Separuh Akhir Europa League 1: Arsenal vs Atletico Madrid

Arsenal gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Atletico Madrid dalam perlawanan pertama separuh akhir Europa League yang berlangsung awal pagi tadi di Stadium Emirates.

Tambah memeritkan penyokong Arsenal adalah mereka bermain menentang 10 orang pemain Atletico Madrid selama 80 minit selepas pemain pertahanan lawan, Sime Vrsaljko diperintahkan meninggalkan pada seawal minit ke-10.

Griezmann menghukum kealpaan barisan pertahanan Arsenal yang lembik

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone turut diperintahkan meninggalkan bangku simpanan pada masa yang sama kerana protes yang berlebihan terhadap pengadil.

Malangnya, Arsenal gagal menggunakan kelebihan tersebut untuk mendapatkan bekalan selesa untuk dibawa ke Sepanyol untuk perlawanan timbal balik yang bakal berlangsung minggu hadapan.

Kedua-dua pasukan sekadar mengakhiri babak pertama tanpa sebarang jaringan dengan Arsenal gagal menembusi tembok pertahanan Atletico Madrid yang kukuh bertahan.

Sengaja Vrsaljko membiarkan dirinya dibuang padang untuk memberi harapan palsu kepada peminat Arsenal

Separuh masa kedua bermula dengan Arsenal meningkatkan tempo perlawanan. Arsenal akhirnya memecah kebuntuan menerusi Alexander Lacazette yang melonjak tinggi untuk menanduk bola hantaran daripada Jack Wilshere untuk menewaskan penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak.

Arsenal meningkatkan serangan mereka selepas itu tetapi Simeone bertindak menguatkan barisan pertahanan mereka dengan membawa masuk Gabi dan Stefan Savic.

Peluang yang ditunggu-tunggu Atletico Madrid akhirnya menjelma pada minit ke-82 apabila hantaran jauh yang ditujukan kepada Antoine Griezmann gagal ditangani dengan baik oleh Laurent Koscielny.

Griezmann bijak memperdayakan David Ospina dan Shkodran Mustafi untuk menjaringkan gol penyamaan Atletico Madrid sekali gus membawa pulang 1 gol di tempat lawan yang berharga.

Simeone tidak perlu turun ke padang menentang Arsenal yang rapuh dan lembik

Atletico Madrid kini dianggap calon pilihan untuk mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan di Lyon, Perancis.

Arsenal hanya mampu menyalahkan diri mereka sendiri kerana gagal memanfaatkan kelebihan bermain dengan 11 orang pemain.

Arsenal Xl: Ospina , Bellerin , Monreal , Koscielny , Mustafi , Wilshere , Xhaka, Ozil , Ramsey, Welbeck , Lacazette .

Subs: None

Atletico Madrid XI: Oblak , Vrsaljiko, Gimenez, Godin, Lucas , Correa,  Saul , Partey , Koke , Gameiro, Griezmann.

Subs: Gabi, Savic, Torres

Man of the Match:  Diego Godin

BACA:  Klopp: Liverpool Tidak Akan Jual Pemain Kepada Seteru Pada Pertengahan Musim