemah.

Nilai Real Madrid masih tinggi lagi walaupun prestasi mereka agak goyah ketika ini.

5. Chelsea – €1.008 Bilion

Senarai ini dibuat berdasarkan nilai perpindahan pemain dipasaran mengikut apa yang termaktub dalam kontrak pemain dan kedudukan Chelsea agak mengejutkan.

Kerana telah digantung dalam jendela perpindahan, Chelsea menghadapi masalah besar musim ini apabila terpaksa bersaing dengan barisan pemain muda.

Lagenda Chelsea, Frank Lampard telah dilantik sebagai pengurus dan pada awalnya telah dicalonkan sebagai pengurus pertama yang akan dipecat.

Lampard tidak mengecewakan

Namun dengan tenaga muda, Lampard menguruskan Chelsea dengan sangat cemerlang dan berada dikedudukan yang layak bermain di Champions League ketika ini.

Belum habis semusim, Lampard telah menaikkan nilai pemain muda Chelsea dengan campuran pemain lama dengan nilai €1.008 bilion.

6. Manchester United €1.007

Manchester United berada ditangga ke-6 dan menjadi pasukan terakhir yang bernilai lebih €1 bilion dalam senarai yang dikeluarkan oleh CIES Football Observatory.

Tempat ke-6 sangat kena dan merupakan nombor yang sangat sinonim dengan Setan Merah bukan?

Marcus Rashford merupakan pemain paling bernilai dan di mata CIES Football Observatory, Rashford dinilai pada harga antara €150-200 juta je.

Piala FA tidak cukup untuk kelab hebat seperti MU.

Dengan pakar formula, Ole Gunnar Solskjaer yang power nilai Manchester United pasti akan terus melonjak ditambah dengan kehadiran Bruno Fernandes.

Jika Bruno Fernandes terus cemerlang seperti biasa dan mampu meningklatkan prestasi rakan sepasukan maka nilai pemain lain akan terus melonjakkan.

Inilah yang terjadi kepada Liverpool selepas membawa masuk Virgil Van Dijk dan Alisson Becker.

Nilai Pasukan Lain

Pada mulanya agak rajin untuk menulis sehingga nombor 20, tetapi sebab aku nak tengok movie maka aku buat sekadar senarai je pasukan lain.

Hanya PSG dan Juventus sahaja pasukan bukan Premier League atau La Liga yang berada dalam kedudukan 10 teratas.

7. Paris Saint-Germain (PSG) – €979 juta

8. Atletico Madrid – €836 juta

9. Tottenham Hotspur – €787 juta

10. Juventus – €783 juta

11. Inter Milan – €773 juta

12. Borussia Dortmund – €756 juta

13. Bayern Munich – €716 juta

14. RB Leipzig – €626 juta

15. Arsenal FC – €624 juta

16. Leicester City – €618 juta

17. Napoli – €617 juta

18. Everton – €585 juta

19. AS Roma – €540 juta

20. Lyon – €532 juta

BACA:  VAR Bantu Liverpool Mengelak Dari Kena 'Comeback' Bertemu Crystal Palace