Jaguh sebenar Europa League, Sevilla terus mempamerkan kehebatan mereka dalam kejohanan kelas kedua Eropah itu apabila menghantar pulang Manchester United yang kelakar untuk beraya lebih awal di kampung halaman.
Dalam perlawanan suku akhir pertama Europa League di Old Trafford, Sevilla telah mencipta kebangkitan untuk mengikat Setan Merah selepas ketinggalan dua gol ketika Setan Merah membazirkan deretan peluang keemasan.
Bermain di Stadium Ramón Sánchez Pizjuán, Sevilla tidak lagi menoleh kebelakang dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri apabila menang penuh bergaya tiga gol tanpa balas.
Kemenangan ini menyaksikan Sevilla mara mudah ke separuh akhir dengan agregat 5-2 ketika ramai permerhati menjangkakan perlawanan sengit akan disajikan.
Manchester United bermula langkah kiri apabila dihukum seawal minit kelapan dengan jaringan gol pembukaan dari Youssef En-Nesyri selepas memanfaatkan kesilapan bahagian pertahanan Setan Merah.
David De Gea telah menolak bola kepada Harry Maguire yang sudah diketahui kualitinya dalam memegang bola yang terus kelam kabut apabila ditekan Youssef En-Nesyri.
Hantaran Maguire sampai kepada lawan dan Youssef En-Nesyri terus melakukan percubaan untuk menewaskan De Gea. Mungkin silap De Gea menghantar bola kepada Maguire dengan dua pemain Sevilla sedang menekan.
Dipenghujung babak pertama Sevilla berjaya menggandakan kedudukkan melalui Lucas Ocampos namun mujur jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Dua minit permainan bersambung, Loic Bade menggandakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan penjuru Ivan Rakitic yang melemaskan David De Gea dengan tandukan berputar.
Lima pertukaran yang dilakukan Erik Ten Hag untuk mengubah keputusan perlawanan tidak berhasil dan Youssef En-Nesyri terus membunuh permainan pada minit ke-81 dengan gol ketiga.
Kekalahan ini melebarkan rekod tanpa menang Manchester United menentang Sevilla kepada lima perlawanan. Sevilla terus menjadi badi dan duri dalam daging buat pasukan Inggeris.