Sergio Aguero Tak Cukup Berani Untuk Menggantikan Messi Memakai Jersi Bernombor 10

Sergio Aguero dilaporkan telah menolak tawaran dari Barcelona yang mahu memberikannya jersi bernombor 10 yang ketika ini masih kosong selepas pemergian Lionel Messi.

Selepas pemergian sahabat karib dan juga rakan senegara Aguero itu, jersi bernombor 10 di Barca masih tidak bertuan dan kerana itulah pihak kelab menawarkannya pada bintang Argentina itu.

Nombor ikonik itu sebelum ini pernah dipakai oleh Romario dan Ronaldinho dan Messi kemudiannya menjadi pemilik mutlak nombor tersebut di Nou Camp.

Selepas pemergian pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu untuk menyertai Paris Saint Germain, hal berkait siapa bakal mewarisi nombor tersebut menjadi topik perbualan ramai.

Phillipe Coutinho yang ketika ini memakai jersi bernombor 14 dan hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan kelab turut menjadi salah seorang calon yang akan mengambil alih nombor tersebut.

Apa lagi selepas melihat nombor 14 miliknya dipakai oleh Rey Manaj pada aksi perlawanan pembukaan hujung minggu lalu bertemu Real Sociedad.

Terdapat juga khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa Ousmane Dembele berkemungkinan akan memakai nombor 10 itu namun ia masih belum boleh disahkan oleh mana-mana pihak.

Dengan peraturan La Liga yang telah menetapkan bahawa setiap pemain mesti memakai jersi bernombor 1 hingga 25, ia bermaksud nombor 10 itu akan ada pemiliknya selepas ini.

Pimpinan kelab mahu menawarkan nombor tersebut kepada pemain dari akademi La Masia, memandangkan sahabat karib Messi, Aguero dengan rasa penuh hormat menolak tawaran untuk menyambung legasi nombor 10 di Nou Camp.

Bintang berusia 33 tahun itu berdepan dengan kesukaran untuk memulakan kehidupan barunya bersama Barca sejak beliau ditandatangani secara percuma dari Manchester City pada musim panas ini.

Dek kerana masalah dalaman kelab yang gagal mematuhi peraturan liga telah menyebabkan beliau sedikit terlambat untuk didaftarkan sebagai pemain Barcelona pada musim baharu ini.

Beliau juga tentunya terkesan dengan berita pemergian sahabatnya menyertai PSG memandangkan beliau sendiri bersetuju ke Nou Camp untuk beraksi bersama Lionel Messi.

Rakan senegaranya itu sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa Aguero ke Nou Camp sebelum ini.

Aguero juga turut menafikan dakwaan yang mengatakan beliau akan meninggalkan kelab pada musim panas ini, dengan beliau telah mengesahkan dirinya akan menyarung jersi bernombor 19 di Nou Camp.

Ketua pasukan Barcelona, Gerard Pique mengakui yang beliau sangat berharap agar Aguero akan bersetuju untuk memakai nombor ikonik tersebut, namun beliau tetap faham dengan keputusan bintang Argentina itu yang mahu menghormati sahabatnya.

Aguero juga tidak mahu memakai nombor tersebut kerana beliau sedar tanggungjawab berat akan dipikul olehnya andai beliau memilih untuk menyarung jersi bernombor 10 itu.

Buat masa ini, nombor tersebut masih belum ada pemilik rasmi dan dengan jendela perpindahan akan ditutup sepenuhnya pada penghujung Ogos nanti, maka segalanya bakal berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Tidak pasti sama ada Coutinho, penandatanganan baru, atau pemain dari akademi, para penyokong Barcelona berharap sesiapa saja yang memaki nombor itu akan membantu kelab untuk memulakan perjalanan baru tanpa legenda mereka.

Sumber: SB

BACA:  Linangan Air Mata Iringi Persaraan Sergio Aguero