Shin Tae Yong Anggap Indonesia Seperti Tinggalkan Syurga Untuk Ke Neraka

Ketua jurulatih Timnas Indonesia, Shin Tae Yong telah menganggap perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2020 antara Indonesia dan Singapura seperti tinggalkan syurga untuk pergi ke neraka.

Perlawanan antara Singapura dan Indonesia ini boleh dianggap perlawanan yang epik dan klasik dalam sejarah penganjuran kejohanan dwi tahunan yang menjadi dambaan pasukan Asia Tenggara ini.

Singapura mempamerkan semangat juang yang teramat tinggi lagi luar biasa selepas bangkit mengejar Indonesia selepas ketinggalan dengan gol awal pasukan Garuda.

Dua kali pasukan kota Singa menjaringkan gol yang hadir selepas dua kad merah dilayangkan memaksa Singapura beraksi dengan 9 pemain tetapi masih mendahului.

Kurang seorang pemain pasti memberi kelebihan yang nyata kepada Indonesia apatah lagi kurang dua orang, sebaliknya dilakukan Singapura yang mampu mendahului dengan kekurangan pemain.

Indonesia menyamakan kedudukan melalui gol kontroversi yang kelihatan offside tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Singapura telah melepaskan peluang apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti dan ini menjadi titik kebangkitan atau turning point buat Indonesia.

Perlawanan di masa tambahan nyata dimanfaatkan Indonesia dengan dua gol lagi untuk menang 4-2 dengan agregat 5-3 untuk ke final.

Kekurangan dan ketempangan Singapura tidak mampu dijadikan Indonesia sebagai satu kelebihan dan hampir saja terciduk kerana itulah Shin Tae Yong anggap Garuda seperti tinggalkan syurga untuk pergi ke neraka.

โ€œKedua-dua pasukan berjuang dengan sangat kuat dan kami benar-benar pergi dari โ€˜syurga untuk ke nerakaโ€™ dalam permainan ini.โ€

โ€œKami adalah pasukan yang agak muda dan apabila kami mempunyai kelebihan kami perlu belajar cara bermain dengan tenang jadi kami perlu cuba memperbaiki dari sini.โ€

Shin Tae Yong menganggap kerana pasukan Indonesia yang terdiri dari pemain muda yang kurang pengalaman gagal memanfaatkan kelebihan untuk bermain dengan lebih tenang.

Jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida sudah pastinya berasa kecewa selepas perlawanan tetapi berkata dia berbangga dengan pasukannya dan semangat juang yang mereka tunjukkan.

โ€œHasilnya adalah yang penting, saya tiada alasan, tiada aduan. Hari ini adalah persembahan yang begitu baik dan saya amat berbangga dengan semua pemain saya.โ€

โ€œSaya tidak mempunyai kata-kata tetapi saya terharu dengan semangat juang mereka, semangat Singapura mereka di mana mereka tidak berputus asa walaupun akhirnya kami bermain dengan hanya lapan pemain dan inilah yang mesti kami tunjukkan kepada peminat dan pemain muda.โ€

Tatsuma Yoshida yang berasal dari Jepun yang terkenal dengan semangat kental tidak mengenal erti kalah berbangga dengan pemainnya kerana semuanya sudah dilakukan untuk ke final.

Sangat mustahil untuk menang di masa tambahan dengan kekurangan dua pemain dari minit ke-45 dan 67 lagi ditambah pula menentang Indonesia dibarisi pemain muda dengan stamina yang tidak kunjung habis.

Penjaga gol Singapura, Hassan Sunny telah mempamerkan aksi gila babi menyelamatkan gawangnya sehingga ke layangan kad merah.

Inilah contoh definisi sebenar Indonesia menang perlawanan dan Singapura menang hati peminat bola sepak. Layak untuk dipanggil kalah bermaruah.

Separuh akhir Kedua: AET Indonesia 4-2 Singapura (Agg 5-3)

Pasukan Timnas Indonesia yang terhebat di alam semesta menggegarkan dunia bola sepak dengan aksi kebangkitan luar biasa dan sensasi sekaligus berjaya mara ke Piala AFF Suzuki 2020 dalam perlawanan penuh drama dan aksi.

Tuan rumah, Singapura dan Indonesia terikat seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama dan turun untuk perlawanana separuh akhir kedua bagi menghiburkan semua.

Selaku tuan rumah, Singapura dilihat mempunyai kelebihan berbanding Indonesia di mana kedua-dua separuh akhir berlangsung di bumi Temasik itu.

Indonesia terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-11 hasil permainan pressing disusuli hantaran menari lalu disudahkan dengan penyudah yang tenang.

Tendangan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny tidak gagal menemui rakan dan berjaya dirampas pemain Indonesia yang melakukan tekanan, bola terus dihantar kepada Witan Sulaeman.

Witan Sulaeman berjaya lepas dua pertahanan Singapura, lalu memaksa Hassan Sunny keluar dan menghantar kepada Ezra Walian untuk gol pembukaan dengan satu tolakan mudah ke gawang terbuka.

Perlawanan berlangsung sengit dan disajikan dengan aksi keras dan kasar. Malang buat Singapura dipenghujung babak pertama apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah.

Namun Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-45+4 melalui pemain naturalisasi mereka dari Korea Selatan, Song Ui-Young.

Gol berpunca daripada sepakan percuma Shahdan Sulaiman yang menghantar bola ke kotak penalti Indonesia sehingga mewujudkan situasi kelam kabut.

Bola jatuh ke kaki Song Ui-Young yang terus melepaskan rembatan untuk mengikat kedudukan 1-1 dan secara agregat 2-2.

Jika penghujung 45 minit pertama disajikan dengan aksi penuh kegilaan namun separuh masa kedua kegilaan terus tercetus.

Ternyata bermain 10 orang tidak menjejaskan Singapura, pada minit ke-67 Irfan Fandi yang merupakan anak kepada lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dilayangkan kad merah.

Dengan 9 pemain Singapura berjaya bangkit mendahului Indonesia menerusia sepakan percuma cantik Shahdan Sulaiman 7 minit selepas kad merah Irfan Fendi.

Serangan bertali arus Indonesia menyaksikan mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dan bermain 9 orang mula memberi kesan kepada Singapura.

Pratama Arhan menjaringkan gol berharga Indonesia dengan satu gerakakan menarik dan penuh berhelah yang percubaan pertama berjaya ditampan Hassan Sunny.

Bola sampai ke kaki Pratama Arhan yang terus merembat untuk menewaskan Hassan Sunny, jelas Pratama Arhan berada dalam kedudukan offside namun gol itu dibenarkan.

Drama yang menyedapkan perlawanan berterusan apabila Singapura berjaya meraih sepakan penalti dipenghujung perlawanan dan final hanya selangkah buat Singapura.

Namun Faris Ramli gagal menyempurnakannya dengan satu sepakan yang lemah yang mudah ditepis keluar penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Pemenang perlawanan ditentukan ke masa tambahan apabila kedudukan secara agregat terikat 3-3 selepas tamat 180 minit masa permainan sebenar.

Ini merupakan mimpi buruk buat Singapura yang hanya ada 9 pemain sahaja dan pasti Indonesia berkelebihan dari segi pemain dan juga stamina.

Bermain dengan kurang anggota memberi kesan ketara kepada Singapura untuk mengharungi tempoh 30 minit terakhir.

Hanya 30 saat masa tambahan diperlukan Indonesia untuk bangkit mendahului kembali hasil jaringan sendiri Shawal Anwar selepas pemain Singapura itu tertampan bola ke gawang sendiri.

Gol berpunca dari rembatan Messi Indonesia, Egy Maulana yang masuk sebagai pemain gantian.

Egy Maulana yang berpangkalan di Eropah membuktikan kualiti dirinya apabila mengesahkan tiket Indonesia ke perlawanan Piala AFF Suzuki 2020.

Hassan Sunny gagal mengeluarkan bola sepakan penjuru dengan kemas dan tertampan bola ke kaki Egy Maulana yang mudah menolak untuk gol keempat.

Separuh masa pertama masa tambahan Indonesia mendahului 4-2 dan hanya keajaiban saja yang akan membolehkan Singapura mara.

Baki 15 minit permainan hanya digunakan Singapura untuk terus mempertahankan kedudukan semasa dari terus dibelasah.

Minit ke-119 menyaksikan Singapura bermain dengan 8 orang apabila penjaga gol mereka, Hassan Sunny mengutip kad kuning ketiga.

Indonesia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020 dan ini merupakan final ke-6 Indonesia selepas kali terakhir mara pada Piala AFF Suzuki edisi 2016.

Adakah Indonesia akan berjaya menghapuskan badi perlawanan akhir mereka selepas muncul naib juara dalam lima perlawanan akhir mereka jejaki?

Separuh akhir Pertama: Indonesia 1-1 Singapura

Indonesia layak ke peringkat separuh akhir saingan AFF Suzuki Cup pada tahun ini sebagai Juara dari kumpulan B dan mereka telah dijadualkan untuk menentang Naib Juara dari saingan kumpulan A, Singapura.

Kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain muda yang hebat dan berbakat dengan mereka telah mempamerkan aksi persembahan yang cukup menakjubkan sepanjang aksi peringkat kumpulan.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini sangat menarik untuk disaksikan dek kerana kedua-dua pasukan merupakan underdog dalam kejohanan ini.

Indonesia di atas kertas bermain dengan formasi 5-4-1 sementara pasukan tuan rumah, Singapura pula bermain dengan formasi 4-3-2-1

Skuad Garuda yang pada minggu lalu berjaya membelasah Malaysia 4-1 itu bermain dengan lebih kemas pada hari ini dengan mereka berjaya melakukan beberapa percubaan awal untuk menguji gawang gol Singapura.

Indonesia jelas mendominasi aksi babak pertama perlawanan dengan mereka berjaya mendahului Singapura dengan keputusan 1-0.

Witan Sulaeman berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini seterusnya membantu Indonesia untuk mendahului aksi babak pertama.

Aksi babak kedua menjadi milik Singapura dengan mereka berjaya mendominasi perlawanan seterusnya mencipta begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Hasilnya, pada minit ke-70 Singapura berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Indonesia 1-1 menerusi Ikhsan Fandi Ahmad.

Memasukkan Ezra Walian jelas sekali merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh Shin Tae-yong dalam perlawanan ini.

Pemain yang dibawa masuk itu bukan hanya gagal memberikan impak positif, bahkan beliau juga sebenarnya menjadi punca permainan Indonesia jadi berterabur.

Tae-yong bahkan terpaksa mengeluarkan semula Ezra Walian pada minit ke-79 permainan untuk digantikan dengan Hanis Saghara Putra.

Selepas mengeluarkan Ezra Walian, barulah nampak yang Indonesia kembali hidup dalam perlawanan ini dan berjaya melancarkan beberapa siri serangan ke kubu Singapura.

Tidak dinafikan walau keputusan perlawanan ini terikat 1-1, namun kedua-dua pasukan sebenarnya telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Corak permainan para pemain kedua-dua pasukan sangat kemas dan boleh dikatakan ini sememangnya aksi separuh akhir yang dimahukan oleh para penyokong.

Aksi serang menyerang dan perang taktikal menambah lagi keseronokkan untuk menonton pertembungan antara kedua-dua pasukan ini.

Asnawi Mangkualam merupakan nadi utama Indonesia dalam perlawanan ini, dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap beliau sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini.

Secara keseluruhannya aksi kedua-dua pasukan sememangnya sangat menarik dan tentunya kedua-dua pasukan bakal mempamerkan aksi yang lebih menarik untuk aksi leg kedua nanti.

Sukar untuk meramalkan siapa antara kedua-dua pasukan ini yang bakal melayakan diri ke pentas perlawanan akhir, kerana mereka dilihat sama-sama kuat.

Tidak ada yang terlalu dominan dengan perlawanan pada malam semalam memperlihatkan Indonesia memenangi aksi babak pertama, sementara Singapura pula memenangi aksi babak kedua.

Shin Tae-yong dan Tatsuma Yoshida tentunya sudah melakukan pemerhatian penuh untuk aksi pada malam ini dan bakal melakukan sesuatu untuk mencatat kemenangan dalam pertembungan selepas ini.

Kedua-dua pasukan juga tidak ada masalah kekurangan pemain, dengan mereka memiliki skuad terbaik yang di bawa untuk sertai kejohanan ini.

Percaturan pengurus bakal jadi penentu untuk aksi selepas ini untuk menentukan pasukan underdog mana yang akan mara ke aksi perlawanan akhir.

Dua pasukan pilihan utama kejohanan, Thailand dan Vietnam bertemu sesama sendiri di peringkat separuh akhir dan sukar juga untuk meramalkan siapa antara dua pasukan ini yang bakal ke aksi perlawanan akhir.

Melihat kepada persembahan kedua-dua pasukan malam semalam, sukar sebenarnya nak anggap yang mereka bukan pasukan pilihan.

BACA:ย  Pundit Terkenal Indonesia Anggap Skuad Garuda Catat Kemenangan Yang Sangat Teruk