Senarai Terbaru Pemain Bola Sepak Paling Bernilai

Penularan wabak Koronavirus dijangka akan menjejaskan nilai pasaran pemain bola sepak seluruh dunia, tetapi kajian terbaru mendapati Kylian Mbappe kekal sebagai pemain paling mahal di dunia dengan harga €260 juta.

Penularan wabak tersebut menyebabkan kesemua saingan bola sepak dan sukan lain terpaksa ditangguh dan ada yang sudah dibatalkan.

Ekonomi kelab juga terjejas impak dari penularan wabak tersebut dan kini setelah semua saingan kembali bersambung kesemua perlawanan diadakan secara tertutup.

Ekoran dari bermain dalam stadium kosong, ianya turut memberi kesan kewangan kepada kelab kerana tiada pendapatan dari kutipan pintu dan kutipan perlawanan.

Hal ini menjadikan kewangan kelab terjejas teruk sehingga menyebabkan kuasa belian berkurangan dan nilai pasaran pemain jatuh merudum.

Namun hal ini tidak menjejaskan nilai pasaran untuk kumpulan pemain terbaik dunia. Menurut laporan dari CIES Football Observatory, Kylian Mbappe masih bernilai €259.2 juta lalu menjadikannya pemain paling mahal di dunia pada masa kini.

Di belakang bintang Perancis itu adalah empat pemain Inggeris dan lima dari sepuluh pemain dalam senarai pemain paling bernilai di dunia itu merupakan para pemain yang bermain dibawah kendalian Gareth Southgate.

Penilaian dilakukan berdasarkan beberapa faktor yang penting termasuk usia, prestasi semasa pemain, tempoh kontrak pemain dan juga kedudukan kewangan semasa kelab yang memiliki pemain tersebut.

Mbappe mempunyai baki kontrak selama tiga tahun dan beliau juga kini sedang beraksi bersama salah sebuah kelab terkaya dunia ketika berusia 21 tahun.

Mbappe juga merupakan pemenang Piala Dunia dan dengan segala pencapaiannya, maka tidak sukar untuk menerima bahawa beliau sememangnya pemain paling bernilai pada hari ini.

Pada ketika ini, Mbappe menjadi lebih bernilai dari Neymar ketika PSG membelanjakan €220 juta untuk mendapatkan bintang Brazil itu dari Barcelona beberapa musim yang lalu.

Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid sejak beberapa bulan lalu, namun sukar untuk menjangkakan sama ada beliau akan ke Bernabeu atau tidak dalam masa terdekat ini.

Jadon Sancho pula berada di kedudukan ketiga dalam senarai pemain paling bernilai di dunia dan beliau turut sering dikaitkan dengan bakal meninggalkan pasukan beliau sekarang, Borussia Dortmund.

Jadon Sancho dikaitkan bakal menyertai Manchester United pada jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Namun sehingga kini masih belum ada kesepakatan yang tercapai antara Dortmund dan setan merah untuk urusan perpindahan pemain tersebut.

Alphonso Davies pula berada di kedudukan kesembilan dalam senarai antara pemain termahal dunia masa kini. Bintang muda ini berjaya menarik perhatian ramai dengan aksi mantap yang dipamerkan bersama Bayern Munich.

Beliau menjadi antara pemain Bayern paling bersinar selepas kembalinya saingan Bundesliga bulan lalu. Alphonso Davies juga merupakan pemain termuda dalam senarai 20 pemain paling bernilai.

Antoine Griezmann merupakan pemain paling berusia yang ada dalam senarai pemain paling bernilai di dunia pada usia 29 tahun.

Beliau turut dikaitkan bakal meninggalkan Nou Camp selepas Barcelona sendiri mahu melepaskan beberapa pemain untuk mendapatkan dana menandatangani pemain baru.

Namun hal itu telah dinafikan oleh beliau dan ejennya sendiri tetapi Griezmann tidak menyembunyikan niat beliau mahu beraksi di Amerika Syarikat di masa mendatang.

Bintang Manchester City, Ederson menjadi penjaga gol paling bernilai dalam senarai dengan harga €86.8 juta. Namun begitu, beliau musim ini dilihat tidak menunjukkan tahap persembahan terbaiknya.

Bintang muda Juventus, De Light pula menjadi pemain pertahanan tengah termahal dunia ketika ini dengan nilai €104.7 juta.

Pemain midfield Portugal yang baru sahaja menandatangani perjanjian bersama setan merah, Bruno Fernandes telah menjadi pemain tengah paling mahal di dunia dengan harga €104.9 juta.

BACA:  Lima Pertahanan Terhebat Dalam Saingan Premier League Musim Ini