Sergio Reguilon Jelaskan Situasi Sebenar Berkait Aksi Heroic Beliau Selamatkan Nyawa Penyokong Newcastle

Pemain left-back Tottenham Hotspur, Sergio Reguilon mendedahkan yang beliau memberitahu pengadil perlawanan supaya menghentikan permainan kerana ada penyokong yang memerlukan bantuan kecemasan.

Beliau juga turut menjelaskan tentang perjalanan kisah aksi heroic menyelamatkan nyawa penyokong Newcastle di St James Park awal pagi tadi.

Di penghujung aksi babak pertama perlawanan yang menemukan antara Spurs dan Newcastle, telah berlaku satu insiden yang menghentikan permainan, dengan penyokong pasukan tuan rumah memerlukan bantuan perubatan kecemasan.

Laporan terbaru yang menyusul menyatakan bahawa penyokong yang pengsan di dalam stadium itu telah dikejarkan ke hospital selepas beliau berada dalam keadaan stabil.

Walau bagaimanapun, pujian sepenuhnya harus diberikan kepada Reguilon yang mampu memikirkan sesuatu yang menakjubkan di waktu suntuk seperti itu.

Dengan insiden itu berlaku di East Stand, yang mana ia berada di sebelah kiri tempat Reguilon bermain, maka bekas bintang Sevilla itu antara yang nampak ia berlaku.

Beliau dengan segera memberitahu pengadil perlawanan, Andre Marriner tentang insiden tersebut dengan Spurs pada ketika itu sedang bersedia untuk mengambil sepakan penjuru.

“Kami dengar penyokong menjerit.”

Jelas Reguilon kepada Sky Sports.

“Saya nampak seorang lelaki terbaring dan raya rasa sangat takut ketika itu. Saya terus pergi ke arah pengadil dan kata pada dia, ‘kita perlu hentikan permainan, kita tak boleh terus bermain dalam keadaan seperti ini’.

“Sekarang saya rasa dia sudah sembuh bukan? Itu lebih penting dari segala hal yang lain.”

Sekembalinya para pemain untuk beraksi selepas perlawanan beberapa minit dihentikan, para penyokong Newcastle telah memberikan tepukan yang sangat gemuruh untuk Sergio Reguilon.

Beliau sememangnya berhak untuk mendapatkan penghargaan seperti itu atas aksi heroic yang beliau pamerkan, begitu juga dengan rakan sepasukannya, Eric Dier.

Aksi heroic yang dipamerkan oleh kedua-dua pemain Tottenham Hotspur ini telah menyebabkan mereka dianugerahkan dengan anugerah pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Sebaik menyedari ada yang tidak kena, Dier berlari pantas kembali ke sudut bertentangan, dan dengan pantas meminta petugas kesihatan untuk memberi bantuan kecemasan kepada penyokong tersebut.

Bercakap berkait insiden mengerikan itu, Harry Kane menyatakan bahawa:

“Pertama dan yang terpenting sekali, semoga diberi kesembuhan untuk penyokong yang ada di stands itu, jelas sekali ia bukan satu hal indah untuk disaksikan tapi kami dengar dia sudah stabil sekarang, jadi kami berterima kasih kepada semua pihak seperti petugas keselamatan, para penyokong yang bagi bantuan CPR, semoga dia dalam keadaan baik-baik sahaja dan kami doakan yang terbaik untuk dia dari Tottenham Hotspur.”

“Saya rasa, dari sudut pandangan kami, kami tahu ada bantuan kecemasan di tepi tempat duduk pemain simpanan, tapi kami tak tahu ada atau tidak di tempat duduk penonton.”

“Saya rasa Eric pergi ke sana untuk tanya mereka ada atau tidak, kemudian dia meminta bantuan dari petugas kesihatan, ia sangat menyedihkan untuk melihat ia berlaku dan kami mendoakan yang terbaik untuk dia dan kepada penyokong yang melihat semua ini, dari sudut pandangan kami, saya harap semua orang berada dalam keadaan baik-baik sahaja.”

Beruntung sekali, atas usaha semua pihak yang terlibat, individu yang dikejarkan ke hospital itu sudah kembali sedar dan kini sudah berada dalam keadaan stabil.

Callum Wilson membuka tirai jaringan untuk Newcastle seawal minit ke-2 permainan selepas menyempurnakan bola umpanan dari Javier Manquillo.

Tottenham Hotspur berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 permainan menerusi Tanguy Ndombele.

Lima minit selepas itu, giliran Harry Kane pula mencatat nama sebagai penjaring gol dengan beliau meledak gol kedua untuk Tottenham Hotspur.

Di penghujung aksi babak pertama permainan, Son Heung Min berjaya meledak gol, seterusnya memastikan Tottenham Hotspur mendahului Newcastle 3-1.

Newcastle United terpaksa bermain dengan 10 orang pemain di minit-minit akhir permainan, selepas Jonjo Shelvey dilayangkan kad merah.

Mereka walau bagaimanapun berjaya menjaringkan satu lagi gol sebelum tamat masa sebenar perlawanan hasil gol sendiri yang dijaringkan oleh Eric Dier.

Perlawanan tamat dengan Tottenham Hotspur berjaya menewaskan Newcastle dengan keputusan 3-2, seterusnya membawa mereka ke kedudukan ke-5 dalam carta liga pada ketika ini.

Kekalahan ini merupakan kekalahan yang ke-5 Newcastle pada musim ini, dengan mereka masih belum mencatatkan sebarang kemenangan.

Kelab terkaya dalam dunia bola sepak itu pada ketika ini berada di kedudukan ke-19, dan mereka tentunya akan melakukan sesuatu selepas jendela perpindahan Januari nanti, untuk memastikan kelab tidak tersingkir.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Newcastle lawan Liverpool; Meriah, Nunez Handal, Gordon Sudah Matang Dan Mimpi Ngeri Arnold