Shaw Akui Hampir Kehilangan Kaki Akibat Kecederaan Pada Tahun 2015

Pemain pertahanan Manchester United, Luke Shaw berkata beliau hampir kehilangan upaya untuk meneruskan karier bola sepak selepas mengalami kecederaan serius pada September 2015. Beliau juga berkira-kira untuk menggantung kasutnya kerana kecederaan tersebut.

Shaw merupakan antara pemain paling menyerlah bagi pasukan Manchester United musim ini dan telah dinamakan dalam kesebelasan utama bagi kesemua 4 perlawanan Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Situasi Shaw sekarang jauh berbeza dengan apa yang dihadapinya musim lepas dimana beliau kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kepada Ashley Young.

Shaw yang lama sudah kembali. Berkat kesabaran dan kesungguhan Shaw di padang latihan, beliau kembali meraih kepercayaan Mourinho

Antara faktor yang menyebabkan Shaw mengalami penurunan prestasi beberapa musim kebelakangan ini adalah disebabkan kecederaan serius yang dialaminya pada 3 tahun lepas ketika menentang PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun berjaya pulih tidak lama selepas itu, persembahan beliau bukan seperti dulu lagi dan Shaw bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya sehingga dipinggirkan dari skuad Piala Dunia 2018.

Beliau juga kerap dikritik Jose Mourinho musim lepas kerana gagal menunjukkan tahap permainan yang dikehendaki dari seorang pemain Manchester United.

“Menipu jika saya tidak pernah berfikir untuk berhenti dari bermain bola sepak. Akan tetapi, saya mempunyai ramai kawan baik dan keluarga yang banyak memberi sokongan kepada saya untuk mengharungi keadaan sukar.”

Kecederaan yang hampir meragut karier Shaw.

“Saya hampir kehilangan sebelah kaki. Saya sebenarnya sangat hampir untuk kehilangan sebelah kaki dan saya tidak mengetahui perkara itu sehingga diberitahu oleh doktor 6 bulan kemudian.”

“Sudah tentu, jika saya tahu lebih awal pon, saya tidak akan berhenti bermain bola sepak. Walaupun jika doktor menyatakan kerisauan terhadap tahap kecederaan saya, saya masih lagi akan terus bermain bola sepak.”

“Saya mahu bermain bola sepak pada tahap tertinggi dan memenangi trofi sebanyak yang mungkin. Itu motivasi utama saya. Dan seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini, saya mahu dikenali sebagai salah seorang bek kiri terbaik di dunia.”

Berikutan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan Shaw bersama Manchester United ketika ini, Gareth Southgate akhirnya memanggil kembali Shaw untuk berada dalam skuad England bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan bulan ini.

Shaw dipanggil menggantikan tempat rakan sepasukannya, Ashley Young yang bermain dalam kesemua perlawanan England di Piala Dunia yang lalu.

Shaw sering menjadi sasaran kritikan Mourinho musim lepas, bersama Paul Pogba.

“Mungkin ketika keadaan berjalan dengan baik, saya menjadi sedikit terleka dan berasa terlalu selesa. Saya gagal untuk membawa permainan saya ke tahap yang seterusnya.”

“Sekarang saya sudah mengenai perkara itu dan berubah dari seorang remaja ke seorang dewasa. Sekarang saya sudah kembali dalam skuad England, saya perlu meneruskan prestasi baik ini dan bersedia untuk menerima segala kritikan.”

BACA:  Twitter 'Meletop', Penyokong United Berpusu-Pusu Keluar Dari Gua Selepas Belasah Cardiff