Shah Firdaus Lakukan Comeback, Menang Pusingan Repechage Walaupun Dalam Kesakitan

Jaguh lumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dipercayai berlumba dalam keadaan kesakitan dalam saingan pusingan repechage acara Keirin sukan Olimpik Tokyo 2020 petang tadi.

Shah Firdaus turun beraksi dalam saringan 2 acara keirin di Velodrome Izu, dengan dicabar oleh pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Richardson dari Australia, Matthijs Buchli dari Belanda, Hugo Barette dari Kanada dan Sergey Ponomaryov dari Kazakhstan.

Sebaik perlumbaan dimulakan, Shah Firdaus dengan tenang mengatur gerak langkah di belakang pelumba Kanada. Selepas derny beransur keluar dari gelanggang, pelumba negara ini terus memecut lebih laju dan mencabar pelumba di hadapannya.

Ketika perlumbaan hampir memasuki pusingan terakhir dengan isyarat loceng aiskrim daripada penjaga loceng, Shah Firdaus yang mula menghenjut untuk melakukan pecutan mengejar pelumba Belanda dan Kanada di depannya telah bergesel dengan Carlin yang sedang cuba melakukan kayuhan ke bahagian luar.

Malang buat Shah Firdaus, apabila basikalnya terbalik dan dia terjatuh bergesel di atas velodrome, lantas menyoyakkan skinsuitnya dan menyebabkan kesan calar di bahagian badannya.

Selepas Shah terjatuh, basikalnya pula dilanggar oleh pelumba Kazakhstan Sergey Ponomaryov, yang kemudiannya turut terjatuh.

Commissaire terus menghentikan perlumbaan sebaik sahaja kedua-dua pelumba ini berguling di atas velodrome.

Ketika para commisaire sedang berbincang, acara keirin diteruskan dengan saringan ketiga di mana bekas juara dunia keirin, Datuk Azizulhasni turun beraksi menentang pelumba dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul, Patryk Rajkowski dari Poland, Stefan Boetticher dari Jerman, Jean Spies dari Republik Afrika Selatan dan Sebastien Vigier dari Perancis.

Turun sebagai pelumba pilihan, Azizulhasni kelihatan tenang dari awal perlumbaan dan sebaik perlumbaan dimulakan, dia dengan begitu fokus mengekori Spies yang berada di belakang derny.

Seperti biasa, sebaik loceng aiskrim dibunyikan, Aizulhasni tidak membuang masa dan terus memecut laju sehingga ke garisan penamat, meninggalkan Paul di tempat kedua dan Rajkowski di tempat ketiga.

Pelumba Jerman yang pancit di hujung perlumbaan pula berada di tangga keempat. Dengan keputusan ini, Azizulhasni dan Paul secara automatiknya layak ke peringkat suku akhir yang akan dilangsungkan pada hari terakhir sukan Olimpik esok.

Sebaik kesemua saringan dilangsungkan, saringan 2 pula dilangsungkan semula dengan tiada pengelibatan daripada pelumba negara, Shah Firdaus, yang sedang menerima rawatan ketika itu, sekaligus menyaksikannya terpaksa melalui pusingan repechage untuk kelayakan ke peringkat berikutnya.

Dalam pusingan tersebut, Shah Firdaus berdepan carabaran daripada Kwesi Browne dari Trinidad dan Tobago, Sebastien Vigier dari Perancis, Tomas Babek dari Republik Czech dan juga Chao Xu dari China.

Sebaik perlumbaan dimulakan, Shah Firdaus menggunakan taktik mengekori di belakang derny dari awal, dan sebaik derny keluar dari trek, para pelumba lain mula memecut memotong pelumba negara tersebut.

Namun selepas loceng dibunyikan, Shah Firdaus mula memecut dari belakang dan menyelit sambil memecut laju dari sebelah luar untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Browne.

Selepas perlumbaan tamat, Shah Firdaus dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian rusuk, dikhuatiri mengalami keretakan tulang ruruk.

Namun dalam berita terbaharu, Shah Firdaus membuatkan seluruh Malaysia berasa lega dan gembira apabila dia bebas daripada sebarang keretakan tulang rusuk ataupun kebocoran paru-paru, dan dia hanya mengalami luka-luka biasa dan perkara ini telah disahkan oleh wartawan Astro Arena, Bazly Azmi menerusi satu ciapannya.

Dalam peringkat suku akhir esok, Shah Firdaus akan beraksi dalam saringan kedua peringkat suku akhir, sekali lagi menentang Jack Carlin, Maximilian Levy dari Jerman, Callum Saunders dari New Zealand, Jair En Fa dari Suriname dan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago. Perlumbaan dijadualkan pada pukul 9.29 pagi waktu Sabak Bernam.

Manakala bagi Datuk Azizulhasni pula akan berentap dalam saringan ketiga, dijadualkan pada pukul 9.34 pagi waktu Sungai Petani, dan akan berdepan cabaran daripada Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (ROC – Russia) dan Kwesi Browne.

Bermula daripada peringkat ini, mana-mana pelumba yang gagal menempatkan diri dalam kelompok empat teratas tidak akan mendapat peluang kedua kerana tiada lagi pusingan repechage untuk ke peringkat separuh akhir.

Semoga impian rakyat Malaysia menjadi kenyataan – pingat emas dibawa pulang.

BACA:  Azizulhasni Awang: Seorang Role Model, Suami Dan Ayah Penyayang, Berjuang Dengan Tragedi, Influencer Dan Atlet Bertaraf Dunia.