Senarai Lima ‘Kuda Tua’ Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini

Para peminat dunia bola sepak hari ini bertuah kerana dapat melihat barisan pemain veteran yang masih aktif bermain secara kompetetif.

Di usia sudah melebihi 35 tahun, sukar sebenarnya untuk seseorang pemain itu kekal beraksi dan bersaing dengan pemain yang jauh lebih muda berbanding mereka.

Secara logiknya, kebanyakan pemain bola sepak profesional tidak akan bertahan lama dalam dunia sukan ini, dengan mereka kebiasaannya akan bersara ketika usia masuk ke 30 an.

Hanya segelintir sahaja dari mereka yang mampu bertahan lama dan boleh terus bersaing di pentas tertinggi dalam dunia bola sepak walau sudah berusia lebih 30 tahun.

Bagi pemain-pemain veteran yang masih aktif bermain dan masih mempamerkan aksi permainan yang hebat, mereka secara tidak langsung telah membuktikan kepada dunia yang usia bukan penghalang untuk seorang pemain terus bersinar.

Apa yang membantu mereka ini masih kekal aktif dan beraksi cemerlang walau sudah berusia 30 an?

Satu hal yang pasti, kesemua muka-muka kuda tua yang masih aktif bermain sehingga kini, mereka senantiasa menjaga tahap kecergasan agar boleh terus beraksi tanpa masalah.

Ketika sudah berusia lebih dari 35 tahun, jelas sekali agak sukar untuk seseorang pemain itu terus kekal aktif dan bersaing secara kompetetif.

Tambahan pula, sukan bola sepak ini jelas memerlukan kekuatan dan kelebihan fizikal untuk terus bersaing, dan kerana itulah sukar untuk pemain veteran bersaing.

Mereka merupakan golongan yang lebih terdedah untuk mendapat kecederaan dan tahap kecergasan mereka juga jelas sekali sudah tidak sama seperti mereka yang dahulu.

Masih ramai kuda tua yang aktif bermain, dan berikut merupakan senarai lima pemain di usia lebih 35 tahun (2021) yang masih beraksi dan turut diakui antara yang terhebat dalam dunia bola sepak.

Mungkin ada yang tanya tentang James Milner dan Edinson Cavani, namun mereka tidak akan ada dalam senarai ini kerana usia mereka masih belum melebihi 35 tahun.

1) Cristiano Ronaldo (Manchester United)

Siapa lagi yang layak untuk dianggap terhebat sepanjang zaman walau sudah berusia 36 tahun?

Jelas sekali nama Cristiano Ronaldo harus ada dalam senarai ini, dengan beliau langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sudah sampai ke penghujung kariernya.

Beliau masih kekal menjadi antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, bahkan prestasi beliau turut lebih baik berbanding pemain yang jauh lebih muda darinya.

Bintang berusia 36 tahun itu memenangi kasut emas dalam saingan Serie A musim lalu, selepas beliau cemerlang menjaringkan 29 gol untuk Juventus.

Ronaldo mencipta nama sebagai antara pemain penyerang terhebat sepanjang zaman atas segala pencapaian dan persembahan yang beliau persembahkan sepanjang kariernya.

Beliau jelas sekali senantiasa memberi masalah kepada pemain pertahanan lawan, dengan kemampuan gelecekan, kelajuan, fizikal, penyudah dan teknik yang sungguh menakjubkan.

Ronaldo pada musim panas baru-baru ini telah kembali ke Old Trafford dan beliau kini menjadi antara pemain terpenting Manchester United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain kebangsaan Portugal itu sudah berjaya menjaringkan lima gol dari enam perlawanan, dengan beliau turut dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan dalam saingan Premier League pada bulan pertamanya beraksi.

2) Luka Modric (Real Madrid)

Luka Modric dianggap antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak dan beliau senantiasa menjadi tulang belakang untuk skuad kebangsaannya Croatia dan juga Real Madrid.

Walaupun sudah berusia 36 tahun, Luka Modric masih lagi menjadi pemain utama Real Madrid dan masih menjadi nadi utama untuk skuad kebangsaan Croatia.

Beliau merupakan pemain midfield yang sangat kreatif, mempunyai kemahiran teknikal yang hebat dan sangat lincah membantu jentera serangan.

Modric telah berjaya memenangi dua gelaran La Liga dan empat gelaran Champions League bersama Real Madrid, dan beliau turut cemerlang membawa Croatia mara ke aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Pencapaian beliau pada tahun 2018 membantu Modric untuk memenangi anugerah Ballon D’or, dengan beliau merupakan satu-satunya pemain yang mampu memecahkan dominasi Ronaldo dan Messi sejak sedekad lalu.

Modric dilaporkan merancang untuk bersara di Santiago Bernabeu dengan beliau baru-baru ini turut menandatangani kontrak baru selama setahun bersama Real Madrid.

3) Giorgio Chiellini (Juventus)

Giorgio Chiellini sudah sememangnya dianggap sebagai legenda Juventus dan beliau juga dikenang sebagai pemain terhebat sepanjang zaman yang pernah beraksi bersama skuad Itali.

Chiellini melakukan debut profesionalnya bersama Livorno pada tahun 2000, sebelum beliau berhijrah beraksi bersama Fiorentina pada tahun 2004.

Pada tahun 2005, beliau mula beraksi bersama Juventus, dan bintang berusia 37 tahun itu merupakan antara pemain yang setia bersama The Old Lady itu.

Jatuh bangun Juventus, Chiellini tetap setia dan beliau merupakan pemain terpenting kelab dengan teknik permainan dan ciri kepimpinan yang sungguh menakjubkan.

Pada tahun 2019, Chiellini menderita kecederaan panjang dan ramai yang sempat berfikir bahawa beliau mungkin akan terus meninggalkan dunia bola sepak.

Namun beliau berjaya untuk kembali beraksi, dan turut cemerlang membantu Itali menjuarai saingan Euro 2020, hasil gandingan mantapnya bersama Leonardo Bonucci.

Baik untuk Itali mahupun Juventus, Chiellini jelas sekali dianggap antara pemain terhebat mereka miliki di era modern ini.

Chiellini dilihat sangat bermotivasi dan masih dahagakan kejayaan.

4) Thiago Silva (Chelsea)

Salah seorang pemain centre-back terhebat dari kesemua pemain yang sama generasi dengannya, Thiago Silva masih gah beraksi dalam saingan liga paling kompetetif dalam dunia bola sepak.

Silva mula mencipta nama sebagai pemain centre-back berkelas dunia sejak beraksi bersama AC Milan sebelum beliau menyertai Paris Saint Germain pada tahun 2012.

Silva jelas sekali memainkan peranan penting dalam membangunkan PSG dari pasukan yang biasa-biasa sahaja, menjadi gergasi di benua Eropah.

Dengan ciri kepimpinan yang beliau miliki, dan ditambah pula dengan kemampuan bertahan yang sungguh menakjubkan, Silva jelas sekali antara pemain paling disegani dalam dunia bola sepak.

Beliau berjaya membantu Paris Saint Germain untuk memenangi tujuh kejuaraan liga dan beberapa kejuaraan domestik yang lain.

Agak mengejutkan juga untuk melihat gergasi Ligue 1 itu melepaskan pemain kebangsaan Brazil itu pergi ke Chelsea sebagai pemain free ejen.

Bersama Chelsea, Silva turut berjaya mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan, seterusnya menjadi antara pemain paling disayangi di Stamford Bridge.

Dengan Kualiti yang beliau miliki dan ditambah dengan pengalamannya yang luas, Thiago Silva berjaya membantu Chelsea menjuarai saingan Champions League pada musim lalu.

Bintang berusia 37 tahun itu tidak dinafikan antara nadi penting dalam sistem pertahanan di bawah kendalian Thomas Tuchel.

5) Zlatan Ibrahimovic (AC Milan)

Zlatan Ibrahimovic jelas sekali dianggap antara pemain terhebat dalam sejarah dunia bola sepak, dan tidak dinafikan lagi beliau antara penyerang terbaik di generasi modern.

Beliau antara pemain yang sudah beraksi bersama beberapa kelab terhebat dunia, dan memenangi bermacam kejuaraan di pelbagai tempat.

Selepas melakukan debutnya bersama Malmo pada tahun 1999, pemain kebangsaan Sweden itu telah beraksi bersama Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint Germain dan Manchester United.

Beliau juga merupakan pemain penyerang utama yang sangat prolifik tidak kira beliau beraksi bersama pasukan mana sekali pun.

Zlatan juga antara pemain yang mempunyai personalti tersendiri, dengan bintang berusia 40 tahun itu memiliki aura serta tahap keyakinan diri yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Ketika ini, beliau masih beraksi bersama AC Milan, dengan Ibrahimovic juga telah menandatangani perjanjian baru bersama gergasi Serie A itu pada awal tahun lalu.

Sejak menyertai Milan pada tahun 2020 yang lalu, beliau telah membuat 38 penampilan dalam saingan liga, dan cemerlang menjaringkan 26 gol.

Walau sudah berusia, Ibrahimovic masih mempunyai tahap kecergasan yang menakjubkan, dan ketajaman penyudah beliau juga tidak boleh dipandang rendah.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Tweet Lama Grealish Tentang Ronaldo Kembali Tular Di Media Sosial