Sergio Ramos Pernah Merayu Agar FA Bantu Beliau Memenangi Anugerah Ballon D’or

Pada tahun 2020 yang lalu, telah tular audio dari Sergio Ramos yang meminta Persatuan Bola Sepak Sepanyol untuk membantu beliau memenangi anugerah Ballon d’Or.

Menurut sumber laporan dari media utama Sepanyol, Mundo Deportivo, bekas ketua pasukan Real Madrid itu dikatakan telah bercakap Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales.

Bukan hanya sembang kosong atau borak kedai kopi, tapi Ramos dikatakan cuba meracun Rubiales supaya membantu beliau memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Ramos pada ketika itu dikatakan menganggap dirinya layak dan calon terbaik untuk memenangi anugerah Ballon D’or dan kerana itu beliau meminta sokongan dan bantuan dari FA.

Beliau yakin dirinya akan menjadi pemain pertahanan pertama selepas Fabio Cannavaro untuk memenangi anugerah Ballon d’Or.

Ramos ketika itu menyatakan:

“Kamu tahu yang saya tak pernah minta kamu buat apa-apa tapi jika saya mahu kamu lakukan sesuatu hari ini, ia kerana saya rasa ini merupakan tahun istimewa untuk saya atas persembahan yang saya tunjukkan.”

Jelas Ramos kepada Rubiales.

“Saya berharap kamu bantu saya untuk menang dengan apa cara dan gunakan rangkaian kamu dalam UEFA untuk saya dapat Ballon d’Or.”

“Saya akan berterima kasih kepada kamu sepanjang hayat saya, bukan hanya untuk saya tapi ia kerana saya fikir Persatuan Bola Sepak Sepanyol sangat-sangat berhak untuk dapat ini.”

Persembahan istimewa yang bekas ketua pasukan Real Madrid itu maksudkan adalah ketika kejayaan beliau membantu Los Blancos memenangi gelaran La Liga pada musim tersebut.

Di tengah-tengah pandemik pada ketika itu, saingan La Liga terhenti pada bulan Mac dan kembali bersambung pada Jun 2020.

Real Madrid berjaya untuk kekalkan tahap persembahan terbaik mereka, seterusnya berjaya membawa pulang gelaran La Liga ke Santiago Bernabeu.

Ramos bersama rakan sepasukannya berjaya mengharungi 11 perlawanan tanpa kalah termasuk 10 kemenangan secara berturut-turut.

Rekod tersebut berjaya membantu Real Madrid untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu saingan La Liga pada ketika itu.

Menurut sumber laporan dari Mundo Deportivo, Rubiales membalas pesanan Ramos itu dengan memberitahunya yang beliau sememangnya layak memenangi anugerah Ballon d’Or.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol itu juga turut mendoakan agar Ramos akan berjaya membantu Real Madrid memenangi gelaran Champions League pada musim berikutnya.

Rubiales juga menegaskan yang beliau tiada kuasa dalam menentukan siapa layak memenangi anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu.

Beliau juga mendedahkan kepada Ramos yang beliau sebenarnya akan cuba semampu beliau untuk membantu legenda Sepanyol itu, namun kuasa yang beliau miliki terbatas.

Walau bagaimanapun, memandangkan pandemik pada ketika itu teruk melanda dunia, anugerah Ballon d’Or pada tahun tersebut turut dibatalkan oleh France Football.

Sergio Ramos jelas sekali sangat kecewa dengan keputusan dari France Football dek kerana beliau sangat yakin beliau paling layak memenangi anugerah tersebut pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, individu sebenar yang sepatutnya kecewa anugerah Ballon d’Or dibatalkan bukanlah Ramos, tetapi Lewandowski yang dianggap calon kegemaran untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun 2020 lalu.

Tidak ada mana-mana pemain yang lebih layak untuk memenangi anugerah tersebut, berbanding Robert Lewandowski dan seluruh dunia turut sepakat tentang hal tersebut.

Beliau berjaya membantu Bayern Munich menjuarai saingan Champions League, Bundesliga dan piala domestik yang lain.

Ramos pada ketika ini sedang beraksi bersama Paris Saint Germain, namun beliau sepertinya agak bergelut untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya di Parc des Princes.

Masalah kecederaan dikatakan punca utama mengapa Sergio Ramos gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya bersama PSG.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ini Sebab Sergio Ramos Terima Dilayangkan Dua Kad Merah Dalam Aksi Menentang Real Sociedad