Senarai Pemain Yang Memenangi UCL dan Euro Pada Tahun Yang Sama

Arena bola sepak Eropah sentiasa menjadi perhatian dari seluruh dunia. Kalau peringkat kelab, sudah pastinya Liga Juara-Juara atau lebih mesra dipanggil UCL menjadi pertandingan yang paling berprestij, manakala di peringkat negara pula, Kejohanan Eropah atau Euro.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Euro adalah pertandingan bola sepak yang kedua paling utama di dunia selepas Piala Dunia.

Kalau ikutkan, ramai pemain yang telah berjaya menggigit medal dua kejohanan ini, tetapi tidak ramai yang berjaya melakukannya pada tahun yang sama.

Jorginho dan Emerson membantu Itali muncul juara Euro 2020

Pada tahun ini, kita baru sahaja saksikan Jorginho dan Emerson berjaya membantu Itali muncul juara Euro 2020 selepas menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti. Pada bulan Mei lalu, kedua-dua pemain ini telah mengangkat piala UCL bersama Chelsea.

Jadi, siapa lagi pemain yang berjaya menjulang dua piala paling berprestij ini pada tahun yang sama?

1964- Luis Suarez

Ini bukanlah Luis Suarez yang mempunyai rekod gigitan pemain lawan terbanyak di dunia, sebaliknya ini adalah Luis Suarez pemain Sepanyol pada tahun 60-an.

Pemain tengah menyerang ini muncul sebagai pemain termahal di dunia pada tahun 1961 apabila dia dibeli Inter Milan dari Barcelona pada harga £100,000.

Luis Suarez turut pernah memenangi Ballon d’Or

Tiga tahun kemudian, dia muncul sebagai pemain pertama yang memenangi Piala Eropah dan Euro pada tahun yang sama.

Bermain sebagai pemain tengah dalam perlawanan akhir Piala Eropah buat Inter Milan ketika mereka menewaskan Real Madrid 3-1 di Vienna, Suarez bersama Nerazzuri berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut pada tahun berikutnya.

Selepas merangkul kejuaraan Piala Eropah, Suarez membantu pasukan Sepanyol muncul juara Euro, yang dikenali sebagai Piala Negara Eropah di tanah air sendiri. Pasukan Sepanyol menjadi juara selepas menewaskan Hungary di separuh akhir, dan USSR di perlawanan akhir dengan pemain Zaragoza, Marcelino menjaringkan gol kemenangan di Bernabeu.

1988 – Ronald Koeman, Barry Van Aerle, Hans Van Breucklen, Gerald Vanenburg

Tahun 80-an menyaksikan penguasaan pemain dan pasukan dari Belanda di pentas Eropah.

Keempat-empat pemain ini sebelumnya telah muncul juara Piala Eropah bersama kelab PSV Eindhoven, dengan Koeman dan Vanenburg telah menjaringkan gol dalam penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir bertemu Benfica di Stuttgart.

Pasukan Belanda yang menjuarai Euro 1988

Van Breucklen, sebagai penjaga gol, memainkan peranan penting juga apabila menjadi wira ketika penentuan sepakan penalti tersebut lantas membawa Piala Eropah ke Eindhoven selepas menang 6-5.

Sebulan kemudian, kesemua empat pemain ini berada dalam skuad Belanda yang memenangi Euro 88, menewaskan Soviet Union dalam perlawanan yang menampilkan gol ikonik daripada Marco van Basten, di mana dia menjaringkan gol melalui satu volley yang padu – menjadikan gol ini antara gol tercantik dalam perlawanan akhir.

2012 – Fernando Torres dan Juan Mata

Selepas 24 tahun menunggu, barulah muncul pemenang UCL dan Euro pada tahun yang sama, dan kali ini datang daripada pemain Chelsea.

Pada bulan Mei, Juan Mata dan Fernando Torres menjadi nadi utama Chelsea dalam membawa piala UCL ke Stamford Bridge buat pertama kali dalam sejarah kelab tersebut selepas menewaskan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti.

Torres dan Mata memenangi UCL bersama Chelsea

Gol Torres dalam separuh akhir ketika menentang Barcelona juga menjadi satu gol yang sering ditonton semula oleh para peminat bola sepak di Youtube, manakala Mata menjadi pemain yang telah diturunkan dalam kesemua perlawanan UCL Chelsea pada tahun tersebut.

Beberapa minggu kemudian, kedua-dua pemain ini dimasukkan dari bangku simpanan buat Sepanyol, ketika mereka menumpaskan Itali 4-0 dalam perlawanan akhir Euro.

Torres dan Mata memenangi Euro

Walaupun masuk sebagai pemain gantian, kedua-dua pemain ini sempat menjaringkan gol, termasuk bila mana Torres melakukan assist kepada Mata untuk gol keempat Sepanyol.

2016 – Cristiano Ronaldo dan Pepe

Kalau kita sembang pasal sejarah, tak lengkap hidup kita kalau tidak memasukkan nama pemain ini – Cristiano Ronaldo.

Ronaldo, ketika itu bermain untuk Real Madrid bersama-sama Pepe, telah menjaringkan penalti terakhir Real Madrid yang membawa kepada kemenangan pasukan tersebut menumpaskan jiran tetangga, Atletico dalam perlawanan akhir UCL di Milan.

Ronaldo dan Pepe menjulang UCL

Pepe sebenarnya telah mendatangkan kerisauan dalam perlawanan tersebut di mana dia telah mengasari Fernando Torres di dalam kotak penalti. Nasibnya baik apabila penalti daripada Griezmann hanya singgah di palang gol Real.

Real Madrid memenangi UCL tu tak pelik.

Detik yang pelik dan ajaib hadir enam minggu kemudian, dalam satu perlawanan yang mejadikan emosi Ronaldo turun naik.

Selepas memacu Portugal ke perlawanan akhir menerusi aksi yang cemeralang, Ronaldo hanya bertahan selama 30 minit di atas padang dalam perlawanan akhir, selepas dikasari pemain Perancis, Dimitri Payet, sekaligus membuatkannya terpaksa meninggalkan padang dengan air mata yang mengalir.

Ronaldo dan Pepe memenangi Euro

Walaupun menerima asakan bertubi-tubi daripada pemain Perancis, benteng Portugal yang diketuai Pepe tetap utuh tanpa bolos. Pada masa tambahan, Eder muncul sebagai wira yang tak diduga selepas dia menjaringkan gol tunggal perlawanan, sekaligus membawa piala Henri Delaunay singgah buat kali pertama di bumi Portugal.

Sumber : Dailymail

BACA:  Morata Dedahkan Beliau Dan Keluarga Terima Ancaman Bunuh