Serie A Berhasrat Bawa Perlawanan Liga ke Amerika Syarikat
Liga utama Itali, Serie A sedang merancang untuk mengadakan perlawanan liganya di Amerika Syarikat dalam tempoh 3 tahun akan datang. Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Komersial dan Pemasaran Serie A, Michele Ciccarese dalam satu sidang media di pejabat Serie A di New York.
Menurut Ciccarese, Serie A ingin memperluaskan liga mereka di peringkat antarabangsa dan menjadikan liga Itali lebih dikenali di luar negara.
“Semua liga utama sedang membincangkan kemungkinan untuk menganjurkan perlawanan liga di luar negara. Jika kita lihat NFL, mereka sudah bermain di Jerman, London dan bakal bermain di Australia. Jadi, perkara ini semakin realistik,” katanya.
Cabaran dan Peraturan FIFA
Walaupun idea ini mendapat sambutan,l namun masih terdapat cabaran yang perlu diatasi. FIFA sebelum ini dilihat tidak bersetuju dengan perlawanan liga domestik dianjurkan di luar negara. Namun, badan induk bola sepak dunia itu kini terpaksa mempertimbangkan semula pendiriannya selepas berdepan tindakan undang-undang daripada Relevent Sports, sebuah syarikat media yang berperanan dalam menjual hak penyiaran La Liga di Amerika Utara.
La Liga Sepanyol sudah lama berusaha untuk membawa perlawanan mereka ke Amerika Syarikat, termasuk cuba mengadakan perlawanan Barcelona menentang Girona di Miami pada 2018 dan Atletico Madrid menentang Villarreal pada 2019. Namun, cubaan itu gagal kerana sekatan FIFA dan bantahan pihak tertentu.
Pada Mei lalu, dalam Kongres FIFA di Thailand, FIFA menubuhkan satu kumpulan kerja bagi mengkaji isu ini dengan lebih mendalam. Keputusan rasmi masih belum diumumkan tetapi ramai percaya bahawa FIFA akhirnya akan membenarkan perlawanan liga domestik dimainkan di luar negara.
Serie A Mahu Jadi Perintis Eropah
Serie A berharap untuk menjadi liga pertama di Eropah yang berjaya membawa perlawanan rasmi ke Amerika Syarikat. Bagaimanapun, menurut Ciccarese, mereka perlu merancang dengan teliti supaya tidak menjejaskan kelab dan pemain yang sudah terbeban dengan jadual padat. Mereka perlu beraksi dalam saingan Serie A, Coppa Italia, Liga Juara-Juara UEFA serta kejohanan antarabangsa lain.
“Kami mahu melakukannya, seperti yang dikatakan oleh Presiden (Ezio Simonelli). Namun ada halangan perlu diatasi dengan strategi yang betul serta sokongan kelab dan pihak berkepentingan lain.”
Ditanya bilakah perancangan ini boleh direalisasikan, Ciccarese berkata:
“Kami sedang menyusun strategi dan merangka pelan yang sesuai. Mungkin dalam tempoh 1 hingga 2 tahun, jika semua kelulusan diperoleh. Kami memerlukan persetujuan Persekutuan Bola Sepak Itali, UEFA dan FIFA, sebelum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.”
Ketika ditanya sama ada ini adalah persaingan untuk menewaskan liga lain seperti La Liga atau Liga Juara-Juara untuk menjadi liga Eropah pertama yang beraksi di Amerika, Ciccarese tidak menafikannya.
“Memang ada persaingan untuk menjadi perintis. Mereka yang pertama akan mendapat lebih banyak manfaat dari segi pendapatan dan pengaruh global.”
Namun, beliau menegaskan bahawa pemilihan perlawanan perlu dilakukan dengan bijak agar tidak mengecewakan penyokong setia di Itali.
“Sebagai contoh, kami tidak boleh membawa Derby Milan ke Amerika kerana perlawanan itu mempunyai makna yang besar kepada peminat di Itali. Jadi, kami perlu melakukannya dengan cara yang menghormati penyokong tempatan.”
Liga Lain Juga Berminat
Serie A bukan satu-satunya liga yang berminat dengan idea ini. La Liga dan Liga Perdana Inggeris juga mempunyai pejabat di New York dan secara berkala menganjurkan perlawanan persahabatan di luar Eropah ketika musim rehat.
Presiden La Liga, Javier Tebas sebelum ini pernah menyatakan bahawa sebaik sahaja FIFA membenarkan perlawanan liga dimainkan di luar negara, La Liga tidak akan teragak-agak untuk melaksanakannya.
Keinginan liga-liga Eropah untuk membawa perlawanan rasmi ke luar negara berpunca daripada usaha mereka untuk meningkatkan pendapatan dan menarik lebih banyak peminat antarabangsa. Buat masa ini, Liga Perdana Inggeris masih mendominasi dari segi hak penyiaran global, jauh meninggalkan Serie A dan La Liga.
Sekiranya Serie A berjaya merealisasikan rancangan ini, mereka akan menjadi perintis kepada era baharu bola sepak Eropah yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa.