Setuju Dengan Klopp: Pengurus Metz Bantai AFCON Tanpa Belas

Pengurus Metz, Frederic Antonetti menghentam teruk penganjuran Piala Benua Afrika dengan menganggap masa yang mereka pilih langsung tak kena.

Beliau turut menghentam pihak penganjur dan menganggap mereka suka menghuru-harakan keadaan dan memanipulasi situasi.

​Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini pernah menyuarakan pandangan beliau tentang AFCON 2022, selepas Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita bakal turut sertai pertandingan tersebut.

Ketiga-tiga pemain itu akan menyertai skuad kebangsaan masing-masing pada Januari nanti dan ia juga berpotensi untuk mengganggu perjalanan Liverpool memburu kejuaraan Premier League.

Jadi Klopp merupakan antara pengurus yang sangat terkesan dengan penganjuran Piala Benua Afrika yang dilangsungkan ketika pertandingan domestik sedang berjalan.

Walau bagaimanapun, Frederick Antonetti sebenarnya akan berdepan masalah lagi besar selepas beliau berkemungkinan akan hilang tujuh atau lapan pemain yang akan turut menyertai pertandingan tersebut.

Sama seperti Klopp, pengurus dari Perancis itu menghentam teruk pihak penganjur kerana menganjurkan pertandingan itu di waktu yang langsung tak sesuai.

“AFCON mengambil tujuh ke lapan pemain dari kami. Itu sangat mengarut. Ia memanipulasikan keadaan, pertandingan yang huru-hara.”

Jelas beliau kepada Get French Football News.

“Bagaimana sebuah pertandingan antarabangsa boleh dianjurkan ketika saingan domestik sedang berjalan? Ia tak sepatutnya berlaku.”

“Saya tak ada masalah dengan AFCON, ia merupakan acara yang bagus, tapi kamu tak boleh ambil begitu ramai pemain dari pasukan mereka. Dan bukan kami saja yang jadi mangsa.”

“Ketika kami membina skuad kami, AFCON dijangka akan dilangsungkan pada Jun, tapi sekarang mereka ubah peraturan.”

“Ketika saya kata huru-hara, semuanya huru-hara dalam bola sepak… Ia sangat memalukan kerana semuanya tunggang langgang dan AFCON sebahagian dari itu, VAR pun sama cetus huru-hara, tekanan pun sebahagian dari itu.”

Klopp sebelum ini pernah meninggalkan komen tentang AFCON, namun beliau telah dimaki hamun semula oleh pengurus Senegal, Aliou Cisse.

Pengurus Senegal hentam Klopp

“Klopp fikir dia siapa sebenarnya?”

Jelas Cisse memulakan perbicaraannya kepada Daily Express.

“Saya uruskan Senegal dan pemain saya bermain untuk Klopp di Liverpool.”

“Saya hormati Liverpool tapi tidak Klopp yang memandang rendah kepada acara bola sepak Afrika. Dia berada di mana dia berada sekarang kerana pemain bola sepak Afrika.”

Cisse kemudiannya mengatakan yang Klopp berhutang dengan pemain dari Afrika sebalik semua kejayaan beliau pada ketika ini.

Beliau turut menghentam Klopp dengan menganggap pengurus dari Jerman itu sebenarnya tiada apa-apa tanpa Salah dan Mane yang membantu beliau memenangi perlawanan akhir yang tidak pernah beliau menangi sebelum ini.

Liverpool tewas dalam aksi perlawanan akhir Europa League ketika aksi bertemu Sevilla pada tahun 2016, dan kemudian tewas dalam aksi saingan Champions League kepada Real Madrid pada tahun 2018.

The Reds kemudiannya berjaya memenangi aksi perlawanan akhir ketika bertemu Tottenham Hotspur pada musim selepas kekalahan kepada Real Madrid itu.

“Hari ini, dia berani memanggil AFCON sebagai pertandingan kecil. AFCON ada jumlah penyertaan yang sama, 24 sama seperti Euro. Jadi dia fikir dia siapa?”

“AFCON akan ada jumlah bintang yang sama seperti bintang yang bantu dia bersinar bersama Liverpool. AFCON memiliki pemain yang berkualiti sama seperti Euro.”

Pengurus Senegal mungkin salah faham dengan maksud Klopp, dengan pengurus Liverpool itu sendiri sudah menegaskan yang beliau tiada maksud untuk menghina pertandingan tersebut.

Beliau sebelum ini sudah menjelaskan tentang hal itu dan sepertinya pengurus Senegal juga sudah jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Klopp.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jurgen Klopp Patut Digantung 10 Perlawanan