Senarai Pemain Bintang yang Bakal Tamat Kontrak Pada Musim Panas 2018

Seperti yang kita sedia maklum, pemain-pemain di kelab eropah biasanya ditawarkan kontrak yang panjang dengan kebiasaannya kontrak ditawarkan sekitar 3 hingga 5 tahun, bergantung kepada nama dan prestasi seseorang pemain, dan situasi ini cukup berbeza di Malaysia di mana majoriti pemain ditawarkan kontrak setahun-setahun.

Dalam budaya bola sepak eropah, menuju ke tahun akhir kontrak mereka, biasanya pemain-pemain yang diperlukan kelab akan ditawarkan sambungan kontrak. Jika seseorang pemain itu tidak berapa diperlukan di kelab, maka mereka akan dijual dengan segera demi menjana sejumlah pendapatan buat pasukan.

Ada juga pemain penting pasukan yang mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan gaji yang lebih besar dan jika pemain ini bermain di Arsenal, pemain ini selalunya akan dijual kerana polisi gaji Arsenal yang tidak mengikut gaya Liga Malaysia.

Jadi kami kongsikan senarai beberapa pemain kelas dunia yang kontrak mereka bakal tamat pada musim panas 2018 dan jika tiada sambungan kontrak, kemungkinan besar mereka bakal berpindah ke pasukan lain.

Leo Messi

Cerita rundingan kontrak Messi bersama Barcelona belum lagi tamat. Messi pernah ditawarkan gaji yang lebih tinggi daripada Ronaldo di Real Madrid, namun masih belum memberikan jawapan. Manchester City dikhabarkan sedia mengeluarkan wang £150 juta (RM819 juta) untuk membawa pemain Argentina ini ke Ettihad. Berusia 29 tahun, Messi masih mempunyai 5-6 tahun untuk kekal bermain di peringkat tertinggi.

Edinson Cavani

Pemain Uruguay berusia 30 tahun ini telah  menjaringkan lebih 80 gol buat Paris Saint Germain dan menarik minat Arsenal untuk membawanya ke Emirates. Jika kontraknya bersama PSG tidak disambung, kemungkinan besar Cavani akan ke China untuk mengumpul duit pencen.

Giorgio Chiellini

Pemegang ijazah dalam bidang ekonomi ini telah bersama Juventus sejak 2005 dan telah menempuh ranjau dan onak berduri bersama-sama The Old Lady. Berusia 32 tahun, Chiellini pastinya mempunyai ramai peminat di seluruh eropah dan China. Kemungkinan besar, kontraknya bersama Juventus bakal disambung sehingga persaraannya.

Karim Benzema

Pemain berketurunan Algeria ini menjadi tulang belakang Real bersama-sama rakan Galactico yang lain. Benzema pernah dikaitkan dengan Arsenal dan Manchester City sebelum ini namun memilih untuk kekal di Madrid dan telah memenangi La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-juara dan juga Kejuaraan Kelab Dunia. Jika kontraknya tidak disambung, destinasi berikutnya mungkin PSG atau Liga Super China.

Alexis Sanchez

Satu-satunya pemain kelas dunia dalam pasukan Arsenal, Sanchez dikhabarkan kecewa dengan polisi perbelanjaan Arsenal yang gagal membeli pemain kelas dunia lain untuk memberikan cabaran kepada kejuaraan liga dan juga eropah. Sanchez baru sahaja berusia 28 tahun dan situasi kontraknya bersama Arsenal membuka mata kelab-kelab besar seperti Chelsea dan juga Bayern Munich. Sekurang-kurangnya kalau Sanchez ke Bayern, bolehlah dia merasa kejuaraan liga.

Arjen Robben

Robben sebenarnya nampak saja sudah tua, tapi masih muda. Pada tahun ini Robben berusia 34 tahun dan menjadi watak utama merogol Arsenal dalam pusingan 16 pasukan Liga Juara-juara tempoh hari. Robben mungkin akan menghabiskan kontraknya bersama Bayern dan destinasi berikutnya pastilah China.

Franck Ribery

Berwajah ganas bukan bermaksud orang jahat, dan inilah yang dibuktikan Ribery. Kelincahannnya di padang menjadikannya idola. Walaupun berusia 33 tahun di samping masalah kecederaan, Bayern mungkin akan memberikannya kontrak setahun-setahun.

Mesut Ozil

Cerita Ozil bersama Arsenal ni bak kata saleh the talk of the town di mana Ozil seringkali hilang dalam perlawanan besar di samping tidak berpuas hati dengan gajinya yang jauh ketinggalan pemain-pemain utama lain di Liga Perdana Inggeris seperti Paul Pogba dan Wayne Rooney.

Andres Iniesta

Kapten Barcelona ini baru sahaja berusia 32 tahun dan masih lagi berbisa di dalam padang. Penjaring gol kemenangan Sepanyol pada Piala Dunia 2010 ini mungkin akan menyambung kontraknya bersama kelab Catalan tersebut, memandangkan pengaruh dan kepimpinan melalui tauladan. Lagipun Iniesta ni seorang pemimpin yang tidak ambil rasuah.

Marouanne Fellaini

Kontrak Pokok sepatutnya tamat pada musim panas 2017, namun disambung setahun oleh Jose Mourinho kerana perpindahan Morgan Schneiderlin ke Everton. Meskipun dibenci peminat dan bekas pemain Manchester United, Fellaini tetap bermain seperti biasa sambil rambutnya menutup telinga. Dengan rekod Mourinho yang suka membeli pemain, nasib Fellaini mungkin tidak akan kekal lama di Old Trafford.

Gigi Donnarumma

Pemain yang juga dikenali sebagai Zizan Itali ini menjadi aset yang menjadi rebutan kelab-kelab utama dunia. Manchester United mahu membawanya ke Old Trafford sebagai pengganti De Gea jika pemain itu ke Real Madrid, dan Chelsea juga begitu dengan Real Madrid menunjukkan minat terhadap Thibaut Curtois. Memandangkan kuasa membeli liga Inggeris lebih besar berbanding di Itali dan Sepanyol, tidak mustahil untuk melihat Donnarumma berhijrah ke England, dengan Farhan Abu Bakar bakal menggantikan tempatnya di Milan.

Baca Juga

Baca Juga